Thursday, June 10, 2010

Mengekal Adat Istiadat Melayu


Mengekalkan Warisan Adat Istiadat Melayu bukan semudah itu jika tidak diambil berat oleh masyarakat. Oleh itu untuk mengekalkan warisan ini Persatuan Kompang Ezhar telah mengambil inisatif untuk mengadakan Majlis Latihan Gabungan Ezhar Zon Gombak.

Majlis tersebut telah diadakan baru – baru ini di Balai Raya Kg Kerdas yang telah mendapat sambutan daripada penduduk sekitarnya.

Kemeriahan majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Hassan bin Haji Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Turut menghadirkan diri dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Persatuan Ezhar En. Johari , Pengerusi -Pengerusi Cawangan Persatuan Kompang Ezhar, Tok Empat Kg Tengah En Idrus Bin Md Yusof.

Sebanyak 4 cawangan di peringkat Zon Gombak yang telah berkejasama untuk memeriahkan majlis tersebut iaitu Cawangan Persatuan Kompang Ezhar Bt 6 1/5 Gombak, Persatuan Kompang Ezhar Bt 9 Air Panas, Persatuan Kompang Ezhar Sinar Budi & Persatuan Kompang Sri Changkat.

Menurut Pn. Liza AJK Persatuan Ezhar Kompang Kg Tengah, tujuan mengadakan Majlis Perasmian Latihan Kompang Ezhar adalah untuk mengeratkan siraturrahim antara ahli- ahli persatuan cawangan kompang, memahirkan kemantapan pemain kompang dengan mengadakan latihan. Insya-ALLAH latihan ini akan diadakan antara cawangan-cawangan agar pemain kompang merasa yakin dan lebih mahir apabila dijemput dalam sesuatu majlis rasmi.

Setakat ini, alhamdulilah seramai 170 orang yang telah menjadi ahli Kompang Ezhar. Didapati jumlah keahlian semakin meningkat. Dan kita lihat anak-anak muda tidak kira samada muslimin/muslimat begitu berminat untuk menyertai persatuan ini, katanya.

Berkata Y. B Dato’ Hasan Mohd Ali yang merupakan Penaung Persatuan Kompang Ezhar, alhamdulilah walaupun zaman semakin berkemajuan namun Adat Istiadat Melayu ini masih dikekalkan oleh generasi kita sehingga kini. Dan diharap pada masa akan datang anak-anak generasi ini akan meneruskan warisan nenek moyang kita agar tidak dilenyapkan begitu sahaja.

Selain daripada itu, dengan penglibatan anak-anak muda dengan persatuan kompang mereka akan terbuka minda dengan mempelajari cara pukulan kompang yang betul mengikut rentak lagu-lagu yang telah terpilih.

Bukan itu sahaja, dengan penglibatan anak-anak muda dengan aktiviti ini, sekali gus mereka dapat mengisi aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan tidak melibatkan diri dengan merosakkan akidah mereka sendiri.

Penglibatan pergaulan yang tidak terbatas, kurang pendididkan & pengetahuan agama juga, pasti akan melibatkan gejala sosial yang semakin meningkat. Ini amat membimbangkan semua pihak untuk mengatasi masalah ini lebih-lebih lagi isu gejala sosial yang kita dapati terutamanya pengambilan dadah, pecah rumah, kes pembuangan bayi yang semakin hari semakin meningkat.

Sehingga kini, semua pihak masih tidak bertemu lagi formula untuk mengatasi masalah ini melainkan sikap tanggungjawab semua masyarakat untuk membimbing, memberi teguran dengan menjalankan amal maaruf nahi mungkar, majlis-majlis ilmu agama juga yang seharusnya perlu ditingkatkan dalam setiap majlis tidak kira di sekolah, ipt dan surau/ masjid untuk mengingati antara satu sama lain, katanya.

Kesian apabila kita lihat anak-anak kecil yang tidak berdosa dibuang begtu sahaja, dibunuh dengan berbagai cara tanpa belas ehsan. Penglibatan remaja-remaja yang mengambil dadah sekali gus membuat masyarakat dan penduduk sekitar merasa tidak aman kerana timbulnya kecurian dan sebagainya. Inilah natijahnya jika kita memberi tumpuan pada anak-anak dan penglibatan remaja-remaja dengan mengadakan hubungan seksual dengan meletakkan nafsu dihadapan tanpa takut hukuman ALLAH yang akan diberi mungkin tidak terima didunia tetapi diakhirat nanti, setiap amal perbuatan kita akan di persoalkan.

Jadi amatlah wajar pada kita sebagai masyarakat terutamanya ibubapa /penjaga menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri dengan berbagai aktiviti dan persatuan-persatuan yang mendatangkan kebaikkan pada mereka dan masyarakat.

Sekiranya ibubapa/penjaga tidak mengambil daya inisatif untuk membawa anak-anak mereka melibatkan diri dengan aktiviti yang berfaedah, tidak diberi teguran dan peringatan saya yakin anak-anak generasi kita akan tersasar lebih jauh kerana kehidupan mereka tidak dikawal rapi akibat sikap kita sendiri, katanya dalam majlis tersebut.

Tahniah dan syabas kepada pihak penganjur Persatuan Kompang Ezhar yang masih mengekalkan warisan ini dan berjaya mengumpulkan anak-anak muda, yang kita lihat hari ini begitu ramai menyertainya.

Semoga usaha murni ini diberkati ALLAH swt dan diharap pihak penganjur akan berusaha lebih gigih lagi dengan mengadakan aktiviti -aktiviti sampingan yang melibatkan adat istiadat melayu agar mereka tidak melupakan adat ini, katanya. dan terus menerus mengekalkannya walaupun kita tiada lagi didunia ini satu hari nanti.

Editor : Khaulah Azwar

Bendera Israel berkibar di Malaysia?


KAPAL Zim USA yang didaftarkan di Israel ini kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang pada 20 Jun.


BENAR seperti kata negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita mudah lupa. Ingat lagi semasa Gaza diserang bertalu-talu, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam bagai nak gila. Demonstrasi sana-sini. Minta diboikot itu dan ini, barangan yang dikeluarkan oleh Yahudi dan yang diasaskan dari Israel.

Lepas sebulan serangan ke atas Gaza tamat, pemikiran kita mula lembam, enam bulan selepas itu sedikit demi sedikit mula lupa dan selepas setahun terus lupa.

Kempen-kempen boikot dan amarah kita sudah hilang sehinggalah seminggu ini. Sejak minggu lalu kita bangkit semula. Solat hajat diadakan semula di sana-sini. Televisyen dan akhbar-akhbar penuh dengan berita dan komentari (termasuklah Cuit ini hari ini) mengenai kisah Israel, Yahudi dan kekejamannya. Jika Israel tahu mengenai sindrom mudah lupa kita, sudah pasti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Tapi bangsa Yahudi ini bijak, mereka memang tahu tabiat kita, terutamanya umat Islam dan orang Melayu kita ini. Kita ini hanya akan melompat ikut musim. Itu pasal Israel suka menyerang ikut musim. Ada musim-musim tertentu mereka akan bertindak dan sekali gus dunia (terutamanya dunia Islam) akan melompat. Kemudian senyap.

Tujuan mereka ialah supaya semua orang ingat akan (kewujudan) negara Israel itu.

Dari segi dasar kerajaan, Malaysia memang konsisten. Kita adalah antara segelintir negara Islam dan di dunia yang tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Langkah kerajaan itu amat kita sanjung. Kita berharap selagi ada negara Yahudi haram itu, kita tidak akan mengiktiraf kewujudannya sampai bila-bila.

Begitu juga hubungan dagangan dengan negara itu. Secara automatik hubungan itu tidak berlaku, kerana kita tiada hubungan diplomatik. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel tidak boleh juga menahan rakyat kita kerana kita tiada hubungan yang sah dengannya. Dalam kes yang berlaku ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza itu, rakyat Malaysia ditahan di laut antarabangsa - bukan dalam kawasan perairannya, itu lagi salah.

Namun, walaupun kita tidak mempunyai hubungan itu, difahamkan ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini. Mungkin bukan terus, tapi dari negara ketiga.

Tapi benarkah kapal Israel dibenarkan memasuki ke pelabuhan kita dan melakukan perdagangan dengan negara ini secara terus?

Benarkah itu berlaku? Apakan kerajaan sedar ia berlaku?

Melalui maklumat seorang sahabat yang terlibat secara terus dalam bidang perkapalan, saya melakukan siasatan. Satu maklumat kepada saya kemudiannya mendedahkan senario bagaimana halusnya rejim itu menjalinkan hubungan dagang dengan kita.

Kita jangan cakap perkakasan yang canggih dan besar-besar yang dihantar untuk kegunaan kita di sini dari negara ketiga. Kita cuma bercakap mengenai soal buah epal dan buah oren yang dihantar oleh kapal mereka ke pelabuhan kita. Rakan yang mendedahkan maklumat itu geram kerana kapal kemanusiaan kita dihalau dan diserang, sebaliknya kapal Israel sewenang-wenangnya berlayar dan berdagang di negara ini! Bolehkah pula kapal MISC kita memasuki Pelabuhan Haifa di Israel? Jawapannya, tidak.

Begini bunyi maklumat itu (yang diterjemah dalam bahasa Melayu):

Zim Israel Navigation Company ialah syarikat perkapalan milik Israel. Statusnya lebih kurang macam MISC, syarikat perkapalan nasional kita.

Maklumat mengenai syarikat perkapalan Zim boleh dilayari melalui www.zim.co.il. Di bawah tajuk sejarah, ditulis: Bermula dengan permulaan bersejarah pada 1945 sebagai kapal pengangkut imigran (kaum pendatang) dari wilayah berperang Eropah ke negara harapan bernama Israel, ZIM kini menjadi salah sebuah syarikat perkapalan terbesar yang beroperasi di seluruh dunia. (From historic beginnings in 1945 as a carrier of immigrants from war-torn Europe to the nascent state of Israel, ZIM has become one of the world‘s largest shipping companies with operations throughout the world.)

Kelmarin (7 Jun kapalnya bernama Zim Genova) berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo-kargo yang besar.

Secara puratanya kapal itu panjangnya kira-kira 253 meter, lebar 32 meter dan boleh membawa muatan sebanyak 4,000 Teu atau bersamaan 4,000 buah kontena 20 kaki. Ia berlayar keluar dari pelabuhan itu kira-kira pukul 7 pagi semalam (8 Jun).

Selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

Zim USA, misalnya kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang ialah sekitar 20 Mei lalu, kira-kira tengah hari (Sila layari http://www.marinetraffic.com/ais/shipdetails.aspx?mmsi=428000109).

Di serombong asapnya (funnel) terpampang bendera Israel – tujuh bintang yang dengan megahkan berlabuh di pelabuhan kita!

Kebanyakan pegawai kapal-kapal itu terdiri daripada rakyat Israel.

Satu lagi e-mel yang diterima berbunyi:

Zim Israel Navigation Company atau Zim Lines juga mempunyai anak syarikat penuhnya iaitu Gold Star Line. Nama kapal-kapalnya ialah: New Asia Middle East Express, China Vietnam Express, East Mediteranean Express, Far East Africa Express dan Chittagong Malaysia Express.

Gold Star Line ini berpangkalan di Hong Kong. Di negara Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia - Zim beroperasi di bawah nama Gold Star Line.

Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.

E-mel itu menulis lagi: Sekiranya kita tiada hubungan dua hala dengan Israel, mengapa dibenarkan kapal-kapal mereka memasuki perairan kita? Mengapa berdagang dengan mereka? Apa yang berlaku ini?

Saya tidak boleh jawab soalan itu. Saya hanya boleh tulis dan sampaikan. Jika betul, kita minta -- Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta pengendali pelabuhan yang diswastakan iaitu Pelabuhan Barat (West Port) dan Pelabuhan Utara (North Port) - sila jawab, jika salah sila jelaskan.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI