Monday, March 14, 2011

Gerakan anti lelaki Y

Perbicaraan kes Sodomi 2 kini telah sampai ke titik yang amat getir. Bahan-bahan bukti yang dapat mengaitkan tertuduh, Anwar Ibrahim, dengan DNA yang terdapat pada tubuh pengadu, Saiful Bukhari Azlan, telah ditolak oleh mahkamah atas alasan teknikal.

Anwar bagaimanapun enggan memberi sampel DNA secara sukarela untuk penentuan. Anwar mendakwa bahawa bahan-bahan DNA tersebut akan digunakan kelak untuk menganiayai beliau. Saya amat faham sebab-sebab Anwar enggan memberi sampel DNA.

DNA lelaki Y telah disahkan sebagai DNA seorang lelaki Melayu. Keengganan Anwar untuk memberi sampel DNA telah menimbulkan satu keadaan dimana setiap lelaki Melayu yang telah baligh layak disyaki sebagai lelaki Y. Setiap lelaki Melayu adalah suspek dalam kes tersebut. Sebagai seorang lelaki Melayu tunggal ditempat kerja, saya terpaksa mengharungi jelingan serong dari pekerja-pekerja lain.

Oleh kerana Anwar enggan memberi sampel DNA, hanya proses eliminasi yang akan dapat mengatasi dilema ini. Semua lelaki Melayu perlu memberi sampel DNA mereka secara sukarela untuk ujian supaya dapat digugurkan daripada senarai suspek.

Saya bercadang untuk menubuhkan sebuah NGO, Gerakan Anti-lelaki Y atau lebih dikenali dengan nama singkat GAY, sebagai sebuah gerakan rakyat untuk melaksanakan proses eliminasi ini. Atas dasar BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH, setiap lelaki Melayu diseluruh negara akan memberi sampel DNA mereka untuk disahkan sebagai bukan lelaki Y. GAY akan menyelia usaha ini.

Setelah disahkan sebagai bukan lelaki Y, GAY akan melaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk MyKad individu tersebut dikemaskini. Butir-butir peribadi seperti jantina dan bangsa di MyKad akan ditambah dengan perkataan “bukan Y”.

GAY akan melaksanakan usaha ini sehingga tinggal hanya seorang lelaki Melayu terakhir yang tidak dapat mengkemaskini MyKad beliau.

Semoga keadilan dapat ditegakkan dengan cara ini.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI