Monday, September 24, 2012

PAS Sedia Calon Yang Berbakat PRU13

POKOK SENA: PAS, KeADILan dan DAP telah menyesuaikan sebahagian besar kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Tapi saya dimaklumkan BN belum selesai banyak, sebab itu tidak tahu nak tetapkan tarikh pilihan raya,” sindir beliau selepas Majlis Konvokesyen Ke-11 Kolej Islam Darul Ulum (Kidu), di sini 22 September baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan media berhubung penyelarasan kerusi yang akan ditandingi ketiga-tiga parti.

Diminta menyentuh mengenai kerusi melibatkan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), perkara itu ujarnya, perlu mengambil kira perbincangan bersama KeADILan dan DAP kerana akan melibatkan kawasan bukan Islam.

“Calon bukan Islam mestilah bertanding di kawasan bukan Islam. Kita ada persefahaman, kita tidak bergaduh, yang ada cuma berbeza pendapat,” terangnya.

Tegas Ustaz Abdul Hadi, PAS tidak semata-mata meletakkan calon atau sebagai simbolik sahaja, tetapi mahu calon yang boleh menang.

Malah dalam memberi kedudukan kepada bukan Islam, PAS menurutnya, pernah meminda Perlembagaan Dewan Undangan Negeri Terengganu semasa memerintah negeri itu bagi membolehkan calon bukan Islam atau wanita dilantik sekiranya tidak terdapat wakil dari kedua-duanya.

Maklum beliau lagi, banyak ruang untuk melantik calon bukan Islam seperti Senator, Majlis Daerah atau Perbandaran dan lain-lain.

“Jadi tunggu menang (pilihan raya) dahulu. Bukan semestinya (jadi calon) bertanding dalam pilihan raya,” terang beliau.

Terdahulu menjawab pertanyaan sama ada PAS di Kedah akan meletakkan calon luar atau tempatan pada pilihan raya nanti, perkara itu katanya, terserah kepada budi bicara PAS Negeri.

Menjelaskan prosedur itu, PAS Kedah menurut beliau menghantar senarai calon kepada PAS Pusat untuk pertimbangan oleh Majlis Syura Ulama, sebelum senarai diluluskan diserahkan kembali kepada PAS Kedah.

“Terpulang kepada PAS Negeri atas budi bicara masing-masing. Biasanya PAS Negeri atau PAS Kawasan menghantar beberapa nama, bukan satu nama sahaja. Kemudian nama itu diluluskan Majlis Syura Ulama.

“Ada Dun, Parlimen (hantar) dua nama kadang sampai lima nama. Kemudian PAS Negeri timbanglah calon sesuai,” terang Ustaz Hadi disamping Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI