Wednesday, April 21, 2010

Penduduk Bt Beruntong dan Bt Sentosa dapat CF kekal

SHAH ALAM, 21 April: Kerajaan Negeri Selangor hari ini telah bersetuju untuk membina sendiri jalan-jalan di kawasan perumahan yang selama ini menghalang rumah berkenaan dari mendapat sijil layak menduduki (CF) kekal.

Antara pihak yang akan mendapat nikmat ini adalah pemilik-pemilik rumah di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Hulu Selangor sejak tahun 2002.

Demikian kata Iskandar Abdul Samad, Exco perumahan kerajaan negeri Selangor.

Sebelum ini pembangunan-pembangunan yang terlibat telah hanya dikeluarkan Sijil Layak Menduduki Sementara (TCF) kerana terdapat jalan-jalan yang tidak lagi dibina dengan sepenuhnya oleh pemaju.

Contohnya terdapat jalan 4 lorong yang baru dibina 2 lorong.

Hari ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melengkapkan pembinaan jalan-jalan itu dan kosnya akan dicaj kepada pemaju atau kumpulan syarikat pemaju tersebut, kata Iskandar.


Oleh itu, sijil layak menduduki boleh dikeluarkan secepat mungkin untuk 1,521 unit kediaman yang terlibat.

Majlis penyerahan akan disempurnakan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar pada 22 April 2010, jam 8.30 malam di Jalan Widuri, Seksyen BB 18, Bukit Beruntung.

Pembangunan-pembangunan yang terlibat adalah:

a) 125 unit rumah teres kos sederhana rendah 1 tingkat di atas sebahagian Lot 3244, Bukit Beruntung, Mukim Hulu Yam.

b) 172 unit rumah teres sederhana rendah 1 tingkat di atas sebahagian Lot 3244, Bukit Beruntung, Mukim Hulu Yam.

c) 590 unit rumah teres 2 tingkat di atas sebahagian Lot 3244, Bukit Beruntung, Mukim Hulu Yam.
d) 296 unit rumah teres 2 tingkat dengan 2 unit pencawang elektrik di Fasa 21C1 (201 unit) dan 21C2 (95 unit) di atas Lot 353 dan 1729, Bukit Sentosa, Mukim Serendah.

e) 338 unit rumah teres 2 tingkat dan 4 unit pencawang elektrik di Fasa 16C di atas sebahagian Lot 353 dan 1729, Bukit Sentosa, Mukim Serendah.

Nik Aziz di Hulu Selangor esok

PENGKALAN CHEPA, 22 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang baru pulang dari menunaikan umrah di tanah suci mengesahkan akan ke Hulu Selangor untuk berkempen dalam pilihan raya kecil di kawasan Parlimen itu.

Ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, malam tadi Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu, petang Jumaat ini (esok) beliau akan berlepas ke sana.(Gambar:

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengusap kepala bayi yang turut menyambutnya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.)Menurutnya, beliau akan terus berdakwah serta berkempen dalam pilihan raya itu nanti, memandangkan ianya adalah tugas setiap umat Islam.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor menyaksikan calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid ditentang calon BN, Kamalanathan.

Tuan Guru kelihatan ceria dan sihat selepas berada di tanah suci untuk menunaikan umrah selama dua minggu.Ketika diminta mengulas berhubung perjalanannya sewaktu di sana, beliau bersyukur dapat menunaikan ibadat itu dengan baik walaupun cuaca begitu panas.“Memang sewaktu saya melakukan ibadat itu saya menggunakan kerusi roda sebab nak jaga tenaga agar tidak mudah letih,”ujarnya lagi.

Katanya, ibadat umrah perlu dilakukan kerana ia tuntutan Islam di samping dapat menjejaki sejarah peninggalan para nabi.Tambahnya, dengan menunaikan ibadat itu secara tidak langsung juga dapat meningkatkan keimanan diri kepada Allah.Beliau bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak berlepas ke tanah suci dua minggu lalu untuk menunaikan umrah.Turut mengiringi mereka berdua, Setiausaha Sulitnya, Ahmad Shargowi.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI