Tuesday, July 3, 2012

Skim Tunas Boleh Buat Permohonan Sekarang



Shah Alam : Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali secara rasminya mengumumkan kepada rakyat Selangor  agar  mereka yang berpendapatan rendah RM1500 kebawah kini boleh memohon  bantuan Skim TUNAS untuk menghantar anak mereka tadika.



Dr Halimah berkata, “bantuan skim Tunas boleh di dapati di syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) di Tingkat G, Bangunan Darul Ehsan, Jalan Indah, Seksyen 14, Shah Alam.

“RMSB merupakan anak syarikat milik Kerajaan Negeri bertanggungjawab menguruskan semua skim-skim dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor boleh dihubungi di talian 03-5510 3468 dan 03-5510 3472.

Selain itu, borang permohonan skim TUNAS atau Bantuan Tadika Selangor boleh didapati dari pejabat-pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN dalam jangkamasa terdekat ini”, katanya dalam pelancaran rasmi skim terbaru di Shah Alam Convention Centre, di sini semalam.

Menurut beliau, bantuan skim ini tidak melibatkan bayaran tunai kepada penerima sebaliknya ia akan dibayar terus kepada sekolah tadika terlibat.

Skim tersebut mendapat peruntukan sebanyak RM1.016 juta dari Geran Selangorku bagi tahun 2012.

Dalam pada itu, Dr Halimah menjelaskan sekolah tadika hendaklah berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS), sebuah badan bertindak mengawal selia piawaian sekolah-sekolah tadika seluruh Selangor.

“Kerajaan negeri juga buka kepada Tadika Perpaduan dan Kemas. Bantuan diberikan tanpa memilih bulu dan politik namun mereka enggan daftar untuk sertai program ini.

“Jadi, yang ada pihak kata kami tak telus dan sebagainya itu tak betul. Sebenarnya mereka sendiri yang enggan kerana berfikiran politik sempit.

Akhirnya ibu bapa yang anaknya bersekolah di Kemas dan Perpaduan jadi mangsa, tidak dapat menikmati skim ini,” katanya.

Dr Halimah merangkap ADUN Selat Klang menambah lagi “bagi tahun hadapan, peruntukan untuk Skim Tunas akan diteruskan dan dimasukan di dalam belanjawan berimbang 2013 nanti,” kata Dr Halimah ketika berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin di majlis pelancaran skim tersebut.

Dalam masa terdekat satu ‘road show’ juga akan diadakan bagi menerangkan skim ini kepada rakyat Selangor bermula di kawasan DUN yang mengandungi paling banyak keluarga berada di bawah paras kemiskinan.

‘Road show’ itu juga akan memaparkan tadika-tadika yang telah menyertai skim ini.

Skim yang julung-julung kali diperkenalkan itu telah menerima reaksi positif dari para ibu bapa yang sempat ditemubual wartawan.

Mohd Suhaimi Ibrahim berkata “Semenjak kerajaan baru ini, bermacam skim untuk rakyat diperkenalkan, termasuklah terbaru hari ini. Skim Tunas untuk ringankan beban rakyat berpendapatan kurang RM1,500. Saya percaya bantuan ini dapat meringankan beban golongan sasaran.”

Khatijah Hashim, pula menganggap skim yang diperkenalkan ini sebagai mengesahkan lagi tanda kesungguhan Kerajaan Negeri meningkatkan mutu pencapaian pendidikan rakyat negeri ini.

“Sebelum ini ada Tuisyen Rakyat, sekarang pula Skim Tunas, saya nampak Kerajaan Negeri betul-betul serius nak tingkatkan pencapaian pendidikan rakyat Selangor,” kata Khatijah.

Hadir sama  majlis itu,  ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman, Pengerusi Majlis Permuafakatan Tadika Selangor, Dr Supian Hussein, dan penyelaras-penyelaras DUN.

Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI