Tuesday, August 17, 2010

Pakatan perlu menang besar di Kedah

ALOR SETAR, 18 Ogos: Pakatan Rakyat (PR) perlu menang besar di negeri Kedah bagi mengukuhkan pemerintahan negeri yang sedia ada dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi (gambar) berkata, antara langkah yang akan diambil ialah kemungkinan meletakkan calon bukan Islam bagi bertanding mewakili PAS di beberapa kawasan yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu.

Namun begitu, kata putus adalah terletak kepada keputusan oleh PAS Pusat selepas diadakan perbincangan dengan komponen PR melalui Jawatankuasa Pembahagian Kerusi.

Beliau yang juga Exco Kerajaan negeri berkata, faktor sokongan dan penerimaan pengundi serta keputusan perbincangan yang dibuat dalam PR adalah satu perkara yang diberi prioriti.

"Inilah peluang bagi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk terpilih mewakili PAS. Walau bagaimana pun ia akan bergantung kepada keperluan parti dan PR.

"Tidak juga dinafikan kemungkinan peluang bagi calon bukan Islam dari PAS untuk diletakkan sebagai calon memang ada. Tiada juga kuota yang ditetapkan bagi calon bukan Islam bertanding di negeri Kedah," katanya.

Tambahnya lagi, pertambahan penyertaan bukan Islam dalam DHPP adalah kerana keyakinan mereka terhadap perjuangan yang dibawa oleh PAS yang berteraskan Islam serta bebas dari korup dan penyelewengan.

Sebelum ini, katanya kerajaan negeri yang diterajui PAS sering dipersalahkan dalam banyak isu yang sengaja dibangkitkan oleh Umno dan Barisan Nasional bagi menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Isu sampah, pembalakan, bekalan air, pembuangan pekerja di kawasan perindustrian Taman Teknologi Tinggi Kulim dan kini yang terbarunya ialah banjir yang melanda beberapa daerah di Sik dan Baling turut dituding jari kepada kerajaan Negeri oleh Umno BN.

Walau bagaimana pun, ujarnya dengan tindakan bijak kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, semua dakwaan Umno dan BN itu telah berjaya disangkal.

Dengki, punca dinar Kelantan ditentang- Nik Aziz

KOTA BHARU, 18 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan mempolemikkan penggunaan dinnar emas dan dirham perak di Kelantan adalah disebabkan sifat hasad dengki dan pihak tertentu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak melihat penentangan penggunaan dinar dan dirham tersebut mempunyai asas yang kuat selain dendam politik Umno terhadap kerajaan PAS negeri itu.

“Tetapi kerana hasad dengki menyebabkan mereka menentang walaupun yakin perlaksanaan itu betul.

“Mereka pertikai atas dasar politik semata-mata walaupun dengan hujah yang kabur,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Jelasnya, sepatutnya perkara itu tidak menjadi isu apatah lagi kepada orang Islam kerana dinnar emas dan dirham perak sudah diguna sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di JKR 10, di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan yang berhasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam.

Namun menurutnya, mungkin kerana sikap anti Islam dan hasad dengki yang mendalam, mereka terpaksa melawan dan menentang pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

“Mereka terus melatah kerana berasa sengal dengan usaha kerajaan Kelantan berusaha melaksanakan syariat Islam termasuk sistem kewangan,” ujarnya.

Usaha Kelantan mengeluarkan dinnar emas dan dirham perak jelasnya adalah bagi menjaga sistem kewangan agar tidak berterusan dimonopoli barat.

Negara Islam katanya perlu membuktikan kepada barat bahawa Islam mempunyai mata wangnya sendiri.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan sebuah buku mengumpulkan pandangan-pandangan alim ulama berhubung penggunaan dinnar emas dan dirham perak.

Buku yang bakal disusun oleh kerajaan negeri itu juga akan mengumpulkan hasil tulisan dari kitab-kitab jawi dan Arab yang telah mendedahkan masaalah kewangan dalam Islam.

Masyarakat Kelantan antara yang gemar membeli dinnar dan dirham untuk simpanan terutama golongan wanita.

Dalam usaha menggalakkan penggunaannya, Tuan Guru memberitahu akan membayar zakat fitrahnya tahun ini dan masa akan datang menggunakan dinnar.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI