Wednesday, May 13, 2015

Rafizi insiden mikrofon dirampas, diserbu SB & polis Bukit Aman

Gombak : 13 Mei 2015 : Saya kesal dengan tindakan kasar Ketua Keselamatan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Razali Mohamad yang bertindak merampas mikrofon semasa saya sedang berucap di dalam satu forum mengenai GST di UIA semalam.

Saya telah dijemput oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP atau Students Representative Council, SRC) UIA untuk menyertai satu forum mengenai GST. Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa pihak UIA telah meluluskan penganjuran forum ini kerana ia melibatkan wakil dari Umno (Lokman Adam) dan wakil dari Jabatan Kastam dan Eksais.

Saya juga dimaklumkan oleh MPP bahawa Rektor UIA, Dato’ Seri Dr Zaleha Kamaruddin telah meletakkan garis panduan bahawa MPP boleh menjemput ahli politik berdiskusi dalam majlis ilmu di UIA dengan syarat ahli politik itu mempunyai kelayakan dalam bidang yang dibincangkan.

Saya hanya mendapat tahu semalam bahawa pada saat akhir, Rektor UIA telah mengarahkan supaya program itu dibatalkan. Menjelang jam 8 malam, telah timbul kekeliruan apabila saya dimaklumkan bahawa pihak UIA bersetuju agar program itu diteruskan apatah lagi kerana wakil Umno, Lokman Adam pun mahu hadir juga.

Saya telah dimaklumkan dari awal bahawa pihak Keselamatan UIA telah mengadakan sekatan jalanraya untuk menyemak setiap kereta yang masuk UIA. Saya mengambil keputusan untuk menaiki motosikal dan berjaya memasuki UIA tanpa ditahan oleh pihak Keselamatan.

Sekitar jam 930 malam apabila saya tiba di satu ruang terbuka di mana siswa UIA telah berkumpul, saya mendapati Lokman Adam telah pun berucap. Saya juga mendapati kehadiran pihak polis Cawangan Khas yang ramai termasuklah beberapa anggota Cawangan Khas yang datang memperkenalkan diri mereka kepada saya.

Pihak MPP UIA memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan program. Setelah 15 minit Lokman Adam berucap, seorang pegawai Keselamatan UIA tampil mengumumkan bahawa pihak pengurusan teratas UIA telah membuat keputusan bahawa program boleh diteruskan tetapi hanya Lokman Adam yang dibenarkan berucap.

Rafizi
Ini menimbulkan kemarahan dan kekecewaan siswa yang hadir. Lokman Adam kemudiannya menyatakan dia akan berhenti bercakap dan mahu program dihentikan. Pada ketika itu saya menyatakan kepada pimpinan MPP dan siswa yang hadir bahawa tidaklah adil jika saya langsung tidak dibenarkan berucap sedangkan Lokman Adam telah pun berucap selama 15 minit.

Pada ketika itulah pimpinan MPP berunding dengan pegawai Keselamatan UIA yang ada di situ dan menyatakan bahawa majlis akan berakhir setelah saya berucap selama 15 minit. Saya dijemput berucap dan pada minit kelapan (seperti di dalam video yang dilampirkan bersama), seorang yang tidak dikenali datang menghampiri saya dari sebelah kanan.
Dalam beberapa saat itu tanpa memaklumkan apa-apa kepada saya, orang itu merampas mikrofon sehingga tercabut bateri mikrofon. Ini berlaku di hadapan beratus-ratus siswa UIA yang hadir dan menimbulkan suasana tegang. Saya menyatakan secara terbuka kepada orang itu bahawa tindakannya adalah biadap dan tidak menghormati majlis ilmu. Cara biadapnya itu bukanlah contoh terbaik di hadapan siswa.
Saya dimaklumkan kemudian bahawa orang itu adalah Superintendent Razali Mohamad, Ketua Keselamatan UIA. Saya juga dimaklumkan bahawa dia adalah seorang anggota polis dari Bukit Aman yang dipinjamkan kepada UIA sebagai Ketua Keselamatan.
Keadaan menjadi tegang apabila beberapa orang dewasa yang tidak beruniform menghampiri saya dan cuba untuk memaksa saya beredar dari kawasan itu. Saya dilindungi oleh puluhan siswa UIA yang memisahkan saya dari orang-orang yang tidak dikenali ini. Beberapa dari mereka membuat bising dan mengkritik kononnya tindakan saya tidak mencerminkan seorang Ahli Parlimen. Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa orang-orang yang tidak dikenali ini adalah anggota-anggota polis Cawangan Khas. Selepas 20 minit, saya akhirnya di bawa beredar dari kawasan itu dan siswa bersurai dengan aman.

Ini bukanlah kali pertama pengurusan UIA di bawah Rektor Dato’ Seri Dr Zaleha Kamaruddin membatalkan program ilmiah di saat akhir apabila ia melibatkan tokoh Pakatan Rakyat. Sebelum ini pun UIA mengundang kontroversi apabila membatalkan program-program UIA termasuklah yang melibatkan menteri, wakil kedutaan asing dan Exco Kerajaan Selangor. Kecenderungan Rektor UIA ini memberi gambaran seolah-olah UIA tidak meraikan ilmu yang dijana dari perbezaan pendapat. Malah keputusan Rektor UIA yang membenarkan hanya wakil Umno untuk berucap semalam mendedahkan bagaimana beliau telah mempolitikkan kedudukannya bagi kepentingan Umno.

Saya juga bimbang dengan kehadiran anggota polis Cawangan Khas dalam program ilmiah yang dianjurkan oleh siswa. Malah, saya menerima aduan bahawa kehadiran polis Cawangan Khas di dalam kampus UIA ini adalah satu perkara biasa.

Tindakan-tindakan ini bertentangan dengan hasrat Kerajaan Barisan Nasional sendiri untuk menaiktaraf mutu institusi pengajian tinggi. Untuk menjadi universiti yang berwibawa, UIA perlu menghormati kebebasan ilmu dan kebebasan berfikir. Jika Rektor UIA tidak mampu memahami perkara asas ini, sewajarnya beliau meletakkan jawatan sebagai Rektor UIA dan mengambil jawatan baru di dalam Umno sesuai dengan kecenderongan beliau selama ini.

Rafizi Ramli
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

1MDB enggan ulas, anggap pinjaman RM3.6 bilion ‘perkara sulit’





1Malaysia Development Berhad (1MDB) enggan memberi sebarang komen mengenai status pinjaman AS$975 juta (RM3.6 billion) daripada konsortium 6 bank luar negara, dengan memberi alasan ia merupakan "perkara perbankan sulit".

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam jawapan balas emel kepada The Malaysian Insider tentang persoalan tersebut, bagaimanapun, memberi jaminan maklumat selanjutnya akan diberi apabila mereka berupaya melakukannya.

"Kami sedar tentang laporan media dan kenyataan berhubung pinjaman yang diambil 1MDB pada September 2014. Walaupun kami ingin memberi maklum balas terperinci, ia berkait dengan perkara perbankan yang sulit, menghalang kami daripada memberi komen tentangnya buat masa ini. Bagaimanapun, kami berniat mengumumkan kepada pasaran sebaik kami boleh lakukannya," katanya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Bank mula "gelisah" dan mahu syarikat itu menyelesaikan hutangnya. Ini kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank. Akhbar perniagaan itu memetik sumber berkata dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos. "Apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata sumber dipetik akhbar itu.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan menerima maklumat yang syarikat dana pelaburan negara bermasalah itu menyenaraikan akaun yang "diragui" di dalam BSI Singapore sebagai cagaran. Beliau berkata sekiranya ini benar, 1MDB mungkin terpaksa menggunakan peruntukan awam untuk menepati tarikh akhir pada September, memandangkan akaunnya di BSI dilaporkan tidak mempunyai wang. Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB dalam BSI hanya mengandungi "aset kertas" dan "nilai sebenarnya tidak dapat dikenalpasti".

"Pinjaman sebesar ini semestinya akan mempunyai cagaran. Maklumat yang saya terima adalah cagaran untuk pinjaman ini adalah wang di dalam akaun BSI Singapore, yang dilaporkan sebagai tidak wujud," kata Rafizi. Kritikan semakin memuncak terhadap syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 2009 itu, selepas hutangnya mencecah RM42 billion. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kemudahan pinjaman RM950 juta untuk 1MDB, di mana RM600 juta sudah pun digunakan. Isu 1MDB bertambah sengit berikutan pendedahan Sarawak Report, yang menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mencetuskan tuntuan dari ahli politik pembangkang, pemimpin Umno veteran dan badan anti-rasuah supaya siasatan mendalam dilakukan.

 

Rasa teraniaya, ahli PAS keluar caruman Tabung Haji


Peserta #BantahGST desak polis siasat ugutan rogolnya


Nazri cabar Mahathir, kalau berani tanding di Pekan


ADUN Umno Lenggeng, Datuk Ishak Ismail telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi

ADUN Umno Lenggeng, Datuk Ishak Ismail telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi, yang berkemungkinan membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

Perintah mengisytiharkan Ishak muflis telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada 18 Mac dan Ishak dikatakan menerima perintah itu bulan lepas.

Seseorang wakil rakyat hilang kerusinya selepas diisytiharkan muflis.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga pengerusi Umno negeri, berkata status Ishak sebagai ADUN kekal sehingga rayuannya didengar.

Menurut The Star, ahli politik berusia 64 tahun itu gagal untuk menyelesaikan pinjaman daripada ahli perniagaan, Misran Sukadi.

Bagaimanapun, Ishak berkata beliau hanya diserahkan perintah mahkamah pada 27 April.

"Peguam saya telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikannya dan perkara itu akan didengar di Mahkamah Tinggi esok," katanya kepada The Star.

Pada tahun 2009, Ishak berucap di Perhimpunan Agung Umno yang mensasarkan ramai pemimpin parti itu dan rakaman ucapannya laris dijual seperti goreng pisang panas.

Beliau mensasarkan pelbagai pemimpin, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapannya itu, Ishak menceritakan bagaimana menteri itu lemah dalam bahasa Inggeris di zaman mudanya dan telah menyebut "two zero dollars" dan bukannya "twenty dollars".

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata speaker dewan belum memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Di bawah undang-undang, jika anda telah disahkan muflis, dan anda tidak boleh menyelesaikan (muflis), maka akan berlaku kekosongan," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika Ishak merayu dan berjaya menyelesaikan isu ini, maka pilihan raya tidak akan diadakan..

[Malaysia] Arrested for handing letter to Premier Najib Razak at KL Sentral

[Malaysia] Arrested for handing letter to Premier Najib Razak at KL Sentral[Malaysia] Arrested for handing letter to Premier Najib Razak at KL SentralSauce: KiniTV
Posted by SG Share on 9 May 2015

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI