Tuesday, October 14, 2014

Tazkirah: Apakah warna hati kita?? Hati mana yang di sayangi Allah

Apakah warna hati kita? Bagaimana suasana hati kita? Tenang, kelabu atau hitamkah warnanya? Berbicara tentang hati memang tidak pernah habis kerana kita ini sebagai manusia memang berubah-ubah sifatnya. Sedangkan alam lagikan berubah, ini kan pula kita manusia. Tapi jangan berpandangan  negatif  tentang ini, kerana ini lah namanya proses.

Hadis Nabi SAW, “bahawa di atas muka bumi Allah ini ada bejana-bejana (bekas). Bekas-bekas tersebut ada hati-hati manusia”. Jadi sifat bekas adalah menerima sahaja. Jenis-jenis hati ada tiga iaitu hati yang paling jernih, hati yang paling teguh dan hati yang paling lembut. Yang pertama hati yang paling jernih. Hati jenis ini ialah hati yang paling yakin dengan Allah SWT. Mari kita contohi sejarah pengorbanan yang sangat mahsyur di dalam al-quran iaitu kisah Saidatina Siti Hajar dan suaminya Nabi Allah Ibrahim AS. Pasangan ini mempunyai seorang anak yang bernama Ismail (Nabi Ismail AS).
Pengorbanan besar yang dilakukan Siti Hajar ialah bermula dengan menanam keyakinan kepada Allah SWT. Sanggupkah para wanita pada hari ini sekiranya ditinggalkan suami selama bertahun-tahun lamanya? Hajar sanggup ditinggalkan dan terima dengan redha perintah yang diberikan oleh Allah SWT yang sampaikan oleh suaminya nabi Ibrahim AS. Saat di tanya oleh suaminya, “adakah engkau sanggup untuk aku tinggalkan ditengah-tengah padang pasir wahai hajar? ” Jawab Hajar, “ adakah ini arahan dari Allah SWT? ” Lalu Ibrahim AS menjawab, “bahkan ya”. Sebaik mendengar jawapan tersebut, Hajar tanpa merungut terus saja menerima dengan hati yang tenang dan redha atas perintah dari Allah SWT itu. Cubalah kita bayangkan, Hajar bersama anaknya Ismail AS dibawa ke tengah-tengah padang pasir yang kering kontang oleh suaminya.
Sebaik tiba di padang pasir, maka suaminya berpesan, “aku tinggalkan engkau bersama Ismail AS untuk suatu tempoh yang agak lama di sini (padang pasir), berapa lama aku tidak pasti, tunggu sehingga Allah SWT memerintahkan aku untuk kembali menemui mu, diharapkan engkau dapat bersabar wahai hajar”. Hajar tanpa bertanya apapun, terus akur, “kalau ini yang Allah mahu dan perintahkan, aku terima kerana aku yakin apa jua yang Allah perintahkan tidak akan sia-sia”. Walaupun ditinggalkan oleh suami bertahun-tahun di padang pasir, dengan bekalan makanan yang sudah habis tetapi Hajar boleh  bersabar. Kesabaran Hajar sangat tinggi kerana dia amat yakin dengan Allah, pasti ada hikmah, pasti ada sesuatu yang akan di beri oleh Allah SWT. Takdir dan ketentuan Allah tiada siapa yang tahu. Yang penting sebagai hamba Nya kita kena yakin dan akur terhadap Nya. Itulah betapa kuatnya keyakinan Hajar kepada Allah SWT. Tahap keyakinan kita bagaimana?
Satu sisi lagi yang perlu kita lihat ialah bagaimana positif dan halusnya kata-kata yang diungkapkan oleh Hajar sebaik mendengar perrmintaan suaminya untuk ditinggalkan. Hajar tidak marah, tidak mengeluh dan tidak juga merungut. Hajar juga tidak bertanya macam-macam, mengapa begitu dan begini, malah dia turuti saja kehendak Allah dan permintaan suaminya, untuk ditinggalkan dan mohon hajar untuk bersabar. Mampukah kita sesabar dan seredha Hajar? Lihat, hati Hajar sungguh jernih. Hati yang jernih akan mengeluarkan kata-kata yang jernih.
Tindakan Hajar yang tidak banyak soal itu dan kesanggupan dia menerima ujian tersebut dengan sabar yang tinggi, maka tindakan Hajar itu telah melegakan hati suaminya, nabi Ibrahim AS. Bagaimanakah kita, adakah kita telah banyak melegakan hati suami? Satu kata-kata yang ingin saya berikan untuk kita berkongsi bersama, “alangkah indahnya hidup ini jika kita bukanlah penyebab atau menjadi punca yang menyebabkan orang lain susah”. Hidup kita ini biarlah banyak memudahkan orang bukan menyusahkan orang. Sepantas mana kita memberi kebaikan atau menolong orang lain, maka sepantas itulah kita melalui titian sirat di akhirat nanti. Membuat perasaan orang lain merasa lega juga adalah perkara yang besar di sisi Allah SWT. Ada banyak perkara yang di lihat kecil pada pandangan manusia tetapi sebenarnya hal yang kecil itu di lihat besar pada pandangan Allah.
Hajar dan Ibrahim AS adalah antara manusia yang hebat di dunia kerana keikhlasan hati dan keyakinan mereka terhadap pencipta Nya. Keikhlasan hati dan kesabaran mereka di uji lagi. Setelah Ibrahim AS kembali menemui Hajar setelah bertahun-tahun ditinggalkan dipadang pasir, ada lagi perintah baru daripada Allah SWT. Kali ini Allah memerintahkan pula untuk Ibrahim AS menyembelih satu-satunya anak mereka, Ismail AS. Lepas satu, satu mereka diuji. Yang ini pun Hajar dan Ibrahim AS menerima dengan sabar. Anaknya Ismail AS juga redha untuk disembelih kerana itu perintah dari Allah SWT. Begitu tinggi tahap keimanan Ismail AS. Sanggup disembelih oleh ayahnya sendiri. Yakinnya tiga beranak ini dengan Allah SWT.
Besar cerita tentang keyakinan ini sebenarnya. Bertahun-tahun Allah menguji Hajar dan Ibrahim AS. Ujian pula besar dan lebih dari satu. Hasilnya Allah angkat dan tatang nama Hajar dan Ibrahim AS sepanjang zaman. Kesabaran kita tidak sekuat Hajar dan Ibrahim AS sebab itu Allah bagi kita ujian untuk kita menjadi seorang yang sabar. Bila kita dapat bersabar maka itu akan menjernihkan hati kita. Taqwa itu bukan terletak pada orang yang berceramah. Bukan juga terletak pada orang yang menyampaikan khutbah semata, tetapi ia terletak dihati. Mudah-mudahan kisah pengorbanan Ibrahim AS, Ismail AS dan Saidatina Siti Hajar bukan dihafal semata-mata oleh kita. Lebih utama dari itu ialah moga-moga kita dapat betul-betul menghayati dengan dalam bagaimana jika kita bertukar tempat dengan mereka. Mampukah kita jadi seperti mereka? Janganlah segala kisah dalam Islam kita jadikan retorik sahaja. Sama-sama kita mengambil pengajaran daripada kisah mereka.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI