Thursday, June 16, 2011

Bantuan Biasiswa Yayasan Selangor tanpa kira perkauman

SHAH ALAM: Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Y.B Dr Halimah Ali menafikan dakwaan MIC dan MCA kononnya Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) dan Yayasan Selangor (YS) menimbangkan latar belakang agama dan kaum dalam memberikan bantuan biasiswa.

Bantuan Biasiswa Pelajaran yang diberikan oleh (YS) diberikan tanpa mengira kaum dan agama namun kaum Cina dan India kurang memberi sambutan kepada bantuan itu berbanding kaum Melayu. Beliau menjelaskan rekod pengambilan pinjaman pelajaran pada tahun 2000 sehingga 2011 menunjukkan pelajar bukan bumiputera iaitu Cina dan India tidak membuat permohonan pinjaman dengan (YS) sebaliknya membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menawarkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi.

"Manakala pada tahun 2011, (YS) mendapat 350 permohonan daripada bumiputera, daripada jumlah itu hanya 227 ditawarkan pinjaman kerana yang lain tidak menepati syarat dan sebagainya. Daripada 227 hanya 142 yang menerima tawaran.

"Ini adalah merupakan “trend” dan dari segi keperluan pinjaman itu sendiri samada pelajar tersebut mahukan atau tidak," katanya. Halimah berkata demikian mengulas dakwaan MIC dan MCA yang menuduh (YS) berat sebelah dalam memberikan biasiswa dan pinjaman pendidikan dan meminggirkan pelajar berbangsa Cina dan India.

"Kaum Tionghua hanya membuat 4 permohonan daripada 4, 2 sahaja yang ditawarkan pinjaman dan tidak ada daripada mereka menerima tawaran kerana rata-rata mereka mengambil kursus yang melebihi bantuan pinjaman yang ditawarkan”.

"Untuk pelajar kaum India pula, kita hanya menerima 19 permohonan dan 11 telah ditawarkan pinjaman, 6 menerima tawaran," Jelas Halimah. Beliau menambah lagi, (YS) hanya menawarkan jumlah biasiswa yang terhad iaitu sebanyak RM35,000 sahaja. Faktor itu memungkinkan kebanyakan pelajar tidak menerima tawaran tawaran tersebut.

Ulasnya lagi, (YS) giat menawarkan biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada pelajar Selangor yang mendapat keputusan cemerlang, menerusi akhbar berbahasa Melayu, Cina dan India. "Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak berat sebelah dalam memberi bantuan pinjaman. (YS) telah mengiklan permohonan bantuan pinjaman tersebut di surat khabar Tamil (Makkal Ossai) dan surat khabar Cina dan Melayu," ujar Halimah.

Editor : khaulah azwar

UMNO Jangan menyalak seperti anjing diluar rumah

Gombak- Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH kepada YB. Dr. Abdul Rani bin Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru merangkap YDP Kawasan Kapar di atas perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru.

DPPNS selaku sayap kanan parti akan sentiasa komited dan istiqamah di dalam usaha untuk membantu Pesuruhjaya di dalam menggerakkan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi segala cabaran dan rintangan politik negeri Selangor khususnya dalam persiapan untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Berkata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzuan kepada media hari ini, “kami amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei yang mengatakan perlantikkan YB. Dr. Abdul Rani sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru akan menjadi “mimpi ngeri yang berpanjangan” kepada UMNO/BN Selangor”.

Dengan perlantikan saf pimpinan baru membuatkan UMNO/BN merasa tidak begitu senang dengan situasi sekarang sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah mengcampur urusan parti Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan dengan itu, (DPPNS) juga ingin merakamkan ucapan penghargaan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada mantan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB. Dato’ Dr. Hassan bin Mohamed Ali, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap ADUN Gombak Setia di atas segala khidmat dan usaha keras beliau di dalam memartabatkan perjuangan PAS dan memantapkan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor sehingga mencapai kemenangan bersejarah memerintah Negeri Selangor di dalam PRU ke 12 yang lalu sangatlah dihargai oleh seluruh saf pimpinan Pemuda Negeri dan Kawasan-kawasan, katanya.

Ulasnya lagi, “selain itu juga (DPPNS) menasihatkan supaya Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Dato’ Satim Deman supaya menjaga urusan partinya sendiri daripada meminta YAB Datuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggugurkan YB. Dato’ Dr. Hassan bin Mohamed Ali daripada Kabinet EXCO Negeri Selangor selaras keputusan PAS tidak melantik beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor”.

Kami (DPPNS) ingin mempertegaskan bahawa jawatan YB Dato’ Dr. Hassan sebagai EXCO Negeri Selangor adalah hasil daripada persetujuan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor dan tidak membabitkan perubahan kepimpinan di peringkat sesebuah parti. “Janganlah UMNO berlagak seperti anjing yang menyalak di luar rumah cuba mengambil kesempatan mencari publisiti politik murahan dengan mencampuri urusan parti orang lain sedangkan partinya sendiri penuh dengan masalah. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan PAS dan (PR) Negeri Selangor cukup arif dan berpengalaman dalam mentadbir urus Negeri Selangor dan parti masing-masing tanpa campurtangan daripada pihak luar”.

“Ketua pembangkang Dewan Negeri Selangor sepatutnya menasihatkan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal dan Ketua Pemuda UMNO Selayang, Dato’ Sohaimi Shahadan supaya tidak gopoh dalam mempertikaikan khutbah Jumaat baru-baru ini yang bertajuk “Janayah Qazaf adalah berdosa BESAR” daripada. Ini adalah kerana Qazaf dan Hudud sama seperti Sembahyang, Puasa dan perintah-perintah lain yang terdapat di dalam Al-Quran adalah perintah Allah dan wajib dilaksanakan.. Janganlah menjadi seperti pepatah Melayu “seperti ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”, katanya.


Editor :Khaulah Azwar

PR AKAN PASTIKAN MANGSA KEBAKARAN MENDAPAT KEDIAMAN SEBELUM RAMADHAN

Batu Caves – Semua Mangsa kebakaran di Transit Perumahan Kg Sungai Kertas tidak perlu mendengar ura-ura yang kononnya mereka tidak dibenarkan duduk di Dewan JKKK Kg Sungai Kertas setelah tempoh 2 minggu menduduki dewan ini.

Y.B Amiruddin Shari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves berkata ketika membuat lawatan turun padang bersama Exco Kerajaan Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Y.B Tuan Iskandar A. Samad petang semalam kepada sidang media “ Kita tidak tahu mengapa mangsa kebakaran ini digertak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan menyatakan semua mangsa kebakaran perlu keluar daripada dewan ini”.

Saya sebagai ADUN Batu Caves ingin menegaskan bahawa dewan ini adalah pengurusan dibawah JKKK Kg. Sungai Kertas dan kami tidak ada masalah untuk memberi kebenaran kepada semua mangsa terlibat untuk menduduki dewan ini sementara waktu bagi meringankan bebanan mereka.

“Mereka dalam kesusahan, kita tidak akan membuat rakyat terus susah. Mungkin ini adalah satu provokasi murahan yang dilakukan oleh mereka yang inginkan publisiti murahan kononnya Pakatan Rakyat (PR) di Kawasan DUN Batu Caves ini tidak prihatin terhadap rakyat. Insya-allah kita dalam PR akan sentiasa mengambil berat dan mengambil kira masaalah rakyat dan cuba atasi sebaiknya”, katanya.

Amiruddin juga memaklumkan kepada media semenjak berlaku kebakaran semua mangsa telah menerima bantuan daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Batu Caves sebanyak RM300, Pusat Zakat Selangor (PZS) RM500, dan beberapa sumbangan lain daripada individu. Malahan Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak (DMPG), Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) juga telah melawat semua mangsa dan memberi sumbangan bantuan kepada mereka. Hari ini juga kita menyampaikan sumbangan wang dan bantuan makanan kepada semua mangsa yang telah disampaikan oleh Y.B Iskandar.

Selain daripada itu, semenjak berlaku kebakaran semua mangsa telah kita tempatkan ditempat yang selamat. Kita tidak biarkan mereka dengan begitu sahaja bahkan semua mangsa diberikan makanan percuma, katanya.

Sementara itu pula, Y.B Tn Iskandar yang telah melawat semua mangsa kebakaran memaklumkan kepada media dengan meminta agar ADUN Batu Caves, Y.B Amiruddin mengenal pasti bantuan-bantuan yang diperlukan oleh mangsa.

“Saya harap Y.B Amir dapat menyediakan kertas kerja dan sebut harga kos pembinaan rumah untuk kita usulkan kepada Kerajaan Negeri untuk memberi bantuan kepada semua mangsa. Insya-allah kita akan dapatkan peruntukan kepada kerajaan negeri mungkin boleh digunakan dalam tabung bencana alam atau sumber lain dengan membincangkan hal ini kepada Menteri Besar (MB) Tan Sri Khalid Ibrahim, Y.B Rodziah (Exco Kebajikan), Y.B Dr Halimah Ali (Exco Pendidikan) Y.B Dr Hasan Mohamed Ali (Exco Agama), katanya”.

Saya juga difahamkan oleh penduduk, kebanyakkan mereka berasal daripada penduduk Hulu Klang, Ukay Bestari yang dimana kebanyakkan rumah mereka tidak siap dibina atau projek perumahan mereka tergendala selama 8thn yang dikendalikan oleh Talam Coporation Sdn Bhd.

Rumah yang dibina oleh Talam Corporation Sdn Bhd banyak tergendala kerana terlalu banyak projek dibina sehingga terbengkalai dan tidak mampu untuk meguruskan projek-projek yang dilakukan. Semua penduduk yang terlibat, bukan sekadar Kawasan Kg. Perak, Kg Keramat, tetapi banyak tempat. Berikutan dengan masalah ini menyebabkan penduduk terpaksa berpindah dari situ. Terdapat juga beberapa isu yang timbul semasa pemerintahan Kerajaan terdahulu.

Iskandar mengulas lagi, “mereka (mangsa kebakaran Kg. Sg, Kertas) rata-ratanya berasal JPS di tepi Sungai Klang, yang melibatkan seramai 48 buah keluarga. 5 buah keluarga yang mengalami kebakaran di sini adalah daripada kawasan Kg. Keramat, Kg. Perak di Hulu Klang”.

Insya-Allah dalam masa terdekat ini, saya juga akan mendapatkan kepastian daripada MAIS mengenai status tanah ini dengan mengadakan satu mesyuarat khas bersama MPS, MAIS, Lembaga Perumahan, Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) dan semua yang berwajib dengan tujuan untuk minta kebenaran membina rumah panjang ini semula sementara waktu.

Selepas mesyuarat diadakan dengan semua pihak berwajib nanti, kita akan dapat kata putus untuk menentukan hala tuju mangsa untuk jangka panjang.

“Sekiranya mangsa tidak ada rumah kita akan sediakan rumah kos rendah untuk semua mangsa. Segala masaalah ini akan kita pastikan selesai sebelum bulan ramadhan ini, insya-allah”.

Selain daripada itu, saya juga ada menerima cadangan daripada ADUN (Amirudin) untuk masa jangka panjang agar mencari kawasan lain bagi menempatkan semua mangsa. Kawasan yang dicadangkan seperti di Kawasan Selayang Indah, dan Bandar Baru Selayang (BBS).

Apa sekalipun secara keseluruhan kita ingin kepastian daripada pihak MAIS, MPS, Lembaga Perumahan dan semua pihak berwajib. “ Adakah MAIS ingin biarkan kawasan ini begitu sahaja atau sebaliknya. Kita difahamkan MAIS ingin bina masjid atau sekolah agama untuk di manfaatkan kepada rakyat, tetapi tidak tahu bilakah projek ini berjalan”, waallahhualam.

Saya juga ingin mencadangkan sekiranya kawasan ini terbiar, lebih baik kita buat rumah penempatan rayat, rumah mampu milik rakyat bagi kawasan ini. Apa yang kita lihat selepas melawat kawasan ini, kira-kira Kawasan tanah ini sebesar 6 hekar dan boleh membina rumah sebanyak 240 unit. Ini boleh membantu menempatkan semua penduduk di Kawasan Transit Kg. Sungai Kertas ini, ujarnya.

Halimatun Mohd Shari, 56thn yang telah menduduki kawasan ini 11 thn berkata”alhamdulilah hari ini hati saya benar-benar gembira apabila mendengar berita yang dibawa oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor (PR) Y.B Iskandar dan ADUN Batu Caves Y.B Amiruddin Shari menyatakan kami masih boleh dibenarkan menduduki dewan ini sementara waktu menantikan rumah kami siap dibina.

Rasa bebanan yang menimpa hampir 2 minggu terlerai juga akhirnya, lebih-lebih lagi semua rumah mangsa yang mengalami kebakaran akan dibina kembali. Segala isu yang timbul ura-ura menyatakan kami akan keluar daripada Dewan JKKK terlerai juga dan telah terjawab ini adalah satu provokasi yang ingin rakyat keliru, katanya.

Fatiha Mohd Amin 21thn merupakan Pelajar UKM jurusan Medic berkata , “ketika berlaku kejadian kebakaran saya berada di Kampus dan telah menerima maklumat daripada keluarga menyatakan rumah kami terbakar akibat daripada lintas pintas elektrik”.

Keluarga menyatakan hari pertama berlaku kebakaran, semua mangsa telah menerima bantuan daripada ADUN Batu Caves, Ahli Parlimen Gombak, penduduk, Dewan Muslimat PAS Gombak, Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Unit Amal Gombak, PZS, JKM. Kami benar –benar rasa terharu apabila JKKK dan ADUN telah bertindak pantas dengan memberi kebenaran kepada kami semua untuk berteduh di dewan ini sementara waktu. Bantuan makanan juga diberikan. Rasa kebajikan kami terjaga. Komitment yangg diberikan oleh semua pihak, ADUN dan semua petugas Unit Amal Gombak membantu kami amat dihargai.

Saya juga rasa gembira apabila mendengar khabar yang disampaikan oleh Y.B Iskandar dan Y.B Amiruddin, rumah kami akan dibina dalam masa terdekat sebelum bulan ramadhan. Satu kelegaan pada kami semua. Saya yakin bukan saya sahaja merasa gembira mendengar maklumat ini bahkan semua penduduk disini khususnya mangsa kebakaran.

Semoga Keprihatinan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dapat dicontohi oleh pihak berwajib dan rakyat lain bagi membantu golongan rakyat yang dalam kesusahan. Satu perkara akan membuatkan semua mangsa rasa lega apabila, ADUN juga telah memberi jaminan bahawa semua mangsa tidak perlu risau memikirkan tempat kediaman sementara waktu lagi. Kami boleh duduk di dewan ini sementara menanti rumah kami siap. Saya merakamkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri PR terhadap kami semua, katanya.

Mohd Hasril Mohd Sharudin, Pegawai Jabatan Perancangan, MPS menyatakan kawasan perumahan teres di Kg. Sungai Kertas ini telahpun dibanci penduduknya. Saya juga bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Y.B Amiruddin agar semua mangsa ditempatkan dikawasan perumahan Selayang seperti di Kawasan Selayang Indah, Bandar Baru Selayang (BBS) untuk jangka masa panjang, katanya.

Turut Hadir lawatan turun padang Ahli-ahli Majlis MPS Zon Batu Caves, Ketua Kg. Sg. Kertas, JKKK Kg Sg, Kertas, Unit Amal Gombak, Dewan Pemuda PAS Gombak, Muslimat PAS DUN Batu Caves.


Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI