Sunday, April 7, 2013

MB Selangor Minta PBT Turun Kain Rentang Hina Individu Tempoh Kempen PRU13


SHAH ALAM, 8 APR : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor  menurunkan kain rentang yang berunsur menghina dan menjatuhkan maruah seseorang semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
 Beliau berkata, PBT juga perlu memastikan tiada perbuatan menurunkan bendera parti politik kecuali jika ia dipasang di tempat yang tidak selamat.
Menurut Khalid, mana-mana kain rentang dan papan iklan yang dipasang di bahu jalan yang mengganggu pengguna jalan raya juga hendaklah dialih ke tempat sesuai.
“Penting untuk kedua-dua pihak memastikan tiada insiden yang boleh menjurus kepada pergaduhan antara penyokong parti politik.
“Justeru, pemimpin dan penyokong mesti menjaga etika dan sentiasa mengutamakan keharmonian.
Jelasnya lagi “sebagai salah seorang pemimpin yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya kali ini, saya mahu PRU-13 diingati sebagai pilihan raya penentu masa hadapan.
“Bukannya paling kotor sehingga memalukan kita dan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Parlimen dibubarkan berkuatkuasa 3 April lalu, bagi membuka jalan untuk pilihanraya ke-13.
Dewan Negeri Selangor (DNS) juga dibubarkan secara rasminya pada 4 April apabila Warkah Pembubaran ditandatangani oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di hadapan Menteri Besar serta Ahli-Ahli Dewan Diraja.

Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI