Saturday, December 10, 2011

Sultan Selangor minta Kerajaan negeri Pastikan Sekeliling Perpustakaan Dipelihara Kehijauannya


SHAH ALAM, 11 DIS : Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diminta memelihara kehijauan di sekeliling bangunan Perpustakaan Raja Tun Uda serta tidak membenarkan pembangunan yang mencemarkan alam sekitar yang boleh membawa kepada bencana, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Majlis Perasmian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Raja Tun Uda disini semalam.

Lokasi perpustakaan ini dipilih untuk memastikan pengunjung boleh mencergaskan minda disamping beriadah sambil membaca buku dan bahan bacaan ilmiah yang lain.

Titah Sultan Sharafuddin, "Beta berpuas hati dengan koleksi bahan bacaan serta sistem susun atur di perpustakaan ini, namun ianya masih belum mencukupi, kerana keseluruhan rak yang ada boleh membuatkan kira-kira 400,000 naskah buku,sedangkan jumlah terkini koleksi buku ialah sekitar 190,000 naskah sahaja.

Sultan Sharafuddin juga memaklumkan akan mengurniakan sebanyak 1,200 naskah buku yang merangkumi bidang kepimpinan di dalam politik, sejarah, ketenteraan, sukan, muzik, seni dan perniagaan.

"Pada peringkat permulaan ini, beta akan mengurniakan lebih kurang 350 buah buku terlebih dahulu dan selebihnya akan Beta kurniakan secara berperingkat-peringkat sehingga selesai keseluruhannya pada selewat-lewatnya bulan Mac 2012." titah baginda Sultan.

Baginda Sultan juga menyeru kepada kerajaan negeri supaya memberikan peruntukan yang mencukupi kepada perpustakaan itu.

"Beta juga menyeru kepada pihak swasta, perbadanan syarikat berkaitan kerajaan, tokoh-tokoh korporat dan individu agar dapat memberikan sumbangan bagi membantu perpustakaan meningkatkan koleksi buku dan bahan-bahan rujukan," titah Sultan Sharafuddin.

Turut dihadiri dalam perasmian Perpustakaan Tun Uda Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Saf-saf Exco Selangor Dr Halimah Ali, Dr Yaakob Sapari, Teresa Kok, Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar.

Sementara itu, Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan Dr Halimah Ali dalam ucapannya berkata perpustakaan itu sedang dalam proses menubuhkan yayasan yang akan dinamakan Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda.

" Fungsi Yayasan ini bagi mengurus dan mentadbir sumbangan dan derma yang diterima bagi pembangunan koleksi dan prasarana perpustakaan," kata Dr Halimah.

Ujarnya lagi, Perpustakaan Raja Tun Uda mula dibuka kepada orang ramai pada 22 Julai lalu, dan sehingga 30 November telah menerima pengunjung seramai 140,071 orang, pendaftaran keahlian baru 8,446 dan pinjaman bahan berjumlah 25,796.
Bangunan yang setinggi enam tingkat itu berkeluasan 203,000 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,500 orang serta 400,000 naskah pada satu-satu masa.
Kos bangunan Perpustakaan ini berjumlah RM60 juta dan kos rekabentuk dan prasarana dalaman berjumlah RM10 juta.


Editor :Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI