Thursday, June 3, 2010

Presiden PAS, Anwar, Kit Siang sertai demo esok

KUALA LUMPUR, 3 Jun: Demonstrasi Anti Israel anjuran Pakatan Rakyat dan NGO di hadapan Kedutaan Amerika, esok akan disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pimpinan-pimpinan NGO dan wakil Konvoi Freedom Flotilla juga akan hadir bersama.

Sekretariat Mobilisasi Demontrasi Anti Israel 2010 juga memaklumkan demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru dan berarak ke Kedutaan Amerika.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, jurucakapnya, Herman Samsudeen memberitahu pihak penganjur tidak mengadakan apa-apa himpunan di Masjid KLCC atau Tabung Haji.

“Para peserta yang menyertai demonstrasi ini digalakkan membawa bendera Palestin, placard dan banner yang menunjukkan bantahan rakyat Malaysia secara aman,” katanya.

Katanya, sebarang keterangan lanjut bolehlah berhubung dengan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menerusi talian 0192828536.


PAS ucap takziah kepada keluarga Hasan Tiro

KUALA LUMPUR, 4 Jun: PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan-rakan seperjuangan dan penduduk Acheh di atas pemergian Tengku Hasan Muhammad Di Tiro, 85, (gambar) ke rahmatullah, semalam di sebuah hospital di Banda Acheh.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, almarhum yang merupakan pengasas kumpulan Gerakan Acheh Merdeka (GAM) adalah antara tokoh terpenting yang terlibat dalam perjuangan wilayah Acheh sehingga akhirnya perdamaian dicapai pada bulan Ogos 2005 yang lalu.

“Pemergian beliau ini bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarga, rakan dan penduduk Acheh, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung PAS.

“Ianya mengimbas kembali hubungan baik yang dijalin di antara Almarhum Tengku Hassan dengan kepimpinan PAS sejak puluhan tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, ternyata kepulangan kali kedua beliau ke Acheh pada 17 Oktober 2009 adalah merupakan kepulangan terakhir sebelum beliau menemui Allah Subhanahu Wataala.

Beliau yang juga Ahli parlimen Marang berkata, hasrat Tengku Hasan beliau untuk melihat suatu keamanan di Acheh akhirnya berjaya dicapai dalam ruang umur beliau.

“Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan ucapan takziah dan berharap seluruh keluarga, rakan dan penduduk Acheh dapat bersabar dengan ketentuan Allah ini.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, insya Allah,” ujarnya lagi.

Almarhum yang dikenali dengan Hasan Tiro, meninggal dunia di Hospital Zainoel Abidin Banda Aceh, pada jam 12.02 waktu Indonesia Barat, sehari selepas beliau diberikan kembali status sebagai warganegara Indonesia.

Beliau yang dilahirkan di Pidie, Aceh, pada 25 September 1925 telah memohon untuk mendapatkan kembali kewarganegaraan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, beliau memegang pasport Sweden dan tinggal dalam buangan di Stockholm sejak tahun 1979 akibat konfrontasi dengan kerajaan Indonesia yang dipimpin Presiden Soeharto ketika itu.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI