Thursday, October 1, 2009

Jangan jadikan OSA ‘jaket kalis peluru’

PAS meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak menggunakan jaket kalis peluru iaitu Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk melindungi penyelewengan dalam projek Zon Bebas Cukai Perlabuhan Klang (PKFZ).Sehubungan itu, Najib diminta agar menyiasat kes penyelewengan itu secara telus dan bukan bertindak ke atas mereka yang mendedahkannya.



Demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Yusof Embong, Baru-baru ini sebuah portal berita dalam talian, Malaysia Today yang di bawah kendalian Raja Petra Kamarudin telah mendedahkan dalam laman webnya sebuah dokumen kertas kabinet setebal 18 muka surat berupa memorandum daripada Menteri Kewangan berhubung dengan skandal PKFZ.

Memorandum ini dikeluarkan dengan nombor rujukan KK/BPKA/D5(Y)/540/1/1, bertarikh 22 Jun 2007 dan diklasifikasikan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Akibat dari pendedahan ini, Perdana Menteri Najib Tun Razak dalam reaksi balasnya telah mengarahkan polis membuat siasatan dan jika benar dokumen itu adalah kertas kabinet yang tulen maka mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah OSA.

Ketua Polis Negara, Musa Hassan pula dalam kenyataannya berkata akan memanggil beberapa individu termasuk tokoh tertentu bagi membantu siasatan kes pendedahan kertas kabinet tersebut.

Mengulas perkembangan ini, Yusof berkata, jika benar kertas kabinet yang didedahkan Malaysia Today itu adalah tulen, jelas wujudnya unsur penyelewengan dan salah laku yang membabitkan pemimpin dari parti pemerintah.

Raja Petra terpaksa bersembunyi untuk mendedahkan segala kebejatan ini. Andaikata tiada siapa pun berani ke hadapan membuat pendedahan semata-mata kerana takutkan OSA, maka berbilion wang rakyat dan harta negara berisiko untuk diseleweng sesuka hati tanpa diketahui sesiapa pun, ujar Yusof.

Yusof mencabar Najib supaya menunjukkan sikap yang jelas terhadap penyelewengan yang telah berlaku dalam skandal PKFZ.

Untuk itu, Yusof menyeru kerajaan yang dikuasai Barisan Nasional pimpinan Najib supaya tidak menggunakan OSA bagi menyembunyikan salah laku dan penyelewengan wang kerajaan membabitkan pemimpin politik seperti yang berlaku dalam isu PKFZ ini.

PAS juga, jelas Yusof mendesak kerajaan yang diteraju Najib tidak selamanya menjadikan OSA sebagai jaket kalis peluru buat melindungi pemimpin-pemimpin tertentu dari diheret ke muka pengadilan akibat dari penyelewengan.

Skandal PKFZ telah menjadi minat awam, kerana sebagaimana diterangkan oleh Yusof yang kos perlaksanaannya telah meningkat dengan begitu tinggi dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI