Saturday, January 22, 2011

Kami Bersama calon DUN Tenang


LABIS, 22 Jan: Jentera Pilihan Raya Wanita Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang diyakini sudah memahami bidang tugas masing-masing dan mampu melaksanakan tugas mereka bagi memenangkan calon PAS, Normala Sudirman.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, jentera wanita Pakatan Rakyat sudah banyak belajar daripada 13 pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini.

"Muslimat kita akan sentiasa bertenang, tidak mudah termakan dengan provokasi pihak lawan kerana pilihan raya ini bukan suatu yang baru. Ini pilihan raya yang keempat belas selepas pilihan raya umum lalu.

"Diharapkan daripada pelancaran ini dapat menaikkan semangat petugas-petugas kita.

"Daripada ekspresi wajah wanita-wanita yang hadir tadi, nampak mereka ada keazaman yang kuat untuk bekerja bagi memenangkan calon kita di Dun Tenang ini," katanya ketika ditemui selepas himpunan dan pelancaran jentera wanita Pakatan Rakyat Dun Tenang petang semalam.

Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan juga berharap proses penamaan calon hari ini berjalan lancar dan wanita dapat hadir sebagai tanda sokongan kepada calon dan parti.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mempersendakan peribadi calon PAS, Nuridah berkata amat malang apabila seorang bekas menteri yang rapat dengan Umno masih tidak memahami budaya orang Islam.

"Amat malanglah seorang bekas menteri seperti dia yang sudah-sudah bertahun berhadapan dengan orang Melayu, berkawan dengan Umno tapi masih tak memahami budaya dan amalan orang Islam. Memang patutlah dia tak jadi menteri lagi," katanya.

Sebaliknya kata Nuridah, DAP lebih memahami ajaran Islam dan bersungguh-sungguh membantu PAS memberikan penerangan kepada orang bukan Islam mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan dalam Islam.

"Sepanjang saya bersama-sama dengan Cikgu Mala, memang ada di kalangan lelaki bukan Islam nak bersalam dengan beliau.

"Tapi kita memberitahu mereka dengan cara baik dan kita sangat berterima kasih kepada DAP yang bersama-sama kita, mereka terus memberikan penerangan kepada orang bukan Islam.

"Kerjasama daripada DAP sangat bagus. Jadi sebenarnya dia (Soi Lek) tak ada isu nak mainkan, dia mainkan isu ini," katanya.

Soi Lek sebelum ini mempersendakan Normala dengan menyamakan beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah yang memakai sarung tangan dan tidak bersalam dengan bukan mahram.

Soi Lek turut mengandaikan Normala tidak akan pergi ke rumah ibadat bukan Islam dan bertemu dengan masyarakat bukan Islam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pelancaran jentera wanita itu sebagai momentum untuk mereka bergerak lebih aktif lagi ke setiap unit peti undi bagi memastikan PAS memenangi pilihan raya kecil ini.

"Kita buat pelancaran ini petang ini sebagai momentum kepada jentera bahawa kita sedang menuju semboyan pilihan raya dan esok kita akan bergerak ke seluruh unit peti undi, melakukan tugas kempen," katanya.

Beliau berkata, calon PAS sangat berpotensi untuk menang namun harus dibantu secara bersungguh-sungguh oleh jentera wanita.

"Kita sudah aturkan gerak kerja di setiap uni peti undi tinggal lagi proses pemurnian.

"Kita lihat calon kita sangat berpotensi di kawasan ini sebab itu kita mahukan jentera wanita bergerak dengan seluruh kekuatan yang ada," katanya.

Beliau turut mengajak wanita Umno memberikan sokongan kepada Normala untuk menambah bilangan ahli wanita di Dun Johor.

"Kita hanya ada dua orang wanita di Dun Johor. Jadi kita minta puteri dan wanita Umno menyokong calon muslimat PAS untuk menambah suara wanita di Dun.

"Usahlah terlampau berkira soal perbezaan politik asalkan kita boleh memperbanyak suara wanita," katanya.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI