Wednesday, November 30, 2011

Ramai peminat ingin dampingi artis ‘berhijrah’


GOMBAK, 30 Nov: Catriona Ross (gambar) melahirkan rasa terkilan dengan sikap dan pandangan syarikat perfileman dan masyarakat terhadap artis yang sudah berubah.

“Fenomena hari ini memang amat mendukacitakan. Tidak seharusnya mereka mengenepikan artis-artis yang sudah ‘berhijrah’ menjadi mukmin yang lebih baik,” ujarnya pada Program Maal Hijrah di Masjid Kampung Nakhoda, petang semalam.

Menurutnya, semua artis yang telah ‘berhijrah’ itu harus diberikan sokongan 100 peratus.

Sebaliknya, kata beliau apa yang berlaku, pintu rezeki mereka ‘ditutup’ oleh syarikat perfileman kerana bimbang dengan perubahan artis tersebut yang akan mencemarkan nama syarikat mereka.

Baginya, pandangan negatif itu seharusnya diubah kerana apabila artis-artis telah berhijrah, semakin ramai peminat ingin mendampingi dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi yang sekaligus akan mengharumkan industri perfileman negara.

“Alhamdulilah apabila saya sudah berhijrah, rezeki yang Allah SWT berikan lebih baik dan kehidupan saya lebih tenang, bahkan saya dikelilingi oleh orang-orang yang beriman dan sentiasa membantu saya dalam mencari erti kehidupan sebenarnya.

“Bagi saya, rezeki dan kehidupan kita telah ditetapkan oleh Allah SWT dan kita perlu percaya apa yang telah ditetapkan-Nya.

“Semua artis yang berubah tidak perlu bimbang mengenai rezeki tersebut kerana Allah SWT sudah aturkan kehidupan hamba-Nya,” katanya.

Artis kelahiran Kelantan itu juga menggesa syarikat perfileman agar kreatif mengeluarkan filem-filem berbentuk Islamik dan ilmiah yang mengajak orang ramai membuat kebaikan bagi membendung gejala sosial.

Ini, katanya adalah bertujuan untuk membuka mata masyarakat agar memikirkan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sebelum melaksanakannya.

“Kita bimbang dengan penyiaran filem-filem berunsurkan negatif yang semakin berleluasa tanpa dibendung.

“Janganlah kita hanya mengaut keuntungan sebelah pihak tetapi akan datang generasi yang penentu masa depan negara dirosakkan dengan unsur-unsur negatif yang disiarkan dalam filem tersebut,” ujarnya.

Editor : khaulah Azwar

Pemuda PAS saran terbit filem positif, ilmiah




GOMBAK, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa penerbit filem negara memikirkan untuk mengeluarkan filem yang berunsur positif sebelum untuk ditonton oleh masyarakat umum.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, rakyat khususnya ibu bapa dihantui perasaan bimbang apabila menonton filem yang diterbitkan hari ini langsung tidak menyerapkan unsur-unsur positif dan ilmiah.

“Saya tidak tahu bagaimana pihak penerbit boleh mengeluarkan filem-filem yang berunsurkan seks, tahyul, mat rempit, dan sebagainya yang telah disajikan kepada masyarakat tanpa memikirkan kesan akan datang kepada golongan muda khususnya,” ujarnya pada Majlis Maal Hijrah di Masjid Kampung Nakhoda, petang semalam. Turut menjadi panel ialah artis Catriona Ross.

Katanya lagi, masyarakat yang sememangnya mudah terpengaruh dengan aksi-aksi yang dipaparkan melalui filem-filem seperti dan ingin mencuba.

Bahkan, ujarnya ada filem komedi dan berunsur khayalan yang mempermainkan kalimah syahadah yang merupakan isu sangat sensitif di sisi Islam.

“Pada hal Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang dikatakan mempunyai panduan penapisan filem seharusnya dapat menghalusi dan melihat implikasi hasil daripada penayangan setiap filem yang hendak diberi kelulusan tayangan.

“PAS berharap jangan hendaknya industri filem di negara ini mulai cenderung untuk menghasilkan karya secara bebas seperti pengusaha filem Barat sehingga sensitiviti agama dan nilai sakral yang ada pada masyarakat timur diketepikan hanya kerana mahu bersaing dan setaraf dengan industri perfileman Barat,” katanya.

Secara jujur, beliau kecewa dengan filem-filem yang kepada masyarakat hari ini.

Beliau juga menggesa masyarakat agar bersama dengan Kerajaan Selangor yang berusaha mengatasi masalah gejala sosial di kalangan belia seterusnya melahirkan Generasi Idaman Selangor (GeMS).

“Kami sentiasa memberi kerjasama dengan semua badan NGO, masjid dan surau dengan menganjurkan pelbagai program pendekatan rakyat terutamanya mendekati golongan beliawanis agar mereka tidak rasa disingkirkan,” ujarnya.



Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI