Thursday, July 4, 2013

Peruntukkan Lebih RM 9 juta Untuk Pembangunan Pertanian

Shah Alam ,  5 Julai: Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi mengumumkan  Kerajaan Negeri memperuntukan  sebanyak RM 9.141 juta bagi pembangunan pertanian dan industri asas tani di seluruh Selangor bagi sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan itu meliputi pelbagai aktiviti pertanian bagi meningkatan ekonomi Selangor dan pendapatan petani.
Antaranya pembangunan taman agro teknologi sebanyak RM 1.4 juta, pembangunan tanaman makanan (RM 5.04 juta),  pembangunan tanaman industri (RM 300,000), pembangunan industri bunga dan taman hiasan (RM 200,000).
Juga diperuntukan adalah pembangunan industri asas tani (RM 1.251 juta), pembangunan pertanian bersepadu (RM 700,00) dan pembangunan tanah terbiar (RM 200,000).
“Ia adalah usaha bagi memperbanyakkan industri hiliran di Selangor,” kata Sallehen ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan (Pas) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS)  petang semalam.
Beliau merangkap ADUN Sabak menambah lagi, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan utama terhadap peningkatan hasil tanaman padi.
Usaha lain katanya adalah projek taman kekal pengeluaran makanan, pembangunan tanaman sayur-sayuran di samping membantu petani yang mengusahakan tanaman lain. Semua projek yang dilakukan akan dibuat pemantauan yang rapi bagi melihat kemajuan yang dilakukan oleh para petani di negeri ini.
Editor :Khaulah Azwar



Exco Agama Nasihat Umat Islam Tidak Salah Guna Wang Zakat, Ibu Tunggal Terharu Terima Bantuan

Sabak Bernam : Seramai 10 orang penerima asnaf bantuan zakat melahirkan rasa terharu apabila nama mereka telah terpilih sebagai penerima zakat untuk membina rumah yang diimpikan selama ini.

Azariah Tumiran ibu tunggal mempunyai lima cahaya mata yang masih kecil rasa gembira dengan bantuan sebanyak RM38 ribu.

Sallehen Mukhyi menyampaikan RM38 Ribu kepada Azariah Tumiran

Beliau berkata, alhamdulilah syukur kepada Allah SWT diatas rezeki dan bantuan yang diberikan oleh pihak Zakat. Sebelum ini sudah dua kali saya membuat permohonan tetapi  permohonan di tolak atas sebab tertentu. Namun  saya tidak berputus asa untuk terus membuat permohonan dan alhamdulilah tahun ini saya di pilih. Ini merupakan rezeki anak-anak saya yang masih kecil sempena ketibaan Ramadhan tidak lama lagi.

Menurut Azariah, pendapatan hasil menjual kuih muih sebulan RM350 tidak mengcukupi untuk membiayai pendidikan anak-anak namun kehidupan ini perlu di teruskan dengan usaha yang gigih.

Tambahnya lagi,  sebelum ini saya menyewa rumah sebanyak RM100, belum tolak  bil air dan bil elektrik. Bakinya untuk anak-anak. Alhamdullilah akhirnya kesusahan saya berakhir juga apabila Zakat Selangor telah mengambil serius dengan kesusahan yang saya alami selama ini dengan memilih saya sebagai penerima Zakat. Bantuan dihulurkan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban saya.

Insya-Allah rumah yang telah siap dibina bakal diduduki sebelum Ramadhan dan dapatlah saya dan anak-anak merasakan rumah baru. Justeru saya merakamkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan prihatin kepada saya sekeluarga dengan menghulurkan bantuan. Saya harap ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi yang diberi mandat oleh rakyat dapat memberi khidmat yang terbaik  katanya kepada media.
Sementara itu, ADUN Sabak Sallehen Mukhyi yang telah merasmikan penyampaian bantuan zakat rumah kepada 10 orang penerima mengucapkan tahniah.

Katanya, alhamdulilah sebelum tibanya Ramadhan seramai 10 orang penduduk sekitar Bagan terap telah dipilih penerima zakat. Semoga dengan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaiknya dan dapat mengurangkan bebanan yang mereka tanggung selama ini.

Dalam kita memberi zakat kepada umat Islam terdapat syarat-syarat utama yang melayakkan individu itu menerima bantuan. Bukan semua orang boleh terima zakat jika syarat utama tidak menepati.

Menurut beliau, umat islam dinegeri ini sewajarnya memahami apakah yang dimaksudkan dengan Zakat, siapakah yang layak menerima bantuan dan sebagainya kerana difahamkan terdapat masyarakat yang mengambil kesempatan dengan menyalahguna wang zakat. Wang zakat tidak boleh dibuat main-main kerana kesan diakhirat amatlah perit.

Sallehen Mukhyi  merangkap Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa  menjelaskan lagi antara golongan yang berhak menerima harta zakat telah ditentukan Allah, ianya tidak diserahkan kepada pilihan manusia atau pemerintah semata-mata. Setiap yang telah ditentukan Syarak perlulah dilaksanakan sebagaimana dikehendaki Syarak. Ini menjadi amanah penting yang dipikul oleh individu atau institusi yang bertanggungjawab menguruskan harta zakat; memungut dan mengagihkannya.


Menjadi satu kaedah yang disepakati oleh para Fuqahak bahawa;



تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ



“Tidak tanduk pemimpin dalam perkara yang berkait dengan rakyat terikat dengan maslahah (untuk rakyat)” (al-Asybah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti).



Ujarnya lagi, antara golongan yang berhak menerima zakat Allah telah menghadkan orang-orang yang berhak menerima harta zakat kepada lapan golongan iaitu 1. Untuk golongan fakir, 2. Untuk golongan miskin, 3. Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama, 4. Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat, 5. Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya, 6. Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang, 7. Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah), dan 8. Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan.



إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ



“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. 



(at-Taubah: 60)



Oleh kerana orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah, tidak boleh sewenang-wenangnya kita harta zakat digunakan kecuali kepada kepada aspek-aspek yang ditentukan Syarak. Para ulamak menegaskan; Jika seorang telah tersalah memberikan zakatnya di mana ia membayar zakatnya kepada orang yang tidak layak menerima harta zakat, maka zakatnya tidak sah dan wajib diulangi. (al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 514). 



Kerana itu, amat penting diperhatikan kepada siapa kita salurkan zakat kita, kata Sallehen selepas menyampaikan bantuan zakat kepada penerima di Masjid Sultan Muhammad Shah Parit 10, Sabak Bernam, disini.


Hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Negeri Selangor Tuan Haji Mohamed Izam Bin Mohammad Yusof, Imam muda Jabar dan  Sham kamikaze.

Editor : Khaulah Azwar





Wednesday, July 3, 2013

Exco Hal Ehwal Islam Iltizam Melakukan Penambah baikan Portfolio

Shah Alam : Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa , Sallehen Mukhyi tanam iltizam melakukan penambah baikan Portfolio Hal Ehwal Islam. Beliau berkata, dalam menjaga Portfolio Hal Ehwal Islam saya akan cuba sentiasa berbincang dan memberi kerjasama dengan Sultan Selangor Sultan Saharafuddin Idris Shah kerana sebagai ketua Agama Islam baginda lebih arif. 
Sallehen Mukhyi membincangakan kemajuan pertanian selangor 
Selain itu, saya akan fikir beberapa kelemahan dalam Jabatan Agama Islam supaya setiap masalah dan kelemahan yang ada dapat di atasi dengan baik. Ia merangkup dalam manifesto konteks pembangunan jiwa dan fizikal umat Islam dengan menyediakan Pusat Tahfiz Sains di tiga Daerah yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini, ujarnya.

Menurut beliau penambah baikkan seterusnya ialah memperkasakan kualiti mengurus agama seperti jurunikah, imam, pengetua sekolah agama. 

Saya fikir penekanan ini perlu diberi fokus utama kerana kepimpinan ini adalah peneraju Institusi Agama di Selangor, kata beliau yang merupakan ADUN Sabak. Tambahnya lagi bagi manakala bagi Portfolio Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen berkata perlatikan dirinya untuk menggalas tanggungjawab ini secara tidak langsung sebagai satu penghargaan kepada petani terutamanya di bahagian utara Selangor. 

Manakala mengenai isu agama Selangor pula perlu perbincangan yang mendalam dan kerjasama erat antara Exco-Exco lain bagi mengatasi masalah isu arak, ajaran sesat dan pusat hiburan yang semakin menular, kata Sallehen selepas melawat Pusat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), disini. 

Editor : Khaulah Azwar 

Tuesday, July 2, 2013

Jambatan Parit Batu 10 Siap Dibina, ADUN Seru Rakyat Rajin Imarah Masjid dan Surau


Parit 10, Sabak Bernam 3 Julai : Rakyat Sabak Bernam melahirkan rasa gembira apabila Jambatan lama telah dinaiktaraf dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Bernam malam tadi, Sallehen Mukhyi.
Exco Agama, Sallehen Mukhyi rasmi Jambatan Baru Masjid Parit 10


“Sebelum ini jambatan yang terdapat berhampiran jalan besar merupakan jambatan lama tidak bersimen  dan mudah memberi kemudaratan kepada pengguna yang ingin menunaikan solat di Masjid Parit 10 tetapi setelah saya diberi mandat sebagai ADUN di kawasan ini kita telah menerima aduan rakyat untuk membina jambatan baru. Alhamdulilah kerja pengurusan di mudahkan”, kata Sallehen.  

Menurut Sallehen tujuan Jambatan tersebut dibina kerana ia merupakan satu keperluan kepada penduduk disini dan mengelak berlakukan kemudaratan kepada pengguna.  

Sallehen merangkap Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa  menambah lagi, “saya  menyeru  semua umat Islam di kawasan ini khususnya dengan adanya Jambatan baru mereka akan bertambah ringan untuk beribadah dengan melakukan solat berjemaah dan mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh Masjid.

Masjid dan surau perlu diimarahkan tanpa mengira parti politik. Apabila kita berada di rumah Allah sewajarnya hal keduniaan di ketepikan”, katanya kepada pemberita.
Hadir sama Tuan Hj Mohamed Izam Bin Mohamed Yusof, CEO Zakat Selangor dan Ustaz Jamsari Marsom Nazir Masjid Parit 10. 

Editor Khaulah Azwar



Monday, July 1, 2013

Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.7 Juta Dana Moreh Ramadhan


Shah Alam : Kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 Juta untuk Masjid dan Surau seluruh negeri sempena ketibaan Ramadhan tidak lama lagi, kata Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa , Sallehin Mukhyi.
Beliau berkata, sempena ketibaan bulan Ramadhan kerajaan negeri telah memperuntukan dana sebanyak RM2.7 Juta untuk pihak pengurusan Masjid dan Surau mengadakan berbagai aktiviti, menyediakan juadah berbuka, sahur dan sebagainya.

Kita harap Pengerusi dan Ahlijawatankuasa Masjid dan Surau yang diberikan amanah mengimarahkan masjid dan surau dapat memainkan peranan sebaiknya. Sekiranya masih ada lagi masjid dan surau yang tidak berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam (JAIS) maka mereka sewajarnya mendaftarkannya segera.

Selain itu, sekiranya terdapat infrastruktur masjid dan surau telah rosak maka perlu diperbaiki untuk keselesaan pengguna. Kita tidak mahu pada bulan Ramadhan ramai lapisan masyarakat Islam yang datang ke Masjid dan Surau untuk solat terawih berjemaah tidak selesa apabila melihat infrastruktur yang sediada mengalami berbagai kerosakan dan kotor.

Menurut Sallehen sebagai orang Islam seharusnya menjaga kebersihan yang bukan sahaja sekitar perumahan tetapi di Masjid dan Surau juga. Kebersihan melambangkan keimanan individu tersebut.

Sallehen yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Bernam  menambah lagi, Pakatan Rakyat (PR) Selangor yang telah memerintah untuk tahun kedua di negeri ini,  seharusnya  meneruskan agenda imarah masjid dan mengemaskini sistem rekod data masjid dan surau yang lebih effektif.

‘Rata-rata rakyat Selangor berpuashati apabila PR memerintah Masjid dan Surau hidup dan tidak mati dengan aktiviti. Berbagai  usia tanpa kira parti telah bersatu hati menghidupkan majlis ilmu dan berbagai aktiviti diadakan dan sekaligus mampu menarik golongan muda datang ke masjid dan surau”.

Justeru saya harap dengan ketibaan Ramadhan dan akhirnya Ramadhan pihak pengurusan masjid dan surau mampu mengimarahkan masjid. Imarah masjid bukan sekadar hanya bulan ramadhan tetapi berterusan,  katanya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan di Masjid Negeri, di sini.

Sebanyak 395 Masjid menerima RM 1,650 manakala 195 surau solat Jumaat menerima RM 1,250 dan 1, surau lain  1868 menerima  RM 1,000.



Editor : Khaulah Azwar

3 Kroni UMNO terima Pinjaman Mudah & Projek Berbillion

Kuala Lumpur : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tiga kroni Umno diberi pinjaman mudah dan projek berbilion ringgit oleh Datuk Seri Najib Razak dua hari selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) hanya kerana membantu parti pemerintah itu.

Mereka ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dan Tan Seri Kenneth Eswaran yang masing-masing mendapat pinjaman bernilai RM500 juta serta syarikat Pexco milik Tan Sri Ananda Krishnan yang di anugerahkan projek carigali Minyak dan Gas di Sarawak.

"Sebelum PRU saya selalu tekankan, Melayu ini bukan hanya Syed Mokhtar, kalau nak bantu, patut tolong Melayu miskin, bukan dua tiga kerat keluarga dan kroni kamu.

"Syed Mokhtar dapat RM500 hingga RM 600 juta sukuk hanya kerana dia bantu Umno dalam PRU. Adakah tiada melayu lain atau peniaga berpotensi dipertimbangkan?

"Kedua, kerajaan lulus bilion ringgit kepada syarikat Ananda krishnan untuk carigali minyak di Sarawak. Saya tidak pertikai Ananda kerana dia  India, tapi sama macam Syed Mokhtar. Ini semua kroni. Kenapa tidak adakan tender dan beri peluang pada rakyat terutama anak sarawak?

"Ketiga Tan Seri Kenneth, tokoh India yang bantu Najib dapat pinjaman mudah dari Bank Pembangunan RM500 juta. "Bank ini patut utamakan bantu syarikat IKS dan peniaga baru yang berpotensi," katanya Anwar  dalam Majlis Makan Malam untuk mengutip dana petisyen PRU di Theam Hou Temple, Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Datuk Dr Tan Kee Wong (Wangsa Maju), Tian Chua (Batu), Hee Loy San (Petaling Jaya Selatan), Mohd Rafizi Ramli (Pandan), Teresa Kok (Seputeh), R Sivarasa (Subang), 

Ketua Cabang KEADILAN Putrajaya, Onn Abu Bakar dan pimpinan Pakatan Rakyat pelbagai peringkat.
Mengenai taktik Najib meredakan kemarahan rakyat berhubung kepincangan dalam PRU lalu dengan mencanangkan slogan rekonsiliasi, Anwar menegaskan Perdana Menteri mesti menerima dan mengakui tiga perkara berikut.

"Najib kata rekonsiliasi, tapi terima penipuan PRU, terima rasuah dan rasis. "Saya kata kami tolak penipuan PRU, tolak rasuah dan rasis," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 500 hadirin pelbagai kaum.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan gerak kerja mendedahkan penipuan PRU harus diteruskan melalui apa jua medium dan tiada perkataan letih untuk itu.

Sejumlah RM18, 447 berjaya dikutip pada malam itu dan program sama akan turut diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru selepas ini.


Kakitangan DUN Bakal Terima Bonus

SHAH ALAM 1 JULAI :  Kakitangan Pusat khidmat DUN bakal terima bonus kerana mencapai target dalam menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Perkara ini telah dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, pemberian itu bertujuan mempertingkatkan penglibatan masyarakat terhadap program MES selain memastikan golongan yang memerlukan dapat dibantu.
Pemberian bonus ini sebagai satu galakan agar keberkesanan kerajaan prihatin akan dapat dicapai dan jumlahnya akan dibincangkan nanti.
“Tetapi kita dapati adakalanya maklumat program MES tidak sampai kepada rakyat dan kita merencanakan beberapa pendekatan untuk memperhebat hubungan itu ,” katanya menjawab pertanyaan lisan Hasbullah Mohd Ridwan (PAS-Gombak Setia) ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).
Selain itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri sentiasa mencuba mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam menambah baik program MES termasuk syarat-syarat bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh semua golongan.
“Oleh itu, pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa memantau perlaksanaan setiap program dari masa ke semasa bagi memastikan ia berjalan lancar melalui laporan yang dikemas kini dari masa ke semasa kepada Kerajaan Negeri.
“Kita juga sentiasa menerima dan mengambil kira segala cadangan atau apa juga teguran yang diterima bagi sebarang penambahbaikan,” katanya.
Antara program MES yang diperkenalan sejak 2008 ialah air percuma, Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas) dan yang terbaru insentif perkahwinan kepada belia berumur 35 tahun ke bawah, tidak ketinggalan bantuan untuk golongan warga emas serta banyak lagi program.
Info berkaitan program MES disediakan di portal rasmi MES iaitu mes.selangor.gov.my , di pusat khidmat DUN, pengedaran risalah di setiap daerah, promosi melalui billboard dan kaunter-kaunter penerangan MES di gerai pameran majlis Kerajaan Negeri.

Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI