Saturday, January 22, 2011

Saman Ekor Sebelum Pindaan Akta Baru Pengangkutan Patut Dibatal- KASE



KUALA LUMPUR 22 JAN : Pindaan Akta Pengangkutan Jalan di parlimen baru-baru ini sepatutnya menyebabkan saman ekor yang dikeluarkan polis sebelum terbatal kerana prosedur mengenai saman ini masih belum wujud sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) Datuk Mahfuz Omar menyatakan pindaan baru ini membincangkan mengenai hal teknikaliti seperti isu rakaman imej dan pelaksanaan sistem kamera untuk mengeluarkan notis saman dianggap bercanggah kerana ia hanya wujud selepas akta itu dipinda dan bakal dikuatkuasa mulai Februari ini.

"Bagi kami, bila akta pengangkutan jalan dipinda, sesuatu harus dibuat oleh kerajaan dengan adil terhadap 15 juta saman tertunggak lalu. Kerana berasaskan pindaan ini, saman yang dikeluarkan Polis sebelum ini tidak mengikut prosedur undang-undang. Jadi pada pandangan KASE, 15 juta saman itu perlu di'write off.

"Pindaan Undang-undang yang dibuat baru-baru ini, baru memasukkan rakaman imej sebagai bukti di mahkamah. Ertinya dalam 15 juta saman yang dikeluarkan sebelum ini rakaman imej tidak boleh digunakan di mahkamah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Saman ekor ialah saman melalui pos yang dirujuk oleh Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga PDRM bermaksud notis kepada pemilik kenderaan di bawah seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Saman ekor ini juga hanya dikeluarkan oleh PDRM ke atas kesalahan memandu melebihi had laju sahaja.

Selain itu juga pindaan undang-undang baru itu juga masih mengekalkan saman ekor dan senarai hitam yang sememangnya dibantah rakyat.

Pada 15 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, yang antara lain akan membolehkan pendaftaran kereta elektrik, pelaksanaan AES bagi membanteras pemanduan berbahaya, dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD).

Bagaimanapun tiada keputusan dibuat mengenai Saman Ekor yang dikeluarkan sebelum ini dan Kerajaan masih bertegas untuk menyenarai hitamkan nama mereka yang tidak menjelaskan saman selepas 28 Februari ini.

Dalam sidang Parlimen 29 November lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusof menyatakan sebanyak 15 juta saman ekor telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan di negara ini.

Mahfuz turut kecewa dengan tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Hussein tidak mengendahkan dan tidak menjawab surat permohonan perjumpaan antara beliau di pejabatnya sejak 29 Disember lalu bagi menyelesaikan masalah mengenai saman ekor yang dikeluarkan polis sebelum ini.

Hishammudin gagal menjawab atau membalas permohonan Mahfuz dan KASE untuk bertemunya 17 Januari lalu tanpa sebarang alasan.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI