Thursday, December 16, 2010

Kenyataan Akhbar Lebuhraya Besraya di Pandan Indah : Cadangan baru untuk merobohkan rumah-rumah di Taman Bakti akan dibantah Kerajaan Negeri Selangor.

Kenyataan Media

17 Hb Disember 2010

Lebuhraya Besraya di Pandan Indah : Cadangan baru untuk merobohkan rumah-rumah di Taman Bakti akan dibantah Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor tidak akan bersetuju sebarang cadangan baru untuk merobohkan 80 buah rumah di Taman Bakti, Ampang bagi membina Lebuhraya Besraya yang baru dari Sg. Besi ke Pandan Indah.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah membentangkan cadangan alternatif yang tidak melibatkan perobohan rumah di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 25 November 2010. Sebelum itu saya dan penduduk tempatan telah membantah cadangan asal yang melibatkan perobohan rumah.

Cadangan asal itu telah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di Selangor. Walau bagaimanapun, kerajaan sekarang telah mengarahkan LLM membentangkan cadangan alternatif kepada MTES.

Oleh itu, setelah cadangan alternatif dipersetujui, kerajaan negeri tidak akan bersetuju jika LLM mahu lebuhraya itu dibina menurut cadangan asal yang akan merobohkan rumah-rumah penduduk.

Saya difahamkan Menteri Kerja Raya akan melawat Taman Bakti esok maka oleh itu saya hendak mengingatkan beliau agar tidak akan mengubah laluan lebuhraya yang telah dipersetujui di antara kerajaan negeri sekarang dan LLM pada mesyuarat MTES itu.

Y.B. Tuan Iskandar Abdul Samad

EXCO / Pengerusi Jawatankuasa Tetap

Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan

Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI