Wednesday, December 4, 2013

Kerajaan Negeri Akan Bantu Pelajar Malaysia Yang Menuntut Di Mesir



Shah Alam : Kerajaan negeri Selangor melahirkan rasa simpati dengan krisis yang melanda di negeri Mesir sehingga menyebabkan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Negara tersebut terpaksa pulang ke Malaysia untuk keselamatan mereka. 

 
Exco Hal Ehwal Islam  Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi dalam ucapan pertemuan khas bersama pelajar –pelajar  yang menuntut di Mesir di Dewan Solat Jubli Perak Bangunan SSAS  berkata “Kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan bantuan kepada pelajar-pelajar Selangor yang menuntut di Mesir supaya mereka boleh menyambung semula pengajian yang tergendala”.

 "Pelajar-pelajar di bawah tajaan zakat dan di bawah mana-mana tajaan yang lain, oleh kerana anda sekarang (melanjutkan pengajian) di Mesir,kita mempunyai tanggungjawab kepada saudara. Jadi ibu-bapa, saya dan exco mempunyai tanggungjawab supaya anda dapat menyambung pengajian dengan baik di Mesir. Ini janji kita”, katanya.

Menurut  Sallehen, usaha akan dilakukan dengan sebaik mungkin sama ada di pihak ibu bapa dan juga kerajaan negeri bagi menjamin pelajar-pelajar dapat pulang menyambung pengajian yang tertunda.

Malah katanya, soal kewangan tidak perlu dikhuatirkan kerana kerajaan negeri akan mengikhtiarkan cara yang terbaik supaya pelajar-pelajar ini dapat pulang ke Mesir.

Dalam ucapannya Sallehen yang juga merangkap YDP PAS Sabak Bernam turut mengingatkan bahawa anak-anak merupakan harta yang paling penting, bukan hanya kepada ibu bapa, malah kepada negeri dan Negara. Lantaran itu katanya tidak ada sebab mengapa nasib anak-anak tidak diuruskan dengan baik.

"Kita ingin membawa negeri Selangor ini ke satu tahap yang mana semuanya menggunakan tenaga kita,(ia) sangat penting. Sebab itu bila ada sahaja pergolakan, anak-anak kita ini harta kita. (Anak-anak) bukan ladang-ladang atau gelang-gelang (emas), bukan duit. Tetapi inilah harta kita yang paling penting, jelasnya”.

Sebelum ini kerajaan negeri menyediakan pelbagai kursus selama setahun kepada pelajar-pelajar negeri itu sementara menunggu masa untuk kembali ke Mesir.

Antara kursus yang disediakan ialah kursus Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Komputer dan Kewangan yang memakan masa selama enam bulan hingga setahun di Universiti Industri Selangor (Unisel) yang diberikan secara percuma selain yuran daftar.

Dianggarkan seramai 1,200 pelajar dari Selangor yang sedang belajar di beberapa universiti dan IPT di Mesir dan keutamaan kursus akan diberikan kepada pelajar tajaan kerajaan negeri menerusi Lembaga Zakat Selangor seramai 600 orang.

Turut hadir  sama Exco Pendidikan, Penddikan Tinggi Modal Insan, Dr Halimah Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Marzuki.   


 Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI