Wednesday, February 5, 2014

Umcedel jangka Anwar menang besar di Kajang


Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) menjangkakan calon PKR dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memperolehi majoriti yang lebih besar berbanding PRU13 lalu.

Pengarah Umcedel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata isu dalaman yang berlaku dalam PKR tidak akan mempengaruhi undi kepada ketua umum PKR itu.

Katanya, kehadiran pemimpin itu sebagai calon di DUN Kajang adalah penyelesaian kemelut isu terbabit.

“Isu krisis dalaman parti itu tidak memberi kesan kepada pengundi di Kajang, malah beliau akan menang dengan majoriti yang besar.

“Mengikut kajian sejak 1999, pilihan raya adalah perkara yang ditunggu rakyat, tidak ada soal tidak suka atau sebaliknya,” katanya seperti dilaporkan oleh Selangorkini.

Anwar diumumkan menjadi calon DUN Kajang oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lim Chin Cheh meletak jawatan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Mei tahun lalu, PKR menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Peletakan jawatan Lee Chin Cheh menimbulkan kegelisahan di kalangan penyokong Pakatan namun selepas penjelasan diberikan, sokongan kepada Anwar semakin padu.

Redzuan bersetuju masalah dalaman PKR perlu diselesaikan dengana segera, sebaiknya sebelum PRU ke-14 menjelang.

 

Punca Sebenar Taib Mahmud Mahu Letak Jawatan


Spekulasi mengenai peletakan jawatan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud timbul kembali dan beliau dijangka akan melepaskan jawatan bulan ini, lapor Berita Harian.
Menurut Berita Harian, keputusan untuk berundur selepas 33 tahun menerajui Sarawak dijangka akan dimaklumkan ketika mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sabtu ini.
Abdul Taib, 78, juga dikatakan akan mengadakan mesyuarat khas bersama semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan UndanganNegeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Sarawak pada hari Ahad.
Akhbar itu memetik sumber yang turut memaklumkan Abdul Taib sudah memilih beberapa calon dengan kriteria yang diinginkannya.
Berdasarkan kenyataan sumber itu kepada Berita Harian, tiga nama sudah dikenal pasti akan menggantikan beliau, iaitu Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem, 69; Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Openg, 64; dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, 58.
Selain itu, turut disebut calon bakal menggantikan beliau adalah bekas anggota Kabinet Pusat, Datuk Seri Effendi Norwawi, 66.
Abdul Taib sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berundur ketika pilihan raya negeri itu pada 2011.
Bagaimanapun, sehingga awal 2014, ianya masih belum berlaku.
"Ada yang menyatakan Taib akan dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin yang akan tamat tempoh pada 28 Februari ini," lapor Berita Harian.

PRK KAJANG : TARIKH 11 MAC TIDAK SESUAI DIADAKAN PENAMAAN CALON



  Gombak 5 Feb: Pengarah jentera Pilihanraya, Dr Hatta Ramli menyambut baik tarikh Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang akan diadakan pada 23 Mac dan penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac yang telah diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini hari ini.

Beliau berkata bagi Pakatan Rakyat (PR) walaupun tarikh pilihanraya masih lambat lagi namun kita terima dengan baik tetapi tarikh penamaan calon  pada 11 Mac yang jatuh pada hari selasa agak kurang sesuai diadakan kerana ia memberi kesukaran kepada pengundi dan seluruh penyokong samada daripada PR atau UMNO untuk  memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Berdasarkan pengalaman pilihanraya kecil lalu yang telah diadakan dinegeri-negeri apabila SPR menetapkan tarikh buang undi atau penamaan calon waktu bekerja ia memberi kesan kepada pengundi dan seluruh penyokong. Justeru besar harapan saya agar SPR memikirkan tarikh yang sesuai agar pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka membuang undi sebagai rakyat Malaysia. Dan penyokong dapat bersama hadir memberi sokongan sepenuhnya untuk memeriahkan suasana PRK.

Menurut Dr Hatta, tempoh mengundi yang diberikan oleh SPR  selama 13 hari adalah sangat sedikit bagi memberi peluang kepada calon dan petugas menjalankan tugas merayu undi dengan baik. Maka eloklah di panjangkan sedikit tempoh tersebut.

Beliau mengulas tujuan kita minta SPR panjangkan tempoh terebut kerana walaupun kawasan itu kecil namun bilangan pengundi adalah seramai  lebih kurang 40,00 orang. Kita ingin faham kepada semua pengundi dan menerangkan misi visi PR sekiranya PR dapat mengekalkan kerusi disini. Maka sewajarnya pihak SPR memikirkan hal tersebut.

Insya-Allah saya akan pastikan seluruh jentera Pilihanraya akan turun kepadang bagi memastikan PR menang besar di kawasan itu untuk menggantikan  kekosongan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor itu berikutan peletakan jawatan secara mengejut anggota DUN Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Jan lalu, Kata Dr Hatta ketika menghubungi pemberita sebentar tadi


Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Lee memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.


Editor : Khaulah Azwar 

Presiden PAS lancar Kempen Jom Turun Esok


KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat dengan kerjasama PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan satu pelancaran roadshow kempen Jomturun peringkat pusat.

“Kempen ini dilancarkan bertujuan untuk menggerakkan kesedaran rakyat berkaitan kenaikan kos sarahidup yang semakin membebankan rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Katanya, kempen yang digerakkan oleh PAS ini selari dengan agenda rakyat yang ingin melihat negara ini bebas dari korupsi yang menjadi punca utama kenaikan kos sara hidup. 

Selain itu, ujarnya PAS juga menuntut supaya ditangguhkan perlaksanaan GST yang masih belum sesuai dilaksanakan dalam negara ini. PAS juga meminta supaya didedahkan perjanjian konsesi tol yang dilihat menyebelahi syarikat konsesi tol dan dalam masa yang sama terus menjerut leher rakyat.

Pelancaran roadshow itu, kata Mahfuz akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut disertai oleh timbalannya, Mohamad Sabu dan beliau sendiri.

Selain itu, jelasnya wakil-wakil dari Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat Pusat juga akan turut hadir bagi menjayakan program besar itu.

Pelancaran roadshow itu, kata beliau akan diadakan pada Jumaat, 7 Februari jam 9.00 malam bertempat di Padang Blok E, Desa Pandan, Kuala Lumpur. 

“Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak PAS Pusat menjemput dan mempersilakan seluruh rakyat yang prihatin terhadap isu kenaikan kos ini khususnya warga Lembah Kelang, dan juga warga media cetak dan elektronik agar dapat turun hadir bersama-sama memberi sokongan dan membuat liputan terhadap pelancaran roadshow ini,” ujarnya lagi.

PRK Kajang: PAS Selangor sudah buka bilik gerakan

KUALA LUMPUR: PAS Selangor telah membuka bilik gerakan pilihan raya bagi  mempersiapkan jentera pilihan raya kecil (PRK) Dun Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac nanti.



Perkara itu dimaklumkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad sekaligus telah melantik Jaafar Shamsuddin sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Selangor bagi Pilihan Raya Kecil Kawasan Dewan Negeri Kajang.

Sehubungan itu, bilik Gerakan Utama PAS Selangor beroperasi di Pejabat PAS Kawasan Hulu Langat, G20-1A, Jalan Prima Saujana 2/D, Seksyen 2, Taman Prima Saujana, 43000 Kajang.

"Petugas-petugas PAS dari dalam dan luar Selangor yang akan bertugas di Kajang bolehlah menghubungi Mohd Shariff Din, Setiausaha Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Dewan Negeri Kajang di 013 3883700 untuk penyelarasan," katanya dalam kenyataan ringkas di laman Facebooknya.

Pilihan Raya N25 Kajang diadakan berikutan wakil rakyatnya Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dimumkan sebagai calon PKR oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. 

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan hari penamaan calon PRK Kajang pada 11 Mac manakala 23 Mac pula adalah hari membuang undi.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI