Thursday, April 30, 2009

MenCari Ketengan HIDUP



Salam,Tidak dapat kita nafikan manusia sangat memerlukan ketenangan dalam hidup ini. Ada berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa.
Ada di antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan pergi melancong, membeli belah, makan angin, bersukan, mereka seni, melukis, mengambil gambar dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mencari ketenangan dengan ber'blogging'.
Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa dengan beribadah seperti membaca al-Quran, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.Tanpa ketenangan jiwa, manusia akan menghadapi banyak risiko, bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti runsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Bukan hiburan semata-mata dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak supaya tidak terbabas daripada landasan syariat. Jika ketenangan dicari melalui permainan, bersuka-ria, dengan lagu, muzik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya, itu semua hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.

Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta-benda, anak-pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan tiadalah (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan." (Surah al-An'aam [006], ayat 32)Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaa-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Ruum [030], ayat 21).
Dengan adanya ketenangan jiwa, akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah SWT dan melakukan ibadah kepada-Nya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah SWT. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah adz-Dzaariyaat [051], ayat 56)Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh al-Quran yang bermaksud, "Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati." (Surah al-An'am [006], ayat 29).

Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempersonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang mementang kehendak hukum syarak. Apa yang menyedihkan, hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu.

Sifat orang lalai Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan semata-mata.
Sebagai orang Islam, kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan. Al-Quran ada mengingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekkan; merekalah orang-orang yang beroleh azab yang menghinakan." (Surah Luqman [031], ayat 6)
Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah SWT dalam tafsirnya, "(Orang-orang kafir itu adalah) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan gurau-senda (hiburan) yang melalaikan, dan mereka telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya) . Maka pada hari (kiamat) ini, Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan (sebagaimana) mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami." (Surah al-A'raaf [007], ayat 51)Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang, sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas daripada itu.
Hiburan bermaksud mencari ketenangan jiwa, dari itu hanyalah hiburan sejati yang mampu mencapai maksud tersebut.Mencari ketenangan hidup Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra'd [013], ayat 28)
Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah SWT.
Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.
Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat.” (Surah Al-Baqarah [002], ayat 138)
Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah SWT. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran pencipta-Nya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.” (Surah Yunus [010]: 6)Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan.” (Hadis riwayat Muslim)Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah SWT yang tafsirnya, “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” (Surah Az-Zumar [039], ayat 23)Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat- Nya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah (bertawakal) .” (Surah Al-Anfaal [008], ayat 2)Dan firmanNya lagi yang tafsirnya, “Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” (Surah Al-Hajj [022], ayat 35)
Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya, “Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang.” (Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)Semoga kita sentiasa menjaga iman dan rahmat Allah SWT adalah hampir kepada mereka yang sentiasa berserah diri kepada-Nya. Amiin.
Firman Allah SWT :[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Hadis Rasulullah SAW:Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim).. waallahhualam



No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI