Tuesday, July 3, 2012

Kerajaan Negeri Setuju Ambil Tanah SJKC Tchi Min



Cheras : Mesyuarat Exco Selangor pada 27 Jun, 2012 sebulat suara bersetuju mengambil milik tanah bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tchi Min bagi membolehkan sekolah itu menambah bangunan kelas darjah baru.


Exco Kerajaan Negeri, Teresa Kok berkata dalam sidang media, “ Kerajaan Negeri prihatin dengan keperluan pelajar yang semakin meningkat. 

Setiap Tahun Selangor melalui portfolio Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali memperuntukkan RM 4 juta untuk pembangunan 109 buah SJKC. Manakala RM 4 untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan RM 6 juta untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR)”.


Justeru, “kerajaan negeri bersetuju untuk mengambil milik tanah tersebut memandangkan sekolah yang berada di Sungai Pelek ini mengalami masalah kekurangan ruang bilik darjah sejak sekian lama”, katanya.

Menurutnya, proses ini dilakukan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil-milik sebahagian tanah-tanah di sebelah sekolah tersebut.

Pengambilan tanah  itu melibatkan lot 99 (0.9981 ekar) dan lot 100 (1.6324 ekar) di Pekan Sungai Pelek untuk kegunaan penambahan bangunan bilik darjah bagi sekolah tersebut.

Ujar beliau lagi, “permohon pihak sekolah untuk tanah lapang di hadapan pintu besarnya telah ditolak oleh pentadbir tanah kerana tanah tersebut digunakan penduduk Sungai Pelek.

“Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan Pejabat Tanah Sepang untuk mendapatkan tanah di persekitaran sekolah tersebut untuk diserahkan kepada mereka (pihak sekolah).

Pada masa sama, saya juga pernah meminta rakan saya untuk menghubungi tuan tanah di sebelah sekolah supaya menjual ataupun memberi tanah mereka kepada pihak sekolah. Namun usaha saya dan pejabat tanah gagal,” kata Teresa.

Teresa menambah, “proses mengambil-milik oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) akan selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga atau empat bulan.

“Sementara kos pengambilan dan kos ukuran tanah akan ditanggung oleh pihak sekolah manakala kerajaan negeri akan membantu dalam aspek kutipan dana.

Parti DAP dan pihak lembaga pengarah sekolah juga akan mengadakan beberapa aktiviti untuk mencari dana pembangunan berkenaan”, katanya.

SJKC Tchi Min dibina pada tahun 1938 dan mempunyai 280 orang pelajar setakat ini.


Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI