Monday, February 28, 2011

 Masjid: Apa Najib kata jika hidup sezaman Rasulullah?

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat simpati dengan kejahilan pemikiran perdana menteri yang hanya menilai perjuangan Islam dengan jumlah masjid yang dibina.

Perasaan itu diluahkan beliau melalui laman facebook merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertajuk 'Hanya bina dua masjid dalam masa 20 tahun' yang memetik kenyataan Datuk Seri Najib sewaktu berucap di Sekolah Kebangsaan Batu Sawar, Kuala Krau semalam.

Najib didakwa mempersoal adakah PAS memperjuangkan agama kerana hanya membina dua masjid sepanjang 20 tahun memerintah Kelantan.

Dalam responsnya itu, Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS membayangkan adakah Najib akan mengeluarkan kenyataan sama jika hidup di zaman Rasulullah s.a.w. di Madinah dahulu.

Ini kerana, pada zaman tersebut, baginda hanya membina sebuah masjid sepanjang 10 tahun memerintah Madinah.

"Saya membaca kenyataan Perdana Menteri Malaysia di dalam akhbar Utusan Malaysia pada hari ini.

"Terdetik di hati saya, jika beliau (Najib) berada di zaman Rasulullah s.a.w., adakah kenyataan ini juga akan dikeluarkan bila melihat Rasulullah s.a.w. hanya membina sebuah sahaja masjid sepanjang 10 tahun mentabdir Madinah?"soalnya.

Tambahnya, penilaian sebegitu juga telah mencerminkan pemikiran Najib yang diracuni fahaman sekular mirip pemikiran bekas Perdana Menteri Turki, Mustafa Kamal Antartuk.

"Wallahu'alam. Pemikiran ala Kamal Atarturk sukar dijangka...," tambahnya.

Dalam laporan akhbar pro Umno itu juga, Najib berkata rakyat tidak seharusnya melihat hanya PAS memperjuangkan agama disebabkan oleh slogan parti tersebut yang berbaur Islam seperti 'Membangun Bersama Islam' dan 'Negeri Serambi Mekah'.

Tambahnya lagi, umat Islam juga tidak boleh mengukur keislaman hanya menerusi penampilan seperti berjanggut, berserban dan berjubah.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI