Melihat kepada nama program yang dipilih, Kapsul bermaksud suatu pemberian atau sumbangan yang diberikan kepada pesakit untuk meringankan beban kesusahan yang dialami mereka. Jika dalam bidang perubatan, kapsul berperanan sebagai ubat, begitulah dalam bidang kebajikan. Harapan Nisa’ Gombak agar sedikit sumbangan dalam bentuk material dan spiritual ini dapat menjadi ‘ubat’ mengembalikan kegembiraan dan meringankan kesusahan mereka.
Selain itu, program ini menggalakkan para kakitangan seperti doktor, jururawat dan pentadbir hospital untuk turut sama mencakna persekitaran yang positif lalu mewujudkan kuantum motivasi bagi pesakit dan suasana hospital yang harmoni dengan nilai-nilai Islam.Pada perangkaan awalnya, sasaran program ini adalah para pesakit. Kami turut menyambut baik cadangan daripada salah seorang kakitangan agar mendekati golongan unmarried iaitu wanita yang tidak berkahwin tetapi mengandung di luar nikah dan menggugurkan kandungan yang menjadi penghuni hospital.Cadangan itu sangat kreatif dan membuka ruang cabaran dakwah kepada Nisa’ sendiri. Namun apakan daya, pengarah hospital tidak membenarkan pihak kami menganjurkan program kepada pesakit buat masa ini untuk mengelakkan penularan virus H1N1.
Kapsul Ramadhan dimulakan dengan majlis pemberian sumbangan dari Nisa’ kepada penghuni Anjung Kasih. Anjung Kasih adalah pusat penginapan yang menempatkan keluarga pesakit yang kurang kemampuan termasuk mereka yang tinggal jauh dan perlu berulang alik dari rumah dan hospital. Sumbangan telah disampaikan oleh En. Harul Hanan, pegawai Jabatan Kebajikan dan Sosial Hospital Selayang.Program diteruskan dengan majlis berbuka puasa, solat tarawikh dan sesi tazkirah Ramadhan di surau hospital. Sela masa antara Maghrib dan Isyak pula telah dipenuhi dengan majlis perasmian dan ucapan dari Pengarah Hospital Selayang, Dr. Hajjah Siti Zaleha binti Mohd Salleh dan Ketua Nisa’ Gombak, Pn. Arfifah bt. Abdul Sabian.
Ustaz Mohd Hariri bin Haji Mohamad Daud dari PTS Islamika, telah membuka sesi ceramahnya dengan begitu baik sekali. Bertepatan dengan tema program, beliau awalnya memuji tindakan Nisa’ terhadap anjuran program ini, tambahan diadakan dalam bulan Ramadhan.
Selain menerangkan perihal Ramadhan, tetamu Slot Remaja Radio IKIM.FM ini turut menyelitkan motivasi kepada hadirin bahawa setiap inci kehidupan ini terutama khidmat sosial yang dihulurkan kepada pesakit adalah nilaian kebajikan dan Ibadah.Selaku penganjur, Nisa’ Gombak mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak Hospital Selayang atas kerjasama yang diberikan. Harapan kami agar pihak hospital dapat memanjangkan kerjasama untuk program-program susulan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment