Monday, June 24, 2013

Undi Bersurat : Pelantikan Speaker Dipertikai - FOKUS

Exco Selangor Desak Sekolah Tutup Jika Jerebu Cecah IPU 150

SHAH ALAM 25 JUN :  Elizabeth Wong,  Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar hari ini mempersoalkan arahan Kementerian Pelajaran yang hanya membenarkan sekolah ditutup sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300, iaitu paras merbahaya.
Elizabeth berkata adalah lebih munasabah jika sekolah dibenarkan tutup jika masalah jerebu melebihi paras 150 IPU iaitu pada tahap tidak sihat.
“Saya rasa tahap bacaan IPU 300 itu terlalu lambat, lebih baik jika bacaan mencecah 150 terus tutup sekolah kerana kita mesti faham paru-paru kanak-kanak tidak tahan seperti orang dewasa.
“Ini cadangan saya, mereka perlu lihat semula lebih baik tutup sekolah dan diganti persekolahan itu pada hari minggu daripada menjejaskan kesihatan pelajar,” katanya.
Beliau ditemui ketika mengedarkan topeng muka kepada penduduk Bukit Lanjan di pasar pagi Desa Jaya di Petaling Jaya pagi ini.
Semalam, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) memaklumkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan supaya menutup sekolah sekiranya IPU berada ditahap  melebihi 300.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Persekutuan wajar mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) itu kerana ia akan memberi kesan kesihatan kepada pelajar.
Elizabeth berkata arahan kementerian tidak konsisten dengan tindakannya semalam di mana sekolah-sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor ditutup apabila paras IPU berada di bawah 200.
“Tindakan Kementerian untuk membuka semula sekolah-sekolah di negeri Selangor dan Kuala Lumpur adalah tidak wajar. Semalam keadaan di kebanyakkan tempat dibawah IPU 200 ditutup. Tetapi hari ini bacaan IPU melebihi 200, sekolah dibuka.
“Perkara ini sudah tentu akan merisaukan ibu bapa dan guru,” katanya ketika ditemui di program pemberian topeng muka kepada orang ramai di Bukit Lanjan.
Pada pagi ini, kualiti udara di Pelabuhan Klang, Selangor kini dikategorikan sebagai bahaya apabila bacaan IPU mencatatkan 495 setakat 8 pagi.
Portal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melaporkan empat kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya, Banting, Shah Alam dan Kuala Selangor mencatat IPU sangat tidak sihat dengan bacaan lebih 200.
Elizabeth turut memaklumkan Kerajaan Negeri sudah mengedarkan sebanyak 250,000 topeng muka kepada penduduk Selangor termasuk ke sekolah-sekolah kerana mendapat permintaan yang tinggi.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI