Tuesday, September 13, 2011

PAS Minta Kerajaan Pst Prihatin dgn semua petugas sukarelawan


Serdang : PAS, mengucapkan takziah terhadap keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor jurukamera Bernama yang meninggal dunia ditembak di Somalia.


“Semoga beliau diberi keampunan dan mendapat rahmat Allah SWT dan dihimpunkan bersama hamba-hamba yang soleh.

Usaha beliau terlibat dengan misi kemanusiaan menyelamatkan orang yang kebuluran merupakan satu sifat terpuji yang dituntut Islam. Semoga ahli keluarga dan sahabat handainya diberi kesabaran oleh Allah SWT dalam hadapi ujian ini”, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dalam lawatan ziarah ahli keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor petang semalam.

Menurut ibu Allahyarham, Naemah binti Abdul Majid, semenjak tersebarnya berita kematian Allahyarham, orang ramai tidak putus-putus mengunjungi rumah mereka termasuklah rakan Allahyarham semasa di Sekolah Agama Rawang, rakan kedua ibubapanya sejak tahun 1970an dan anggota masyarakat yang prihatin.

“Walaupun kami redha dengan apa yang berlaku tetapi bagaikan satu mimpi ngeri pada kami sekeluarga apabila menerima berita kematiannya disana.

Sebelum Allahyarham pergi ke somalia, kami benar-benar rasa berat hati untuk melepaskan arwah bertugas kali ini walaupun beliau mempunyai banyak pengalaman dalam mengikuti rombongan kemanusian di luar Negara tetapi apabila memikirkan tugas dan tanggungjawab maka kami terpaksa akur”.

Allahyarham adalah anak sulong tunggal lelaki daripada lima beradik merupakan seorang anak yang bertanggungjawab dan taat kepada orang tua, kata Naemah.

Beliau meninggal seorang balu Norazrina Jaafar dan dua anaknya yang masih kecil lagi.

Sementara itu, Ustazah Nuridah Salleh mengharapkan agar semua masyarakat tidak cepat melatah dan bimbang dengan isu yang terjadi. Anggaplah semua kerja yang kita lakukan kerana Allah SWT untuk terus berjuang.

Kita juga mengharapkan agar pihak kerajaan prihatin mengenai keselamatan petugas yang menjalankan tugas diluar untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat di Somalia.

Insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku jika pihak penganjur menyediakan semua keperluan keselamatan untuk petugas dengan sempurna.

Bukan sekali dua ianya berlaku tetapi sudah acapkali, mengapa tiada tindakan drastik dibuat?, Kita harap peristiwa ini tidak berulang lagi, kata ustazah Noridah.

Dalam masa itu, isteri beliau menunjukkan semua peralatan yang dibawa oleh Allahyarham seperti sejadah, kasut dan stokin yang di bawa balik bersama jenazah dari Somalia.

Baju dan kasut yang terkena darah berbau harum tidak berbau hanyir, ini menunjukkan beliau meninggal dalam keadaan mati syahid. Semoga roh beliau ditempatkan dalam golongan beriman, katanya selepas membaca Tahlil Arwah bersama rombongan dengan menyampaikan sumbangan ikhlas daripada DMPNS untuk keluarga allahyarham.


Editor : khaulah azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI