Thursday, November 15, 2012

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor Kecam Kerajaan Pusat Tukar Penjawat Awam khususnya di negeri Selangor

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak profesional Kerajaan Pusat yang telah menggunakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melakukan pertukaran penjawat awam khususnya di negeri Selangor secara mengejut dan terburu-buru.
 
Terbaru adalah kes Datuk Zainal Abidin A’ala, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), yang telah diarahkan bertukar secara serta merta ke Institut Tadbir Negara (Intan) bermula hari ini.

Sebelum ini kes pertukaran Pegawai Kewangan Negeri Selangor dan  Datuk Bandar Petaling Jaya juga mengalami situasi yang sama.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata pihaknya berasa kesal dan mempersoalkan motif sebenar tindakan  pertukaran ini yang mana ianya dilakukan di dalam situasi yang cukup mengejutkan dan terburu-buru serta tidak mendapat pandangan dan maklum balas daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu.

“Isu pertukaran secara mengejut penjawat awam itu telah menjadi tragedi hitam di dalam sejarah hubungan baik di antara kerajaan Negeri Selangor dengan JPA,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, katanya tidak menolak kemungkinan pertukaran itu adalah disebabkan oleh keberanian Datuk Zainal Abidin mempertahankan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Negeri Selangor di dalam isu kondominium di Batu Caves yang diluluskan oleh MPS pada tahun 2007 iaitu semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional  di Selangor.

Turut berada di dalam mesyuarat yang meluluskan projek tersebut adalah Timbalan Menteri Luar sekarang, Kohilan dan tiga orang ahli Majlis daripada MIC.

Hasbullah merangkap Ahli Majlis MPS Zon 13 menambah lagi, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan yang menyatakan bahawa tindakan JPA untuk melakukan pertukaran secara mengejut ini adalah sebagai satu ancaman dan ugutan yang didalangi oleh kerajaan pusat bagi memastikan penjawat-penjawat awam yang bekerja secara jujur, amanah dan berintegriti tidak memberikan sokongan dan dukungan kepada negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

“Kerajaan pusat telah secara tidak langsung mengkhianati dan tidak menghormati prinsip ‘Kerajaan Memerintah Masa Kini (Government Today)’,” katanya lagi.

Oleh itu, ujar beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengajak seluruh penjawat awam di seluruh negara supaya menolak budaya politik ugut dan ancam yang dilakukan oleh kerajaan pusat dengan menolak mereka daripada tampuk pemerintahan negara dengan undi protes terhadap Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Tegasnya, Pakatan Rakyat tidak akan mengamalkan sebarang politik balas dendam sekiranya diberikan peluang untuk memerintah negara ini malah akan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada penjawat-penjawat awam yang berdedikasi dan profesional di dalam melakukan tugasan mereka.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga meminta kerajaan Negeri Selangor supaya mengambil cakna terhadap perkara ini dan mengambail langkah yang sewajarnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri supaya ianya tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI