Saturday, May 2, 2009

BILA GAdis Remaja Sudah terlalu ADVANCED!!!

BILA GADIS REMAJA SUDAH TERLALU ADVANCED!!


“Mulanya, guru itu, Azahana Ibrahim, 27, yang mengajar subjek Fizik menegur seorang pelajar perempuan tingkatan dua di kelas kira-kira jam 10 pagi kerana dia bukan saja lewat menghantar tugasan sekolah, tetapi turut menulis tulisan ‘gila babi’ di belakang kertas folionya.”
“Berikutan itu, berlaku tarik menarik dan dia menolak saya menyebabkan saya membalas tolakannya. Dengan ditemani seorang rakan sekelas, pelajar itu terus menendang perut saya berulang kali.”
Saya terdiam sebentar bila membaca laporan
Harian Metro itu. Enigma menguasai diri. Jeda.
Saya terpanggil untuk turut memberi pandangan memandangkan saya juga masih lagi berstatus pelajar (belum berumahtangga). Betapa hilangnya rasa hormat seorang pelajar bertaraf menengah terhadap gurunya. Betapa rendahnya mentaliti pemikiran dan perlakuan remaja kini.
Hilang pedoman, hilang punca, segalanya hilang. Yang tinggal budaya kasar lagi tegar, budaya samseng ala mafia, kebohsiaan dan kebohjanan yang melampau serta perlakuan ke arah kebaratan tiada berpenghujung.
Mahu mendapat keberkatan dalam pengajian?. Jauh panggang dari api. Malah jauh api dari mancis.
Fenomena kebobrokan yang berlaku masa kini sehingga ke tahap luar batas norma Islami ini mencerminkan rosaknya sistem pencernaan pemikiran manusia. Bermula dari buaian sudah terimpak dengan segala macam kemunafikan sehinggalah menjengah ke usia senja separuh abad. Lali dan terabai. Ibu bapa hilang potensi sebagai pendidik hasil serapan pemikiran kapitalisme, guru-guru tidak mampu menjadi role-model sebenar tontonan murid-murid. Begitu juga dasar kerajaan berpaksi sekularisme menghasilkan seribu satu macam masalah dalam pelbagai aspek samaada sosio ekonomi, politik dan sebagainya. Konsep “Model Insan” yang terbaik pernah saya lihat. Semua terlibat. Anda setuju?
Hasilnya, murid bertambah tanpa bimbingan padu Ad-Deen tanpa juga taraf kualiti yang diharapkan. Itulah natijahnya, bila hilang keberkatan dalam konteks bernegara maka segalanya akan bermula sekecil perkara hatta sebesar-besarnya. Peri penting keberkatan tiada difikirkan lagi. Terlanjur membicarakan hal berkat, ayuh terus kita berkomentar tentangnya.

Syeikh Ibrahim Al-Kattani, Tokoh Hadis Iskandariah…
Tolabul Ilmi Dan Berkat
Berkat dalam pemahaman menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat membawa maksud rahmat, restu dan sempena. Dalam kata lain ia memberikan kefahaman kepada kita bahawa dengan adanya keberkatan maka aka nada restu dari Ilahi. Misalnya, jika seorang anak telah melakukan sesuatu perkara mengundang kemarahan ibu bapa. Sudah tentu ibu bapa itu berasa kecewa dengan tindakan Si Anak lantas di merestui perbuatannya lagi.
Dalam masalah ini, bukan sahaja Si Anak tadi tidak direstui ibu bapa malah Allah SWT juga tidak menyukai manusia yang derhaka pada ibu bapa. Peringatan tersebut turut terselit di dalam kitabullah berbunyi :-
Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa..” ( Al-An’am : 151)“Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa..”(An-Nisa’ : 36 )
Berkat dan restu suatu perkara yang ghaib tidak nampak pada penglihatan kasar tetapi merasa pada kendi jiwa. Manakala dalam bahasa arab perkataan berkat ( البركة )memberi maksud kebahagiaan, kelebihan. Semuanya membawa kepada satu makna saling kait mengait antara satu sama lain iaitu kerahmatan, restu izin, kebahagiaan dan kelebihan. Syeikh Ibrahim Al-Laqqani menyebut dalam kitabnya Matan Jauharah Tauhid mengatakan :-

فوز السعيد عنده في الأزل
Kebahagiaan orang yang berbahagia adalah disisiNya sejak azali lagi. Itu perlunya seorang anak mentaati ibu bapa, seorang murid menghormati gurunya, seorang abid tunduk kehambaan kepada Penciptanya demi mengaut selaut keberkatan.
Pesanan pula Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Bidayah Al-hidayah dengan kata beliau :-
“Adab seorang murid bersama gurunya ialah dengan memulai salam, bangun bila gurunya bangun, tidak berkata-kata selagi ia tidak ditanya, tidak bertanya selagi tidak diizinkan, tidak melawan kata-kata gurunya, tidak meremehkan kata-katanya, tidak banyak berpaling dihadapannya, bahkan ia berada dalam keadaan tenang seolah-olah ia berada di dalam solat. Janganlah berburuk sangka kepadanya ( guru ) yang kelihatan bertentangan pada zahirnya, sesungguhnya ia lebih mengetahui dengan rahsianya”.
Malah para ulama’ terdahulu senantiasa merendahkan diri dan menghormati guru dalam semua keadaan walaupun gurunya lebih muda darinya. Manakala Imam Ahmad bin Hanbal pula berkata menguatkan lagi hujjah beradab dihadapan guru. Kata beliau :-

قال أحمد بن حنبل : أمرنا أن نتواضع لمن نتعلم منه
Imam Ahmad bin Hanbal berkata : “Kami diperintahkan supaya tawadhu’ kepada sesiapa yang kami pelajari ilmu daripadanya ( guru, ulama’ )
Sungguh, dengan sebab itulah keberkatan dalam menuntut ilmu ulama’-ulama’ terdahulu mencurah-curah bak air hujan membasahi tanaman menghijau.
Tidak seperti sekarang, hujan yang sama mencurah namun keadaannya sama seperti curahan ke atas dedaun keladi. Tempias memercik tidak pada diri. Kering kontang, gersang!. Sabda Baginda Rasulullah SAW dalam memberikan peringatan :-
Rasulullah SAW telah bersabda : “Tidak termasuk dalam golongan umatku, mereka yang tidak menghormati orang tua, tidak merahmati (kasihan belas terhadap) kanak-kanak dan tidak mengetahui (kemulian) hak-hak para ulama’ kami.” ( Riwayat Ahmad dan Al-Hakim )
Teringat memori lalu, saya juga tidak terlepas dari dimarahi dan didenda oleh guru ketika di Sekolah Menengah dahulu. Kesalahannya seringkali saya lakukan ialah melipat lengan baju kemeja panjang ( Etika displin Sekolah wajib kancing lengan baju panjang ) dan tidak mampu menjawab soalan dengan tepat. Alhamdulillah, guru saya tidak pernah merasa tendangan saya namun saya yang seringkali merasa penangan tangannya.
Kesimpulan
Tidaklah dapat ditafsir dengan akal yang naïf ini bagaimana jiwa-jiwa mereka yang melanggari ketaatan, kehormatan dan kehambaan itu. Bagaimanakah tahap kewarasan mereka ketika melakukan perihal tersebut. Sementalahan yang melakukan aktiviti tendangan padu itu seorang gadis belasan tahun. Sungguh manis dan ayu sekali seorang gadis mengangkat kaki menendang gurunya. Tidak pula disepak Si Perogol dan Penzina bersiri ya? it is stupid to think about this case. She is the one who give to undeserve people!
Rujukan:
Bidayatul Hidayah, Imam Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali ( 505H ), Pustaka Darus Salam, Kaherah.
Adab-adab Islam Dalam kehidupan Harian Jilid 1, Mohamad Zulkifli Abdul Ghani, PMRAM Kaherah.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI