Friday, July 9, 2010

PAS berkampung 3D2N cari formula tarik undi Melayu



KUALA LUMPUR, 9 Julai: Para pemimpin kanan PAS akan berkampung di Bagan Lalang, Sepang selama tiga hari dua malam mulai hari ini sehinggalah Ahad ini bagi membincang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13.

Semua pimpinan utama PAS termasuk Mursyidul Am serta ahli-ahli Majlis Syura serta Presiden serta AJK PAS Pusat dijangka menyertai 'retreat' ini.

"Fokus kita kali ini adalah membincangkan pengundi luar bandar khasnya pengundi Melayu," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily.

Retreat ini sepatutnya dijalankan sebelum ini namun kerana ia bertembung dengan pilihan raya kecil Sibu, ia telah ditangguhkan ke hari ini, esok dan lusa.

Harakahdaily difahamkan, satu kajian terperinci telah dibuat oleh Ilham Centre, sebuah badan penyelidikan bebas, bagi membantu PAS membuat penilaian dan keputusan dalam retreat kali ini.

"Kita telah mendapat hasil yang menarik berdasarkan kajian kita di Parlimen Tanjung Karang dan kita telah serahkan kepada Pemuda PAS yang telah meminta kita membuat kajian ini," kata salah seorang pengarah Ilham Centre kepada Harakahdaily sebelum ini.

Hasil dari kajian itu, mereka telah membuat beberapa kesimpulan termasuk pilar-pilar penting dalam pemikiran pengundi luar bandar dan Melayu dalam menilai PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita harap hasil kajian kita ini dapat membantu PAS," kata beliau lagi.Pengundi Melayu

Dalam pilihan raya umum 1999, PAS menang besar berdasarkan sokongan orang Melayu kepada parti Islam itu berikutan apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pilihan raya itu, PAS berjaya menghantar 27 pemimpinnya ke Parlimen di samping memerintah dua negeri. Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Nor dilantik sebagai Ketua Pembangkang, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz kekal sebagai MB Kelantan manakala Timbalan Presiden ketika itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilantik sebagai MB Terengganu.

Namun begitu, dalam pilihan raya umum ke 11 iaitu pada tahun 2004, formula ini tidak berhasil lagi apabila kerajaan BN melalui SPR telah mengubah sempadan kawasan pilihan raya pada tahun 2003.

Antara yang dilakukan adalah mengurangkan kawasan majoriti Melayu yang besar dengan cara memasukkan ramai pengundi bukan Melayu ke kawasan Melayu.

Hasilnya PAS kalah teruk sehingga hilang kerajaannya di Terengganu. Di Kelantan juga PAS hanya menang dengan majoriti tiga kerusi sahaja dan kemudiannya dengan satu kerusi selepas kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.Pilihan raya 2008

Dalam pilihan raya 2008 PAS bersama Pakatan Rakyat menang besar semula selepas orang bukan Melayu, India dan Cina, lari dari BN dan menyokong mereka.

Kesan sokongan ini menjadi berganda apabila banyak kerusi pilihan raya telah menjadi kerusi campuran antara pelbagai kaum bukannya sebagaimana sebelum persempadanan semula 2003.

"Dalam pilihan raya 2008, di Kedah kita banyak menang di kerusi 65 peratus Melayu sahaja. Kawasan majoriti 90 peratus Melayu dan ke atas banyak dimenangi Umno," kata Datuk Phahrulrazi Zawawi (gambar), pengarah pilihan raya PAS Kedah.

Ramai bimbang kini, apakah PAS Kedah akan mengekalkan sokongan bukan Melayu itu ekoran beberapa isu yang sedang dihadapi Kedah sekarang.

Antaranya isu kouta 50 peratus rumah hendaklah dijual kepada Bumiputra untuk tanah rezab Melayu yang dijadikan pegangan bebas sedangkan semasa BN dahulu, hanya kouta 20 peratus ditetapkan.

Akhbar-akhbar Cina melaporkan, Persatuan Pemaju Perumahan Kedah dengan disokong oleh MCA dan Gerakan telah membuat kempen besar-besaran termasuk untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak ekoran isu ini.

"Sebenarnya, isu ini disalahfaham oleh orang ramai. Sebenarnya ia untuk keadilan kerana tanah ini asalnya tanah rezab Melayu. Apabila ia hendak ditukar kepada pegangan bebas, kita tetap kouta 50 peratus hendaklah dijual kepada orang Melayu balik. Untuk tanah pegangan bebas dah, kita tidak sentuh pun.

"Kalau kita tidak buat macam ini, pemaju perumahan ini lebih senang membuat rumah yang berharga mahal untuk mendapat keuntungan besar dan dengan sendirinya orang Melayu tidak mampu beli lalu jadilah banyak kawasan perumahan untuk satu kaum sahaja. Ini yang kerajaan negeri mahu perbetulkan.

"Namun oleh kerana ia disalahfaham, sampai sekarang ia belum dilaksanakan," kata Pharulrazi yang juga Exco kerajaan negeri Kedah yang bertanggungjawab dalam isu perumahan ini.

Nmaun begitu, dalam satu aspek yang lain, kerajaan negeri Kedah menjadi contoh yang baik dalam isu menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini.

Apabila Perkasa mengasak kerajaan dengan isu-isu kepentingan orang Melayu, Kedah dijadikan contoh yang kuat bagaimana kerajaan pimpinan Azizan itu menjaganya.Pilihan raya kecil

Isu pengundi Melayu juga menjadi isu penting sekarang bukan sahaja kepada PAS tetapi juga PKR. Namun begitu, jika peratusan sokongan pengundi Melayu menurun untuk Pakatan, parti yang paling bermasalah adalah PAS. Ini kerana PAS yang paling banyak bertanding di kawasan ini.

Pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Hulu Selangor menjadi kajian penting sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat khasnya PAS.

Umno telah memainkan sentimen Melayu dengan berkesan di kawasan pendalaman dan kawasan kawalan (Felda dan kawasan orang Asli) dalam kedua-dua pilihan raya itu.

Di Bukit Gantang, kerajaan Perak pimpinan Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin dilebelkan sebagai kerajaan DAP kerana majoriti Adun dan Exco kerajaan adalah dari DAP.

Isu ini terus dimainkan sehingga sekarang apabila Tun Dr Mahathir sendiri dalam temubualnya dengan akhbar Siasah telah membuat kenyataan kononnya Cina tidak menyokong BN kerana marahkan Umno yang menjatuhkan kerajaan Perak kerana ia kerajaan Cina DAP.

Padahal, pengundi Cina sudah menolak BN sejak pilihan raya umum 2008 lagi bukannya selepas Umno merampas kerajaan negeri Perak itu dari Pakatan Rakyat.

Di Hulu Selangor, kawasan Felda yang pengundi hampir 100 peratus Melayu, dikuasai oleh Umno. Walaupun pelbagai usaha dibuat oleh AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman melalui NGO Anak, kubu Umno ini masih belum berjaya ditembusi.Kejayaan PAS di Selangor

Namun di sebalik semua itu, PAS dilihat berkembang pesat di Selangor sejak kebelakangan ini. Ramai penyokong PAS di Selangor telah membuat keputusan untuk memindahkan tempat mengundi mereka ke negeri itu walaupun sebelum ini mengundi di kampung asal masing-masing iaitu di luar Selangor.

PAS dilihat telah berjaya menggunakan sepenuhnya kedudukan mereka dalam kerajaan untuk mengembangkan pengaruh dan membuktikan kemampuan mereka di Selangor.

Portfolio agama dan pendidikan yang dipegang oleh dua pemimpin PAS dalam kerajaan negeri Selangor telah digunakan sepenuhnya untuk membantu perkembangan PAS ini.

Melalui portfolio agama, Datuk Dr Hassan Ali telah berjaya membebaskan hampir semua masjid dan surau di Selangor dari kekangan Umno selama ini melalui pemilihan pimpinan masjid dan surau secara demokrasi.

Melalui pendekatan ini, lebih 95 peratus masjid dan surau di Selangor dikuasai pimpinan PAS setempat kerana sememangnya masjid dan surau ramai didatangi oleh ahli dan penyokong PAS.



Melalui portfolio pendidikan pula, Dr Halimah Ali (gambar atas) berjaya membuktikan kemampuan beliau sehingga berjaya membawa Sultan Selangor sendiri bersama-sama dalam banyak majlis yang beliau anjurkan.

Terbaru, beliau bersama Sultan dan Menteri Besar menaiki bot melihat lebih 15,000 penduduk Selangor membaca dalam karnival membaca di Tasek Shah Alam.

Melalui kerjakeras beliau juga, banyak sekolah-sekolah agama berjaya dibantu dan menambahkan keyakinan masyarakat kepada kepimpinan PAS.

Namun begitu halangan besar PAS dan Pakatan adalah untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada pengundi luar bandar dan Melayu yang tidak sampai internet.

Mungkin BN menyedari, antara senjata Pakatan dalam menjalankan tugas ini adalah akhbar mereka iaitu Suara Keadilan dan Harakah. Ekoran itu kedua-duanya kini sedang mendapat tumpuan mereka.

Umno juga semacam menjadikan strategi mereka untuk memberikan tumpuan kepada pengundi Melayu ini sehingga sanggup membunuh rakan mereka dalam BN melalui kenyataan dan pendekatan kerajaan pimpinan Umno.

Berlatarbelakangkan semua inilah, semua pimpinan PAS berkampung selama tiga hari dua malam di Bagan Lalang mulai hari ini bagi menentukan halatuju PAS menjelang pilihan raya ke 13.




Kepadanya Kita di Kembalikan “ALLAHYARHUMMA EHSAN MANSOR”


Gombak – ALLAH menghidup dan mematikan kepadaNya kita dikembalikan. Adakah sudah cukup persiapan kita yang masih hidup untuk bekalan bertemu kepada pencipta kita??.

Apabila diri sentiasa diburu dengan kehidupan dunia, namun tanggungjawab sebagai saudara seislam harus kita laksanakan apabila dikhabarkan berita kematian dengan membuat lawatan ziarah kepada ahli keluarga tersebut.

Baru-baru ini, Y.B Dato’ Hasan Mohd Ali/ Adun Gombak Setia bersama Ketua Kg, Wakil Pusat Zakat, beberapa penduduk Kg Sg Pusu telah mengiringi beliau untuk menziarahi ahli keluarga Allahyarhumma Ehsan Mansor , 75thn yang menderita sakit kaser.

Allahyarhumma telah pulang kerahmatuallah dikediamannya (Kg Sg Pusu) dengan meninggalkan suami dan 4 orang anaknya.

Kedatangan Y.B Dato’ Hasan dan semua pengiring beliau tiba di kediaman tersebut telah disambut oleh anak ahli keluarga arwah dan kelihatan wajah warga emas En. Mohd Yassin ketika itu nampak begitu sayu sekali.

Dengan Ketibaan Y. B Dato’ Hasan bersama semua pengiring beliau, dirumah arwah terasa suasana semakin diuliti kesedihan apabila esekan tangisan suara En. Mohd Yasin tidak terputus.

Ahli keluarga tersebut terutamanya suami arwah (Mohd Yasin Mohd Amin, 84thn) yang mengalami sakit tua seperti tidak boleh menerima hakikat dengan kehilangan isteri tercinta setelah sekian lama hidup bersama.

Segala ubat-ubatan isteri masih dipegang olehnya lagi. Menurut anak beliau, Mohd Nazrin “Semenjak ibu pergi ayah sering sakit dan setiap detik yang berlalu hatinya sentiasa mengingati arwah. Bagaikan satu kejutan yang tidak diduga olehnya apabila ibu yang sentiasa memberi semangat kepada ayah yang sentiasa tidak sihat, telah pulang kerahmatuallah terlebih dahulu”.

Sebagai anak saya sering menasihatinya agar redha dengan pemergian ibu. Tetapi apabila beliau keseorangan sering sahaja ayah menangis, baju ibu juga menjadi selimut untuknya bagi mengubat rindu pada arwah. Mungkin mengambil masa sedikit untuk ayah menerima hakikat ini, katanya.

Begitulah suasana yang menyayat hati kepada semua pengunjung yang hadir apabila melihat sikap yassin diiringi esakan tangisan yang masih tidak terhenti, mungkin beliau masih teringatkan arwah isterinya ketika kami mengunjungi ke rumahnya.

Jelas kelihatan suasana yang menyedihkan masih terasa lagi kepada penghuni rumah tersebut apabila kehilangan orang yang dikasihi.

Semoga kedatangan YB Dato’ bersama kakitangan PKM Dun Gombak Setia dan semua pengiring beliau dapat memberi sedikit kekuatan dan menenangkan keadaan keluarga tersebut.

YB Dato’ Dr. Hassan bin Haji Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam / Adun Gombak Setia, telah memberi sumbangan kepada ahli keluarga tersebut dan insya-ALLAH dalam masa terdekat akan diberikan sumbangan khairat kematian untuk arwah bagi pengurusan jenazah, kenduri arwah dan sebagainya bagi membantu ahli keluarga berkenaan.

Semoga allahyarhumma ditempatkan dikalangan golongan orang yang beriman, insya-ALLAH, Al-Fateha..

Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI