Monday, May 20, 2013

Rafizi Bukti Wujud Pengundi Hantu PRU13


PETALING JAYA, 21 MEI:  Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR,  semalam  mengemukakan lapan saksi yang dinafikan hak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.
Rafizi berkata, Kesemua mereka ini mendakwa  nama mereka terlebih dahulu digunakan orang lain untuk mengundi. Selain membuat laporan polis, mereka juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Lapan individu tersebut, setiap seorang merupakan pengundi bagi Parlimen Sungai Petani, Rembau, Kuala Selangor, Kemaman, Tumpat, Shah Alam dan dua di Serdang.
“Mereka yang buat laporan ini tidak diarahkan, mereka juga bukan orang parti, tetapi bertindak disebabkan marah terhadap penipuan ini,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square, di sini.
Sehubungan itu, Rafizi  juga menolak andaian bahawa kejadian itu berlaku disebabkan masalah teknikal, disebabkan semasa cuba mengundi semakan dua, tiga orang kerani di tempat mengundi, semuanya menunjukkan nama mereka sudah dipotong, bermakna seseorang sudah mengundi menggunakan nama mereka.
“Kalau cuma seorang sahaja kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong namanya, mungkin kita boleh percaya ia kesilapan teknikal kerani yang seorang itu, tetapi semua kerani dah potong nama pengundi terbabit.
“Ini sekaligus membuktikan bahawa Mykad palsu dan pengundi hantu itu memang wujud,” katanya lagi.
Rafizi turut memberitahu pihak yang membuat laporan tersebut sebelum ini tidak pernah kehilangan Mykad masing-masing.
SPR tidak wajar menjadikan alasan lapan pengundi tidak menjejaskan keputusan pilihan raya kerana menurut Rafizi ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara ini.
Selain pengundi yang tampil membuat laporan polis, #Siasatpru13 yang diketuai Rafizi turut menerima video dan foto dari orang ramai yang boleh dijadikan bukti penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.
Tambah beliau lagi, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merupakan dua badan yang  wajib bertanggungjawab terhadap penipuan dan penyelewengan dalam PRU-13 lalu.

Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI