Tuesday, July 31, 2012

Wilfred Bumburing sokong PR, penguasaan BN Sabah berakhir

Sehari selepas Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin keluar Umno, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing pula secara rasmi mengisytihar keluar Barisan Nasional (BN) dan menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.
Wilfred


Beliau turut mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan daripada parti Upko.

"Maka pada hari ini saya dan rakan-rakan secara rasminya mengisytiharkan bahawa kami meninggalkan BN.

"Kita juga mengisytihar untuk menyertai Pakatan Rakyat dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan perjuangan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat," kata beliau di majlis pelancaran Angkatan Perubahan Sabah (APS) di Restoran Singgahgora, Tuaran.

Turut serta di majlis itu adalah Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli dan Pesuruhajaya PAS Sabah, Aminudin Aling.

Hadir sama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lajim Ukin dan Naib Presiden UPKO, Senator Datuk Maijol Mahap.

Pengumuman ini adalah yang kedua selepas Datuk Seri Panglima Lajim Ukin membuat pengumumkan perletakan jawatannya dalam Umno dan BN semalam.

Bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), sebuah parti komponen BN Sabah itu juga berkata, APS akan giat turun ke setiap kawasan di Sabah untuk mengajak rakyatnya melakukan perubahan.

"Lepas ini tiap-tiap hari kita akan melawat kawasan-kawasan di Sabah untuk mempelawa rakan-rakan kita menyokong Pakatan Rakyat," katanya.

Tegas beliau, sudah tiba masanya rakyat Sabah mengikuti jejak langkah rakyat di Semenanjung yang berani menolak Umno BN.

"Kita akan mencatat satu sejarah lagi dalam politik tanah air kita Malaysia. Pada tahun 2008 melalui PRU 12,  rakyat Malaysia di semenanjung telah meluahkan hasrat dan tuntutan mereka untuk perubahan dan reformasi dengan jelas di mana BN telah menerima kejutan di lima negeri.

"Dari segi jumlah undi BN dan Pakatan Rakyat sebenarnya memperoleh lebih kurang sama banyak. Jika tidak kerana undi Sabah dan Sarawak sudah tentu masa itu pun kerajaan Malaysia sudah bertukar.

"Tsunami poltik di Semenanjung Malaysia sudah menular ke Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya negeri baru-baru ini dan kini tsunami tersebut akan bergelombang di Sabah," katanya.

Ini kerana katanya, BN gagal menyelesaikan masalah oendatang tanpa izin yang semakin bertambah di negeri itu.

"Masalah besar melanda Sabah yang selalu ditafsirkan sebagai ibu kepada segala masalah iaitu kebanjiran pendatang tanpa izin.

"Pada tahun 1963 apabila Sabah bersetuju untuk sama-sama menubuhkan Malaysia, pemimpin negara pada masa itu berjanji melindungi kedaulatan Sabah dalam Malaysia.

"Sejak Tun Mahathir menjadi perdana menteri ketibaan mereka ini dibiarkan begitu sahaja malah terbukti ramai di kalangan mereka ini diberi kewaragenaraan sewenangnya-wenangnya  tanpa menghirau perlembagaan Malaysia. Rakyat sabah bertanya di manakah janji merdeka dahulu hingga sekarang?" soalnya.
 
Dengan keluarnya Wilfred, BN kehilangan dua kerusi Parlimen di Sabah. Semalan Datuk Seri Lajim Ukin keluar Umno dan menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) – sebuah gerakan yang menolakkan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

PPS dan APS akan bergerak bersama untuk memberi kesedaran di kalangan rakyat ke arah perubahan seperti mana yang berlaku pada politik Sabah apabila PBS meninggalkan BN pada 1990 dahulu

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI