Friday, May 31, 2013

Selangor Ramai Exco Wanita Tanda Pakatan Meraikan Wanita

SHAH ALAM 31 MEI : Pakatan Rakyat Selangor terus mencipta sejarah dengan mengemukakan suara wanita yang lebih ketara di dalam institusi kerajaan negeri bagi penggal ini.

Pimpinan Pakatan yang dihubungi berkata ini membuktikan komitmen gagasan itu dalam menghargai kebolehan wanita dalam memimpin dan bukan sahaja bercakap retorik semata-mata.
Semalam ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh diumumkan sebagai Speaker baru Dewan Negeri Selangor manakala empat daripada 10 jawatan exco diisi dengan pimpinan wanita.
Hannah merupakan speaker wanita pertama dalam sejarah negara ini.
Perlantikan beliau merupakan satu lagi penanda aras, selepas perlantikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Datin Paduka Alinah Ahmad, dan perlantikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor pada penggal lalu Haniza Talha.
MP Kota Raja Siti Mariah Mahmud berkata kebolehan pemimpin wanita di dalam Pakatan terserlah pada penggal lepas apabila mereka melaksanakan tugas dan amanah dengan baik.
“Kita tak cakap banyak, tapi kita buat. Menunjukkan juga sumbangan wanita dihargai dan wanita boleh perform.”
“Dengan adanya wanita diperingkat tertinggi membuat keputusan, diharap banyak lagi program-program mengenai wanita. Tak lihat lelaki ke wanita, rakyat dilayan sama.”
Empat exco wanita yang dilantik terdiri daripada tiga dari PKR dan seorang dari Pas iaitu Rodziah Ismail, Elizabeth Wong, Dr Daroyah Alwi dan Dr Halimah Ali.
Dr Halimah, Rodziah dan Elizabeth menggangotai jemaah exco pada penggal lalu.
Dr Halimah dilantik Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan; Rodziah, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita; Dr Daroyah, Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Elizabeth Wong Keat Ping Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar.
Sementara itu, MP Kulai Teo Nie Ching berharap perlantikan ini mampu mengembangkan lagi peranan wanita di Selangor.
“Kalau kita tengok kerajaan pusat, ada 35 jawatan untuk menteri tetapi hanya 2 orang yang dipegang wanita, mereka hanya mencapai 5.7% tapi sekarang di Selangor, kita telah mencapai 40%”
“Ini juga menunjukkan bahawa berbanding dengan Barisan Nasional, Pakatan Rakyat lebih komited untuk memberi satu peluang dan platform untuk wanita,” kata Nie Ching.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI