Tuesday, February 19, 2013

Beli undi: SPRM halalkan tindakan BN




KUALA LUMPUR: Biarpun kempen pilihan raya umum belum bermula, Bersih 2.0 mendapati terdapat parti-parti politik yang mula melakukan kempen secara terang-terangan.

Perbuatan tersebut, menurut Bersih, merupakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, tegas koordinatornya, Maria Chin Abdullah, hari ini.

Bercakap pada sidang media di Dewan Himpunan Cina, Maria berkata pihaknya menerima aduan daripada rakyat tentang surat-surat dan bendera-bendera dengan logo parti yang menggesa mereka mengundi parti dan calon tertentu.

"Malah, ada yang turut menjanjikan pemberian kewangan dan lain-lain faedah sebagai tukaran undi. Tindakan ini memerlukan perhatian serius daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tambah Maria, pihaknya sebelum ini mendapati salah satu salah laku yang dilaporkan kepada Bersih merupakan satu bendera parti politik dikibarkan di Jambatan Permas Jaya, Johor Bharu.

Pada bendera tersebut, tegas Maria jelas kelihatan logo dan lambang parti, selain perkataan 'Undilah Barisan Nasional'.

Katanya, jika bendera parti itu hanya meletakkan lambang atau logo parti semata-mata, ia tidak menjadi masalah, sebaliknya kata-kata 'undilah' itu menjurus kepada kempen pilihan raya.

Maria turut menyelar kenyataan SPRM, yang disifatkannya sebagai mengelirukan pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, itu dipetik berkata 'sekiranya motif memberi wang atau hdiah oleh clon, ejen atau penyokong kepada pengundi itu adalah untuk meraih kemenangan untuk parti politik tertentu, maka ia bukan satu kesalahan'.

Menurut Maria, laras bahasa akta jelas, semua perbuatan ini merupakan kesalahan, tidak kira siapa melakukannya dan siapa yang mendapat manfaat apabila perbuatan itu dilakukan dengan tujuan mempengaruhi undi sesiapa.

"Justeru, amatlah mengecewakan apabila SPRM seolah-olah memberi laluan percuma kepada parti-parti politik untuk membeli undi dan mengamalkan rasuah," tegas Maria.

Sehubungan itu, Bersih menyeru orang ramai untuk terus menyumbangkn peranan sebagai pemantau pilihan raya bagi melaporkan segala salah laku yang dilakukan mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya.

Bersih 2.0, bersama Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) dan Pusat Komas melancarkan Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) yang berperanan memerhati proses pilihn raya, bagi menghalang dan mengurangkan usaha-usaha penipuan dan salah laku semasa pilihan raya.

Bagi rakyat Malaysia yang berminat menjadi sukarelawan Pemantau, bolehlah mendaftar di www.pru13.info.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI