Tuesday, July 26, 2011

Rakyat Bantah Biometrik, boleh timbul kekecohan pd pilihanraya

GOMBAK, 26 Julai : Tinjauan yang dibuat Harakahdaily mendapati, orang ramai tidak berapa setuju dengan sistem biometrik untuk pilihan raya akan datang kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah berdasarkan pengalaman penggunaan sistem itu sekarang.

Oleh itu, bagi mereka, penggunaan dakwat pada jari adalah yang terbaik dan telus untuk mempastikan tidak ada pengundian berganda dalam pilihan raya umum nanti.

Bagi mereka, sistem ini canggih tetapi siapakah yang boleh menjamin ketelusannya kerana ia tidak boleh disahkan oleh rakyat biasa dan menghasilkan keraguan.

"Bukan rakyat tidak tahu (Datuk Seri) Najib yang terkenal dengan sikap penipunya, hari ini cakap begitu esok lusa di pusingkan faktanya, rakyat di tipu hidup-hidup," kata Ketua Kampung Changkat, Gombak, Zainal Abidin Abu Bakar. (gambar)

"Sudah pasti semua ada muslihat yang telah dirancang lama oleh Kerajaan dengan mendapat kerjasama SPR," katanya ketika di temui di Taman Gombak.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengkaji sahaja permohonan Bersih 2.0 melalui tuntutan lapan perkara yang mereka kemukakan melalui memorandum.

“Salah satu dari lapan perkara yang dituntut oleh rakyat dalam himpunan Bersih 2.0 yang lalu adalah menggunakan dakwat kekal bukan sistem biometrik. Ini memberi maksud kerajaan memperlekehkan suara rakyat.

“Mengapa susah sangat kerajaan dan SPR untuk memenuhi permintaan himpunan Bersih 2.0 dengan menggunakan dakwat kekal?" tanya beliau.

Bagi beliau, pemimpin Umno bimbang akan kehilangan kuasa mentadbir negara, sebab itu mereka berdolak dalih dengan mengunakan sistem biometrik yang tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat tetapi sebaliknya membazir wang rakyat untuk menanggung kos yang tinggi untuk membeli peralatan tersebut.

"Meskipun sistem tersebut nampak canggih tetapi ianya tidak mendatangkan manfaat bahkan saya yakin berbagai masalah boleh berlaku," kata Zainal.

Beliau juga memberikan contoh kesukaran yang bakal berlaku jika ianya digunakan nanti.

"Contohnya semasa saya bekerja di sebuah syarikat swasta sistem ini digunakan untuk kedatangan pekerja. Semua kakitangan perlu cop jari dengan menggunakan sistem biometrik tetapi terdapat kesukaran untuk membaca data dengan menggunakan cop jari lebih-lebih lagi apabila terdapat kerosakan kepada jari mereka yang bekerja kasar.

"Bagi wanita pula yang sering menggunakan kosmetik jari-jari mereka juga mengalami kerosakan dan sukar untuk dibaca oleh sistem tersebut," katanya.

Beliau juga mengungkit sistem biometrik yang digunakan di bank selalu menghadapi masalah apabila bank tidak boleh membaca cop jari dan cip pada Mykad apatah lagi apabila elektrik terputus bekalan.

"Kita tidak mahu ketika PRU13 nanti keadaan menjadi kelam - kabut akibat pengunaan sistem biometrik ini yang sekaligus akan melambatkan proses pengundian nanti. PM dan SPR sepatutnya harus memikir kesan-kesan penggunaan biometrik, adakah ia sesuai atau tidak di gunakan dalam pilihanraya umum," katanya.

Ketua Kampung Tengah, Edrus Yusof (Gambar kanan) pula berkata, sistem biometrik tidak memberi jaminan tidak wujud pengundi hantu selagi sistem SPR tidak dibersihkan dengan betul dan tulus terlebih dahulu.

Beliau juga mengungkitkan pengumuman bahawa Mykad yang masih banyak tidak diambil oleh rakyat di Jabatan Pendaftaran Negera (JPN).

"Sudah pasti Mykad tersebut boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak yang dapat akses kepadanya dalam PRU akan datang untuk memberi kemenangan kepada pihaknya," kata beliau.

Tentang kos pula, beliau mempertikaikan kenapa biometrik dipilih.

Katanya, pengalaman negara luar termasuk Kanada menyatakan untuk menggunakan kaedah biometrik dalam mengesahkan identiti pengundi semasa pilihanraya akan memerlukan kos yang amat tinggi.

"Perlu ada talian internet yang stabil di tiap tempat mengundi, perlu ada jenerator pembantu, pengimbas dan sebagainya.

"Siapakah yang akan untung besar bila semua sistem biometrik ini dilaksanakan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak? Macamana nak pastikan ada talian internet yang stabil di pedalaman Sarawak yang peti undi pun perlu diangkut guna helikopter?" soal beliau lagi.

"Kita cabar PM dan SPR jika mereka benar-benar tulus maka gunakan dakwat kekal dalam PRU ke 13. Mereka seharusnya mengambil kira suara hati rakyat dengan menggunakan dakwat kekal yang merupakan lebih berkesan, tulus dan dipercayai bukannya biometrik," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti politik dan semua badan NGO serta sekratariat himpunan Bersih 2.0 adakan himpunan Bersih 3.0 jika ia tidak diselesaikan.

Sementara itu, Tan Choon Yong (Gambar kiri) pula melahirkan rasa ragunya kenapa Perdana Menteri Najib terlalu bersungguh mahu laksanakan biometrik.

“Saya nampak PM Najib dan SPR bersungguh betul ingin laksana kaedah biometrik yang lebih canggih dan lebih mahal berbanding dengan celup jari menggunakan dakwat kekal yang sepatutnya lebih mudah dan murah untuk mencegah pengundi hantu. Kalau Mykad rosak macamana? Adakah kita perlu batalkan penggunaan biometrik yang dirancang oleh mereka pada saat akhir?”

Dengan segala masalah yang dijangka ini, beliau yakin pru akan datang penuh dengan kekecohan jika biometrik digunakan.

“Sedangkan kita mahukan suasana pilihanraya yang tenang, aman dan tulus tanpa diragui oleh semua rakyat," katanya ketika di temui di sini.

Saweswathy a/p Suppiah pula mempunyai alasan tersendiri untuk membantah penggunaan biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jari saya sukar untuk bergerak dan mengalami sakit kulit pada jari semenjak dua tahun yang lalu sehingga kini.

“Setiap kali saya ingin berurusan dengan bank yang menggunakan sistem biometrik memerlukan berbulang kali untuk dilakukan bacaan sistem tersebut. Jadi saya berharap pilihanraya nanti PM dan SPR dapat memikirkan masalah rakyat yang kategori OKU juga bagaimana mereka ingin buang undi jika sistem ini digunakan,” katanya ketika di temui di Hospital Kuala Lumpur yang sedang mendapatkan rawatan di sana.


Editor : khaulah Azwar

KOS RM4 Juta Menaiktaraf Townvilla perlu dikaji teliti – Hasan Ali



Sg. Chincin Gombak – Exco Kerajaan Negeri Selangor, Pengerusi Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrasruktur Kemudahan Awam Exco, Datuk Dr Hasan Mohamed telah meminta pihak Kejuruteraan MPS, Osman Idris menyediakan laporan lengkap daripada pihak pemaju mengenai runtuhan tanah yang berlaku di Townvilla 2 bulan lepas yang melibatkan 60 buah rumah dengan mempunyai lebih kurang 300 penduduk disitu.

“Kejadian runtuhan tanah ini berlaku berikutan Kontraktor yang dilantik oleh pihak pemaju terdahulu tidak begitu berpengalaman tentang cerun. Apabila berlaku musim hujan menyebabkan kawasan ini mengalami keruntuhan setinggi 30 m”, katanya.

Beliau mengulas, “ walaupun kejadian runtuhan tanah di Sungai Chincin, Townvilla telah berlaku 2 bulan tetapi ianya telah dibuat kawalan yang cukup rapi dengan mendapat kerjasama oleh MPS, JKR Cerun. Bahkan semua ketua-ketua kampung DUN Gombak Setia dan Penghulu Mukim juga telah memberi kerjasama dengan baik untuk mengawal kawasan tersebut demi menjaga keselamatan penduduk”.

“Kita juga telah berhubung dengan Timbalan Pengarah Negeri JKR cerun bagi mengadakan pertemuan dalam masa terdekat untuk atasi isu ini dengan melihat keadaan infrastruktur dan struktur tanah di kawasan itu kembali”.

Dalam masa yang sama, saya juga telah meminta MPS, Osman agar membuat kajian tentang kos yang bersesuaian termasuk kos pembiayaan konsultan bagi kerja-kerja merangka saluran air dan penempatan semula bagi semua mangsa yang terlibat, Katanya ketika membuat lawatan turun padang bersama MPS, JKR, Ketua Kg dan Penduduk setempat baru – baru ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Gombak Setia mengharapkan satu rangka kerja tetap diadakan oleh MPS dan JKR agar dapat memulihkan keadaan yang lebih baik.

“ Semua kertas kerja ini harus di siapkan dalam masa terdekat dalam tempoh sebulan demi keselamatan penduduk disini”, kata Hasan.

Sehubungan dengan itu, Hasan juga melahirkan rasa terharu kerana mendapat kerjasama oleh tuan tanah Mohd Haris Shamsuddin Kerana membenarkan pihak pemaju menggunakan tanah beliau untuk meletakkan palong agar air mudah mengalir ke sungai.

Tawaran yang diberikan oleh tuan tanah adalah percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran demi memberi keselesaan kepada penduduk disitu.

Hasan juga telah memaklumkan kepada semua yang hadir disitu bahawa katanya, “setakat ini kerajaan negeri tidak pernah menanggung sebarang kos menaiktaraf tanah persendirian tetapi laporan tersebut boleh dihantar pada kerajaan negeri untuk dapatkan pandangan daripada Menteri Besar (MB) Kerajaan Negeri, Tan Sri Khalid mengenai kos yang telah di tetapkan oleh IKRAM sebayak RM4 juta. Kajian ini perlu diteliti dengan terperinci dan perlu mendapat persetujuan daripada semua pihak sebelum membuat sesuatu perkara”.

Beliau juga memberi cadangan yang perlu MPS ambil tindakan iaitu pilihan pertama sekiranya kos tersebut mahal, maka kita serahkan kembali kepada IKRAM untuk perbincangan kos pembinaan. Pilihan kedua sekiranya perlu mencari konsultan lain perlu diperbincangkan kembali kerana urusan perlantikan konsultan dilakukan oleh MPS.

“Justeru itu, untuk atasi masalah ini, insya-allah saya selaku (ADUN) Gombak Setia disini akan membawa usul tersebut dalam mesyuarat MTES dan serahkan kepada UPEN setelah MPS menyediakan laporan yang lengkap. Insya-allah saya akan buat surat sokongan bagi mewakili suara hati penduduk dan sebarang keputusan akan dibuat oleh kerajaan negeri”, katanya.

Sementara itu pula, Unit Kejuruteraan MPS, Osman pula berkata “laporan yang diterima setakat ini oleh pihak pemaju konsultan IKRAM adalah tidak lengkap dan hanya diberi laporan secara menyeluruh sahaja".

"Setakat ini Konsultant IKRAM telah membuat cadangan kertas kerja di peringkat awal dengan menetapkan kos sebanyak RM 4 juta bagi melakukan kerja-kerja menaiktraf. MPS masih belum membuat sebarang keputusan lagi kerana perlu membuat kajian sepenuhnya keatas kerja yang diberikan oleh IKRAM. Manakala JKR cerun pula tidak punyai kuasa penuh untuk membuat sebarang keputusan”.

"Walaubagaimanapun kerja-kerja menaiktaraf kawasan tersebut tetap berjalan seperti biasa dengan mendapat pemantauan keselamatan dari semasa ke semasa oleh pihak MPS, JKR", katanya.


Editor : Khaulah azwar

Sunday, July 24, 2011

ADUN galak Belia terlibat dengan aktiviti yang sihat




Klang : Golongan belia perlu terlibat dengan aktiviti yang sihat bagi mengelak berlakunya gejala sosial yang tidak menguntungkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan Negara, Kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Kerajaan Negeri Selangor ketika merasmikan progam Flag Off Konvoi Motor CROC Rider baru-baru ini.

Saranan ini diberikan kepada semua agar belia membuka mata dan minda seluas-luasnya seandainya mereka terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat apakah kesan yang diperolehi melainkan ianya mengundang kemusnahan masa depan dan menyusahkan keluarga mereka sendiri.

Punca menyebabkan remaja dan belia terlibat dengan aktiviti rempit, pengambilan dadah, merompak adalah disebabkan pengaruh kawan.

Beliau mengulas, “kawan adalah merupakan cermin kepada kita. Setiap orang harus pandai memilih kawan kerana jika salah pilih kawan akan mengheret diri kita sendiri ke lembah kemusnahan. Tetapi jika pilih kawan yang baik, solih insya-allah mereka akan membimbing diri kita ke jalan di redhai Allah SWT dan sekaligus akan membawa kita menjalani aktiviti yang sihat lebih-lebih di hujung minggu”.

Saya percaya belia yang hadir dalam konvoi bermotor har ini adalah pengaruh kawan-kawan mereka untuk mengisi masa lapang dengan melibatkan diri mengikuti program kemasyarakatan. Tahniah dan syabas kepada semua yang hadir ke program ini kerana hujung minggu yang kebanyakkan mereka lebih suka berhibur diluar atau hanya tidur sahaja telah melawan nafsu mereka dengan melibatkan diri ke progam hari ini yang sekaligus ianya mengeratkan silaturrahim sesama insan.

“Tidak salah jika belia atau remaja ingin berhibur atau berlumba motor tetapi biarlah mengikut lunas-lunasnya yang tidak mengundang kemalangan dan akan memberi kesusahan kepada diri sendiri dan keluarga”.

Apa yang kita lihat fenomena hari ini remaja sekolah dan belia begitu ketagih membawa motor dengan tidak mengikut undang-undang Negara yang telah di tetapkan. Ada yang menunggang motor tidak mempunyai lessen memandu, ada yang tidak memakai topi keledar dan sebagainya. Amat merisaukan lebih-lebih lagi mereka memandu sehingga lewat malam membawa anak gadis orang lain tanpa lesen yang membimbangkan ahli keluarga mereka. Jika nasib tidak baik akan melibatkan kehilangan nyawa sedangkan jika mereka tidak terlibat aktiviti rempit sudah pasti usia mereka akan panjang dan boleh memberi manfaat kepada Negara lebin banyak lagi”, kata Halimah.

Justeru itu, bagi menangani masalah gejala sosial daripada terus menular sebagai ADUN Selat Klang di kawasan ini saya menyeru agar remaja dan belia melibatkan diri dengan aktiviti yang sihat bagi melahirkan generasi Idaman Selangor yang beribawa.

Belia adalah aset masa depan Negara dan mereka seharusnya mengamalkan kehidupan yang lebih baik. Jika mereka gagal mencorakkannya apakah mereka mampu membawa negara yang semakin mencabar.

Dengan itu untuk menggalakkan belia menjalani kehidupan yang positf, maka hari ini kita adakan Flag Off Konvoi Motor CROC Riders yang bermula daripada Selat Klang akan menuju ke Hulu Langat tanpa mengira parti.

Semoga aktiviti hari ini memberi kepuasan kepada belia dalam mencari hiburan yang berlandaskan konsep yang betul dan tidak mengundang kemudaratan kepada semua pihak lebih-lebih lagi ahli keluarga mereka. Selepas beriadah kita harap mereka tidak meninggalkan solat yang merupakan tiang agama.

“Berhibur tidak salah tetapi salah pilih hiburan membuat diri jadi bersalah”. katanya.

Editor : Khaulah azwar

Belia digalak melibatkan diri dalam keusahawanan



Pelabuhan Klang – Beliawanis di Negeri Selangor digalakkan mengcuburi diri dalam keusahawanan bagi mempertingkatkan ekonomi diri dan keluarga mereka dengan meyertai kursus-kurus yang dianjurkan oleh
Briged Amal atau badan NGO untuk melahirkan belia yang kreatif dan
Berjaya.

“kita amat menggalakkan dikalangan belia melibatkan diri dalam keusahawanan disamping itu untuk mengelak mereka daripada terlibat dengan aktiviti yang kurang sihat”, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Y.B Dr Halimah Ali ketika memberi ucapan perasmian penutup program Kursus Kemahiran Sulaman Manik Siri 1 baru-baru ini yang diadakan di Dewan Masjid As Saadah, Bandar SultanSuleiman Klang.

Menurutnya, belia harus tahu apakah dia Briged Amal dan fungsinya.

Briged Amal adalah sebuah organisasi yang bersifat kemasyarakatan dan sukarelawan yang ditubuhkan bagi membantu ADUN dan Ahli Parlimen bagi merealisasikan aspirasi dan agenda Mesra Berkebajikan untuk membantu menjayakan semua program yang dilaksanakan.

Beliau yang juga merupakan penasihat Briged berkata, “ Visi penubuhan ini adalah bagi membentuk masyarakat yang prihatin mesra danberkebajikan bagi membantu rakyat tanpa mengira parti”.

Keahlian untuk menjadi ahli Briged Amal adalah percuma dan terbuka kepada semua peringkat umur, agama, bangsa, kaum, fahaman politik dan gender.

Selain memberi khidmat kepada masyarakat, Briged Amal juga banyak mengadakan program-program ilmiah, kem motivasi bersama pelajar, remaja sekolah dan beliawanis bagi membentuk dan melahirkan Generasi Idaman Selangor yang beribawa.

Pada hari ini Briged Amal Selangor telah berusaha untuk mengadakan kursus yang amat bermakna untuk memberi peluang kepada beliamelibatkan diri dalam kursus sulaman. Bakat yang sediada kepada semua belia yang hadir hari ini harus diasahkan dan perlu mengembangkan kemahiran yang ada dalam diri dari semasa ke semasa dengan mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan.

Bagi membantu rakyat Selangor terutamanya dikalangan belia, maka kerajaan negeri memberi peluang kepada semua rakyat Selangor untuk melibatkan diri mereka dalam perniagaan.

Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan penganguran dikalangan belia dan untuk menaiktaraf ekonomi rakyat Selangor yang berpendapatan rendah dan fakir miskin agar mereka mampu menjadi seorang usahawan
yang berjaya dengan membuka perniagaan kecil-kecilan dan seterusnya jika mereka Berjaya pasti perniagaan ini akan terus berkembangkeperingkat global.

Ujarnya lagi, belia tidak perlu risau jika tidak mempunyai wang untuk memulakan perniagaan kerana Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Mikrokredit (MIMBAR) dimana pinjaman yang diberikan adalah sangat
mudah untuk membuat permohanan dan diluluskan dalam masa yang singkat.

“Justeru itu, saya amat menggalakkan golongan beliawanis mengembangkan ekonomi mereka dengan melibatkan diri dalam keusahawanan kerana kemahiran yang di pelajari hari ini adalah sangat berharga kerana jika hendak mengikuti kelas jahitan dan sulaman di institusi sudah pasti menelan kos yang sangat tinggi dan mungkin ramai tidak mampu untuk menyertainya”, katanya.

Halimah juga melahirkan perasaan terharu dan gembira apabila program ini telah mendapat sambutan yang begitu ramai lebih-lebih lagi syarikat fesyen Noriz De Fashion sudi meluangkan masa untuk menjayakan kursus ini untuk menarik beliawanis di DUN Selat Klang agar melibatkan
diri dalam keusahawanan.


Editor : khaulah azwar

Exco Modal Insan Sepakat dengan masyarakat atasi gejala sosial

K.Langat : Bagi menangani masalah gejala sosial di neraga ini, Exco Pembangunan Modal Insan YB Dr Hjh Halimah Ali telah mengadakan satu majlis dialog bersama ketua jabatan-jabatan kerajaan dan agensi penguatkuasaan daerah serta pimpinan masyarakat seperti penghulu dan jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) di Pejabat Daerah Kuala Langat baru-baru ini.

Antara Jabatan Kerajaan dan Agensi penguatkuasaan yang terlibat adalah seperti Pejabat Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Langat, Polis Di-Raja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Daerah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kuala Langat, Pejabat Agama Islam Daerah, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Daerah.

Dr Halimah berkata, “tujuan diadakan Majlis Dialog ini untuk membincangkan secara menyeluruh dan holistik berkenaan masalah gejala sosial yang terdapat di dalam daerah Kuala Langat”.

“perlu ada perbincangan dua hala antara penglibatan jabatan kerajaan dan agensi penguatkuasaan untuk duduk bersama dalam menjayakan agenda kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar gejala sosial di dalam daerah Kuala Langat".

Di samping itu pimpinan masyarakat dapat mengajukan masalah anak muda yang berlaku di dalam kawasan masing-masing dan memperoleh input bagaimana pencegahan dan penguatkuasaan dapat dilakukan secara bersama".


Beliau juga menegaskan, Kerajaan Negeri Selangor begitu komited dan mengambil serius soal gejala sosial terutamanya muda mudi di negeri Selangor, walaupun Ketua Polis Negeri dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini menyatakan kadar jenayah di Selangor menunjukkan penurunan akan tetapi ia perlu sentiasa dipantau secara berterusan oleh semua lapisan pimpinan masyarakat, katanya.

Editor : khaulah azwar

Kerajaan Negeri Bantu belia Selangor cari kerja


Kuala Langat : Karnival Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) Siri 8 sekali lagi diadakan di Dataran Morib, Kuala Langat baru –baru ini untuk memberi peluang kepada rakyat Selangor khususnya kepada semua belia yang baru lepasan universiti untuk mengikuti Kempen Jom Kerja.

Antara aktiviti yang mendapat tumpuan belia di Karnival ini selama sehari diadakan ialah ‘walk-in interview’. Jom Kerja merupakan program di bawah pengurusan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan yang dipengerusikan oleh YB Dr Hajah Halimah Ali.

Menurut Halimah, tujuan diadakan Kempen Jom Kerja adalah untuk memberi ruang kepada belia dan remaja yang menganggur dan tiada pekerjaan untuk mengisi kekosongan tenaga kerja di syarikat dan kilang-kilang swasta di Selangor.

Kerajaan negeri Selangor Pakatan rakyat (PR) menyedari hakikat bahawa masih banyak peluang pekerjaan di Selangor dalam sektor swasta dan perkilangan yang memerlukan tenaga kerja yang banyak akan tetapi kebanyakannya diisi oleh tenaga kerja warga asing, manakala kadar belia menganggur sangat ramai.

Oleh itu bagi menangani pengangguran di Malaysia khususnya di negeri Selangor, kerajaan negeri telah melaksanakan program seumpama ini denga tujuan untuk mengajak belia mencari kerja dan mengcuburi berbagai bidang tanpa mensia-siakan masa depan dan tenaga mereka yang masih kuat untuk menjana ekonomi negeri yang pesat ini.

Beliau mengulas, Kempen Jom Kerja telah dilaksanakan dan diperkenalkan hampir semua daerah di seluruh Selangor sejak pada tahun 2009.

Semenjak diperkenalkan Kempen ini, Penyertaan belia yang hadir memohon pekerjaan adalah kira-kira seramai 200 orang. Kebanyakan belia yang ditemui berkata mereka berpuas hati dengan kempen jom kerja seumpama ini yang dapat memberi kemudahan dan pilihan kepada belia yang sudah tamat pengajian dan juga belia yang menganggur mencari pekerjaan yang menjamin masa depan mereka.

Sebanyak sembilan syarikat swasta dan pengusaha kilang dalam Selangor yang terlibat di dalam temuduga terbuka secara langsung dengan kerjasama daripada Selangor State Investment Centre (SSIC). Antaranya ialah Western Digital (M) Sdn. Bhd., KL Airport Services Sdn.Bhd., Golden Palm Tree Rsort & Spa-Sepang Goldcoast Sdn. Bhd., Megasteel Sdn. bhd., Kolej MCS, Chemi-con (Malaysia) Sdn. Bhd., Significant Technologies Sdn. bhd., Trolli Master Sdn. bhd., dan Mettube Sdn. Bhd, katanya selepas majlis peramian karnval tersebut yang telah diadakan baru-baru ini.



Editor : Khaulah Azwar

Peserta Kem Bina Semangat disaran pertingkatkan potensi diri “Dr Shafie”

Kuala Kubu Baru : Kerajaan Negeri begitu serius mengadakan program Bina Insan untuk semua pelajar dan belia bagi melaksanakan polisi bina Insan (SPIES) iaitu Spritual, Physical, Intelectual, Emotional dan Sosial untuk melahirkan Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang beribawa bebas daripada masalah gejala sosial.

Seramai 107 orang pelajar yang berumur 17thn telah mengikuti Kem Bina Semangat yang diadakan baru – baru ini selama 2 hari satu malam yang telah dirasmi penutup oleh Y.B Dr Shaife Abu Bakar. Semua peserta yang mengikuti progam ini terdiri daripada kawasan Bangi seramai 53 orang dan dari kawasan Kota Damansara seramai 54 orang.

Berkata Dr Shafie, “program yang di adakan ini adalah daripada Program Kerajaan Negeri Selangor yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi. Pembangunan Modal Insan, Y.b Dr Halimah Ali”.

Objektif Kem Motivasi adalah bertujuan mendidik hati semua pelajar untuk mengenali diri dan Tuhan dengan lebih mendalam lagi, memaksimumkan keupayaan diri yang dianugerahkan oleh Tuhan, memahami kepentingan kesihatan dalam kehidupan, meningkatkan daya pemikiran kreatif secara berterusan dan Mengaplikasikan konsep 5M dalam kehidupan.

“saya merakamkan tahniah buat semua peserta yang telah mengikuti Kem Motivasi SPIES”.

“Semua peserta yang telah mengikuti kem ini membuat pilihan yang tepat untuk mengisi masa cuti sekolah dengan kegiatan berguna bagi peningkatan potensi yang melibatkan individu dan generasi manusia. Peningkatan potensi diri ialah dengan menggilat fakulti akal, kalbu dan rohani manusia dan jangan terjebak dengan taraf nafsu”.

Setiap orang perlu mengenali potensi diri dan meningkatkan potensi ini kepada peringkat maksimum. Melalui potensi akal memungkinkan seseorang boleh menjadi pemikir dan pemimpin, melalui fakulti kalbu memungkinkan seseorang menjadi sasterawan, seniman, arkitek yang berjaya dan melalui Fakulti rohani memungkinkan seseorang menjadi ulama, ahli rohani dan sebagainya.

“Kita hendaklah berusaha dan menjauhi dari meletakkan diri pada tahaf nafsu yang boleh menjatuhkan diri pada lembah kehinaan dan kedurjanaan. Perjuangan dan kejayaan individu yang diwarisi adalah menjadi dokumentasi peradaban dan tamadun yang memajukan manusia”, kata Shafie.

Beliau juga mengharapkan agar semua pelajar mempertingkatkan potensi diri untuk bagi memberi sumbangan kepada masyarakat sekaligus.

Sementara itu, Zaid Muhammad bin Mohd Rais, Pelaksana Program (Pengerusi Pusat Pengajian Al-Quran Sistem Individu) Merangkap Konsultan SPIES merakamkan terima kasih kepada ADUN Bangi kerana sudi bersama meluangkan waktu bagi menjayakan program ini.

“Kita merasa terharu atas kerjasama yang diberikan oleh ADUN Bangi kerana sudi menghadirkan diri bagi penutupan Kem Bina Semangat untuk menjayakan program ini Mengaplikasikan cara hidup sihat, produktif dan sejahtera di kalangan semua peserta”.

Semoga dengan adanya program ini semua peserta yang telah diberikan pendedahan mengenai SPIES yang bertujuan untuk memahami kepentingan hubungan baik sesama manusia dan mempertingkatkan kepedulian sosial dan alam dapat diamalkan dalam kehidupan seharian, katanya.

Turut hadir dalam Kem bina semangat Muhammad Ali Jinnah selaku Pemantau pihak kerajaan Negeri Selangor.

Semua peserta telah diberikan sijil peneyertaan SPIES yang disampaikan oleh ADUN Bangi.

Editor : khaulah azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI