Wednesday, May 22, 2013

Adam Adli Di Dakwa Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim, 24, mengaku tidak bersalah selepas dituduh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur kerana menghasut di dalam sebuah ucapannya pada forum Pidato Rakyat 13 Mei lepas.


Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948 ekoran ucapannya pada malam 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor baru-baru ini.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksima selama tiga tahun, atau didenda RM 5,000 atau kedua duanya sekali.
Hakim Norsharidah Awang, membenarkan Adam Adli dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM 5,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan 2 Julai 2013 untuk sebutan kes.
Dalam penghujahan peguam belanya N Surendran, Adam sepatutnya dibebaskan tanpa ikat jamin memandangkan beliau adalah seorang pelajar manakala bapanya adalah bekas pesara kerajaan.
Menurut Surendran, sebagai anak muda yang lantang menyuarakan suara rakyat, dakwaan yang dikenakan terhadap beliau perlu dibatalkan kerana tidak mempunyai asas.
“Dakwaan telah dibuat dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Kita beritahu mahkamah ini merupakan dakwaan yang tidak mempunyai sebarang asas langsung.
“Bekas Hakim Mahkamah Rayuan (Datuk Mohd Noor Abdullah) yang mengeluarkan kenyataan memecahkan perkauman tidak ada tindakan yang diambil.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kata Akta Hasutan ini dimansuhkan  tetapi ianya masih digunakan Akta Hasutan yang zalim dan jahat.
“Jadi kita tolak salah guna kuasa seperti ini dan kita akan failkan permohonan membatalkan dakwaan ini di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Selain N Surendran, Adam Adli turut diwakili empat peguam lain iaitu Datuk S Ambiga, Michelle Yesudass, Muhammad Afiq M Noor dan Shamsul Iskandar Mat Akin.
Sementara itu, Ambiga melontarkan persoalan kepada Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara mengapa menjadikan Adam Adli sebagai sasaran semata-mata.
“Kenapa sengaja mensasarkan Adam Adli sedangkan orang lain telah membuat kenyataan lebih parah tetapi dilepaskan dan tidak disiasat.

“Ini adalah dakwaan terpilih dan penyalahgunaan sistem mahkamah. Untuk menggunakan undang-undang, seharusnya dilaksanakan sama rata.
“Akta Hasutan seharusnya dimansuhkan dan tiada sesiapa pun patut didakwa dibawah akta ini,” jelasnya lagi.
Adam Adli meninggalkan perkarangan mahkamah sekitar jam 11.40 pagi selepas bayaran ikat jamin dibuat sambil diiringi hampir 50 orang penyokong beliau.
Sebelum ini, Adam ditahan reman selama lima hari sejak 18 Mei lalu selepas ditangkap berhubung kenyataan beliau yang dibuat semasa forum selepas pilihan raya itu yang dianjurkan Suara Anak Muda Malaysia (SAMM).

KAMIL MAMPU CUNGKIL BAKAT PELAJAR



Gombak,  23 Mei : Guru Besar Seri Al Huda (SERIAHG), Hajah Surayah Sarin merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta (SERIAHG) yang berjaya dalam pertandingan Ujian Kemahiran Amal Islami (KAMIL)  anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini.

Beliau berkata, alhamdulilah setiap tahun JAIS telah mengambil inisatif bagi mencungkil bakat semua pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR), KAFAI di seluruh negeri Selangor. 

Apa yang kita dapati semua pelajar begitu berminat dengan acara yang disediakan antaranya Tilawah Al-Quran, Hafazan,Tafsir dan Terjemahan Quran, Menulis Khat, Bercerita, Rawi, Marhaban, Pidato, Nasyid, Khutbah Jumaat, Azan  dan Iqamah, Pengurusan Jenazah dan sebagainya.

Menurut Surayah, setiap kali pertandingan ini diadakan ramai pelajar di (SERIAHG) terutamanya tidak melepaskan peluang untuk menyertainya dan mereka telah berjaya dalam pertandingan.

Katanya, di kesempatan ini saya merakamkan tahniah  kepada semua pelajar yang telah berjaya  dalam pertandingan. Alhamdulilah segala usaha mereka dan semua guru-guru yang terlibat dalam membantu pelajar telah membuahkan hasil.

Walaubagaimanapun bagi pelajar yang tidak berjaya mereka tidak seharusnya menyerah kalah dan sewajarnya mempertingkatkan usaha  untuk tahun hadapan. Terima kasih kepada semua guru-guru pembimbing dan guru-guru pengiring yang telah berusaha melatih mempersiapkan diri pelajar yang terlibat dalam pertandingan KAMIL mengikut acara masing-masing. Insya-Allah tahun hadapan kita harap mereka akan memperlipatgandakan usaha.

Sementara itu, Ustazah Sapurah Abdullah GPK  Kokurikulum pula berkata, alhamdulilah syukur kepada Allah SWT kerana pelajar-pelajar yang telah melibatkan diri semenjak KAMIL berlangsung pada 7 April 2013 di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Tua sehingga peringkat Daerah dan Kebangsaan telah menunjukkan prestasi persembahan yang sangat cemerlang. Segala usaha mereka tidak sia-sia.

Menurut Sapura semasa pertandingan KAMIL  peringkat Zon Selayang, pelajar (SERIAHG) telah memenangi beberapa acara antaranya Johan Tilawah Al_Quran (L), Syarahan Bahasa Arab (L) dan Hafazan Terjemahan (L). Manakala Syarahan Bahasa Arab (P) (SERIAHG)sebagai Naib Johan , Pidato Bahasa Melayu (P) dan Bercerita Kisah Al-Quran (L). Sementara itu, bagi acara Rawi, Marhaban (P), Menulis Khat Tahap 1 (L) dan Menulis Khat Tahap 1 (P) (SERIAHG) mendapat tempat ketiga.  

Bagi Peringkat Daerah  yang di adakan di Kepong pula (SERIAHG)  telah berjaya memenangi beberapa acara   antaranya Johan Syarahan B. Arab (L),  Naib Johan Syarahan Bahasa Arab (P). Bagi Acara Rawi, Marhaban (P) (SERIAHG) mendapat tempat ketiga, dan bagi acara Menulis Khat Tahap  1 (L) (SERIAHG) mendapat ketiga juga.

Dengan kejayaan di perolehi pelajar (SERIAHG) sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk memasuki ke peringkat Negeri. Mereka  yang terlibat dalam acara Syarahan Bahasa Arab (L) di Peringkat Daerah dengan memperolehi Johan telah mendapat tempat ketiga di peringkat Negeri yang berlangsung   pada 11 Mei, 2013 di Sekolah Agama Menengah Salak Tinggi, Nilai Negeri Sembilan.

Semua pelajar  yang  berjaya telah menerima buku cenderahati yang disediakan oleh JAIS. Beliau kata demikian di Pejabat Sekolah SERI AL Huda, hari ini ketika di temubual oleh wartawan. 

Editor :Khaulah Azwar

Monday, May 20, 2013

Rakyat Tolak UMNO-BN Sebagai Tsunami Cinta


Gombak, 21 MEI : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kejayaan Pakatan Rakyat(PR) memperolehi undi popular dalam PRU 13 lalu sebagai ‘Tsunami cinta’ rakyat menolak Umno- BN.
Orang ramai berhimpun tolak PRU13 yang banyak berlaku penipuan
Beliau berkata undi popular 51 peratus yang diperolehi PR sebagai isyarat rakyat Malaysia untuk menyelamatkan negara daripada genggaman Umno-BN yang selama ini menyalahgunakan kepercayaan rakyat melalui pemerintahan penuh penipuan, penyelewengan, rasuah dan sebagainya.
Menurutnya, keputusan PRU13 juga diragui dan diyakini berlaku penipuan melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa lain yang dikawal Umno-BN.
“Datuk Seri Najib akan terus memainkan isu perkauman (bagi meraih sokongan). Memang jelas bukan sekadar ‘Tsunami Cina’ tetapi sebenarnya dia tidak faham, rakyat menyatakan ‘Tsunami Cinta’ untuk Malaysia. Di Selangor PR menang undi 55 peratus undi Melayu.
“Hindraf dihina dan diharamkan pada 2008 dengan PR dikatakan menyokong kumpulan haram yang anti Melayu. Pemimpin mereka ditahan di bawah ISA. Sekarang diambilnya pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy dijadikan Timbalan Menteri.
“DAP di sepanjang kempen pilihan raya dikatakan Melayu tiada masa depan di bawah pentadbiran DAP tetapi apabila MCA kalah, Najib panik dan boleh nak ajak DAP masuk kabinet,” katanya ketika berucap dalam majlis ceramah anjuran PAS cawangan Batu – Post Mortem PRU13 di Taman Melewar di sini semalam.
Nurul Izzah yang merupakan Naib Presiden PKR itu berkata, seharusnya keputusan PRU13 dibatalkan berikutan penggunaan dakwat kekal yang ‘tidak kekal dan meragukan’ kerana didakwa terdapat laporan lebih 200,000 pengundi boleh mengundi buat kali kedua.
“SPR kata ada ‘Silver Nitrate’. Kita kata ‘Silver Nitrate’ tidak akan ada dalam dakwat kekal, goncang atau tidak goncang kalau cukup peratusan memang kekal.
“Nak banding dengan India, di negara itu dakwat kekal tiga bulan. Jadi saya nak beritahu dalam hal ini sewajibnya dia (SPR) isytiharkan tidak sah keputusan pilihan raya umum yang lepas,” katanya.
Nurl Izzah menambah, kajian dibuat UMCEDEL sejak 1969 juga mendedahkan BN tidak pernah menang lebih 60 peratus undi rakyat namun perkara itu di atasi dengan persempadanan semula yang dibuat di mana BN akhirnya memang, menang dan menang.
Editor : Khaulah Azwar

GST Gaya BN Menekan Rakyat

Rafizi Cabar KJ Bukti Menang PRU13 Di Rembau


PETALING JAYA, 21 MEI: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli  mencabar Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin agar membuktikan kemenangannya di parlimen Rembau dalam PRU13 lalu bukan disebabkan penipuan pilihan raya.
Cabaran itu dibuat berikutan kumpulan siasatan penipuan dan penyelewengan PRU-13, #siasatpru-13 yang diketuai  turut menerima laporan polis berhubung isu penipuan pilihan raya oleh pengundi di Parlimen Rembau.
Pengundi tersebut, Mohd Khir Shaari membuat laporan di Balai Polis Rantau, Seremban pada 5 Mei apabila Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertugas di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman tidak membenarkan beliau mengundi dengan alasan sudah mengundi.
“Saya juga mencabar Khairy Jamaluddin yang baru dilantik ke kabinet menjawab mengenai kewujudan pengundi hantu di Parlimen Rembau yang mungkin menyumbang kepada kemenangan beliau,” kata Rafizi.
Menurut Rafizi, Khairy perlu membuktikan seperti mana dakwaan dirinya sebagai seorang menteri yang moderat dan boleh menerima pandangan semua pihak termasuk sayap pemuda Pakatan Rakyat (PR).
Sebelum ini PRU13 yang berlangsung 5 Mei lalu mencipta sejarah apabila menjadi pilihan raya terkotor pernah diadakan sepanjang 13 pilihan raya.
Antaranya, kewujudan pengundi hantu, warga asing diberikan kad pengenalan untuk mengundi dan penyelewengan yang dilakukan oleh segelintir kakitangan SPR, kata Rafizi dalam sidang media semalam.
Editor : Khaulah Azwar

Rafizi Bukti Wujud Pengundi Hantu PRU13


PETALING JAYA, 21 MEI:  Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR,  semalam  mengemukakan lapan saksi yang dinafikan hak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.
Rafizi berkata, Kesemua mereka ini mendakwa  nama mereka terlebih dahulu digunakan orang lain untuk mengundi. Selain membuat laporan polis, mereka juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Lapan individu tersebut, setiap seorang merupakan pengundi bagi Parlimen Sungai Petani, Rembau, Kuala Selangor, Kemaman, Tumpat, Shah Alam dan dua di Serdang.
“Mereka yang buat laporan ini tidak diarahkan, mereka juga bukan orang parti, tetapi bertindak disebabkan marah terhadap penipuan ini,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square, di sini.
Sehubungan itu, Rafizi  juga menolak andaian bahawa kejadian itu berlaku disebabkan masalah teknikal, disebabkan semasa cuba mengundi semakan dua, tiga orang kerani di tempat mengundi, semuanya menunjukkan nama mereka sudah dipotong, bermakna seseorang sudah mengundi menggunakan nama mereka.
“Kalau cuma seorang sahaja kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong namanya, mungkin kita boleh percaya ia kesilapan teknikal kerani yang seorang itu, tetapi semua kerani dah potong nama pengundi terbabit.
“Ini sekaligus membuktikan bahawa Mykad palsu dan pengundi hantu itu memang wujud,” katanya lagi.
Rafizi turut memberitahu pihak yang membuat laporan tersebut sebelum ini tidak pernah kehilangan Mykad masing-masing.
SPR tidak wajar menjadikan alasan lapan pengundi tidak menjejaskan keputusan pilihan raya kerana menurut Rafizi ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara ini.
Selain pengundi yang tampil membuat laporan polis, #Siasatpru13 yang diketuai Rafizi turut menerima video dan foto dari orang ramai yang boleh dijadikan bukti penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.
Tambah beliau lagi, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merupakan dua badan yang  wajib bertanggungjawab terhadap penipuan dan penyelewengan dalam PRU-13 lalu.

Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI