Tuesday, March 17, 2015

Nik Omar Nik Abd Aziz - Mana-mana parti yang keluar Pakatan Akan Rugi



Nik Omar berkata arwah bapanya bekas Mursyidul Am PAS sering menasihati anak-anak supaya mendidik dan bukan melawan apabila menerangkan mengenai agama Islam dan hudud. KOTA BHARU, 17 Mac: Ia mungkin PAS ataupun DAP, tetapi mana-mana parti yang meninggalkan Pakatan Rakyat, maka mereka yang rugi, kata anak sulung Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Omar Nik Abdul Aziz memberitahu The Rakyat Post, menyertai pakatan pembangkang merupakan cara yang paling baik untuk semua komponen parti membantu rakyat tidak kira bangsa, seperti yang diidamkan oleh bapanya. “Arwah bapa saya selalu berkata dengan terus bersama Pakatan Rakyat, ia memberi kita (PAS) peluang untuk membetulkan persepsi orang bukan Islam mengenai Islam. “Ia memberi peluang kepada kita untuk mendidik mereka dan membantu mereka memahami Islam seperti yang kita faham dan bukan yang digambarkan oleh orang luar.

“Begitu juga dengan bekerjasama dengan DAP. Kita boleh belajar mengenai agama dan kepercayaan lain yang diamalkan oleh rakyat Malaysia dan begitu juga sebaliknya.


“Sebab itu sekiranya PAS atau DAP meninggalkan Pakatan, ia adalah kerugian parti itu sendiri.” Katanya undang-undang hudud yang menyebabkan ketegangan dalam Pakatan merupaka satu objektif yang cuba diraih oleh arwah bapanya dan PAS selama 20 tahun dan sekutu PAS mempunyai hak untuk menolaknya tetapi sebagai parti berteraskan agama Islam, melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam merupakan tanggungjawab mereka.

“Mendidik dan bukan lawan. Itu yang sering arwah bapa tekankan kepada kami. “Kita perlu terus menerangkan kepada DAP, orang bukan Islam dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN), bahawa undang-undang hudud hanya untuk orang Islam dan sejak undang-undang manusia gagal menangani masalah jenayah, mungkin sudah tiba masanya kita mencuba sesuatu yang baharu.

“Satu undang-undang yang dicipta oleh Allah adalah sebagai penghalang dan bukan menghukum,” tambah Nik Omar yang ditemui di rumah bekas Menteri Besar itu di Kampung Pulau Melaka, hari ini. Ahli Parlimen DAP termasuk Anthony Loke dan Gobind Singh Deo mengancam untuk menolak parti kerajaan Kelantan itu dari Paktan sekiranya mereka bertegas mahu meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu. Undang-undang itu dikatakan keterlaluan dan ganas juga tidak ‘praktikal dan bertentangan dengan polisi rangka kerja umum Pakatan.’

Butiran terperinci mengenai pindaan undang-undang hudud yang dicadangkan masih belum diketahui umum dan setakat ini, ia hanya dikongsi bersama ahli PR ketika mesyuarat kepimpinan tertinggi minggu lalu di mana PAS dinasihatkan supaya meneliti semula pindaan itu yang disifatkan sebagai undang-undang baru. Komponen ketiga-tiga parti bergabung di bawah satu parti politik dinamakan Barisan Alternatif yang berpecah dua tahun selepas itu pada 2001, di mana DAP keluar dari gabungan kerana dikatakan t6idak bersetuju dengan PAS yang hendak memulakan negeri Islam.

Terdapat banyak pertanyaan sama ada sejarah akan berulang. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan sebelum ini berkata sekiranya DAP tidak bersetuju dengan hudud, ia bebas keluar dari Pakatan kerana PAS tidak akan berganjak dengan keputusan mereka. Nik Omar berkata apapun yang penting sekarang adalah sokongan daripada mereka yang berada di Dewan Undangan Negeri di mana rang undang-undang Hudud akan dibentang. “Kami hanya perlukan sokongan mereka untuk membawa rang undang-undang berkenaan ke Parlimen. “Selepas itu saya dan semua ahli PAS dan penduduk Kelantan berharap kerajaan persekutuan akan menyokong undang-undang ini dan membenarkan ia dilaksanakan di sini,” katanya.  

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI