Wednesday, September 22, 2010

Hormati Waktu Azan

Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud : "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apapun semasa azan berkumandang.

Sebagai orang Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya.Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri.... mengapa azan kita tidak boleh mendiamkan diri....!!!Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak.

Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba.... maka kita tidak dapat mengucapkan kalimah "Lailahaillallah..." yang mana sesiapa yg dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya dicabut... Allah dengan izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan,... dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu walaupun nyawa sedang dicabut.

"Ya ... Allah, anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah Laillahaillallah......semasa sakaratul maut menghampiri kami...... amin..amin.. aminYarobbal a'lamin..

KELEBIHAN AZAN

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sesungguhnya seruan azan itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihannya. Imam Nawawi Rahimahullah pernah berkata bahawa azan itu mempunyai empat hikmah iaitu :

Pertama : Untuk menzahirkan tanda Islam dan Kalimah Tauhid.

Kedua : Untuk memberitahu tanda masuk waktu sembahyang.

Ketiga : Untuk memberitahu tempat sembahyang.

Keempat : Untuk memanggil berjemaah.

Selain daripada itu, laungan azan mempunyai banyak kelebihan-kelebihan antaranya ialah laungan azan itu dapat mengusir syaitan sebagaimana disebutkan dalam hadis maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata : Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Dalam pada itu, azan juga boleh digunakan untuk mengubati orang yang sedang dalam kerasukan dan menghindarkan mereka daripada kejahatan jin, begitu juga sunat mengazankan orang yang buruk sifatnya sama ada daripada manusia atau binatang dan orang yang resah gelisah kerana azan itu boleh menghilangkan keresahan itu.

Sunat melaungkan azan ketika menghadapi kebakaran atau untuk orang yang hendak musafir atau untuk anak damit yang baru lahir supaya anak damit itu tidak akan diganggu oleh Ummu Syibbyan iaitu daripada kalangan jin.

Perlu diketahui juga bahawa waktu atau masa di antara azan dan iqamah merupakan di antara saat-saat mustajab di mana doa diperkenankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh kerana itu kita disunatkan untuk berdoa pada ketika itu seperti memohon selamat daripada musibah dan penyakit. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Annas bin Malik katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Doa tidak ditolak antara azan dan iqamah. Mereka berkata : Apakah yang kami katakan wahai Rasulullah? Baginda bersabda : Kamu memohon kepada Allah afiat (keselamatan) di dunia dan di akhirat". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi).

Islam telah mengajar kita cara-cara untuk menghormati azan, antaranya ialah jika kita mendengar seruan azan atau iqamah sedang dilaungkan, maka sunat kita berhenti sekejap untuk menjawab seruan azan, bukan dengan mengambil sikap sambil lewa dan tidak acuh seperti tidak memperdulikan seruan azan yang dilaungkan, seolah-olah tidak mendengarnya apatah lagi untuk menyahut seruan azan tersebut.

Disunatkan juga muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya dengan tujuan untuk meninggikan suara. muazzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan. Orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.

Doa selepas Azan

Setelah selesai azan, Doa berikut adalah sunat dibaca oleh muazzin dan penganut Muslim lain yang mendengar azan:Wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan.(Allahumma rabba hadhi-hid da'wa-tit-tamma wa-salatil qae-ma)

اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمةBerikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan(Ati muhammadanil wasilata wal fadeela)آت محمداً الوسيلة و الفضيلةSerta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya(Wab ath-hu maqamam-mahmuda-nil ladhi wa at-ta)وابعثه مقاماً محموداً الذي وعدتهAzan itu hendaklah dilakukan dengan Tertib dan Muwalat di antara lafaz azan dan Iqamat.

Agama Islam sendiri telah mengajar bahawa jika seseorang itu mendengar azan atau iqamah, walaupun ketika itu dia sedang membaca Al-Qur'an, berzikir, menuntut ilmu atau berdoa, maka sunat bagi orang itu berhenti sekejap untuk menjawab azan atau iqamah. Sunat juga menjawab azan dan iqamah walaupun dalam keadaan berhadas, junub, haid atau nifas kerana ianya adalah zikir, melainkan ketika dalam sembahyang fardu atau sunat, bersetubuh dan qada' hajat (buang air kecil atau besar) namun sunat dijawab kemudian jika tidak lama jaraknya.

Ini jelas kepada kita sedangkan ketika beramal ibadat juga kita disunatkan menjawab azan, maka apatah lagi ketika berbuat perkara-perkara yang lain seperti sedang berbual-bual, menonton televisyen, bersukan dan sebagainya, bukankah lebih utama baginya untuk berhenti seketika bagi mendengar dan menjawab azan yang sedang dilaungkan?.

Dalam perkara ini juga terdapat suatu keadaan yang tidak menyenangkan berlaku di mana terdapat sebilangan orang yang seolah-olah tidak mendengar seruan azan apabila ia dikumandangkan, baik ketika berada di dalam masjid atau berdekatan masjid atau di mana saja ia berada.

Begitu juga keadaan di pasar-pasar raya khususnya yang berdekatan dengan masjid, pada masa seruan azan dilaungkan, ketika itulah juga lagu-lagu nyanyian dan muzik dimainkan tanpa diberhentikan.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara Islam dan selaku umat Islam, kita hendaklah menghormati azan sebagaimana yang telah diajarkan oleh agama kita. Akhirnya, ingatlah wahai saudara-saudara sekalian bahawa kita sepatutnya tidak mengabaikan ajaran agama Islam.

Mudah-mudahan dengan mengamalkan apa yang diajarkan itu, kita akan menjadi Muslim yang benar-benar beriman dan seterusnya mendapat kejayaan dalam kehidupan serta rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Juma'ah ayat 9 tafsirnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segerakanlah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan Sembahyang Jumaat dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya".

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI