Thursday, April 26, 2012

Roadshow Bela Nasib Pendidik Bakal Diadakan


Gombak, 27 April : Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat, Normala Sudirman mengumumkan satu badan NGO iaitu Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK)  ditubuhkan bagi membela nasib pendidik seluruh Malaysia yang telah ditindas dan dizalimi oleh kerajaan UMNO-BN semenjak 54 tahun sehingga hari ini.

 
Beliau berkata, “badan NGO ini lebih menjurus ke arah diskusi kalangan warga pendidik yang pernah menjaadi mangsa kezaliman akibat ditukarkan ke sekolah lain sepanjang perkhidmatan tanpa mengikut prosedur yang betul dan bukan ’atas keperluan perkhidmatan’.
 
Contoh mangsa kezaliman adalah suami saya yang telah ditukar tempat mengajar serta merta apabila saya menjadi calon Pilihanraya kecil (PRK)  DUN Tenang.
 
Bukan sahaja menukar tempat suami saya mengajar bahkan bonus kerja suami juga dipotong.
 
Kerajaan Pusat mengambil tindakan yang keterlaluan dengan memberi tekanan kepada saya dan suami.
 
Kes seperti ini bukan hanya kepada suami tetapi ramai di kalangan warga pendidik  telah ditukarkan hanya kerana ’dendam politik’ dan ’tekanan politik’ dari pimpinan UMNO -BN.
 
Justeru, “ insya-Allah dalam masa terdekat ini kita akan adakan “Roadshow NGO pendidik, selain itu suatu ’Himpunan Pendidik  Tertindas’ akan diadakan di lokasi yang sesuai untuk menggerakkan kebangkitan guru di seluruh Malaysia”, kata Normala dalam ceramah Pentas Wanita Gugat BN di Markaz Tarbiyah PAS Pusat malam tadi, disini.
 
Ujarnya lagi,  saya harap usaha murni PAS Pusat membela guru – guru yang teranyai mendapat  sokongan dan kerjasama semua para pendidik .
 
NGO Pendidik  ini akan menangani isu-isu pendidikan negara dengan cara yang profesional dan bijaksana.
 
Selain itu memaksimumkan penerangan, perkhidmatan dan latihan menerusi peranan setiap sekretariat yang telah  diwujudkan.
 
Menurutnya, badan NGO ini akan  menjadi medan dan wasilah warga pendidik dan guru menyuarakan pandangan, pendapat, dan idea untuk membangunkan kecemerlangan pendidikan nasional dalam persada pendidikan negara.
 
Beliau merupakan Mantan Pilihanraya Kecil (N.05) DUN Tenang (PAS) tewas dengan lawannya Azhar Ibrahim (UMNO) pada Januari, 2011 menyeru semua pendidik bangkit hentikan kezaliman UMNO-BN yang sentiasa beri tekanan pada minda mengongkong jiwa pendidik.
 

Katanya, “minda dan jiwa guru dikongkong dengan ’penjajahan alaf baru’ yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak bangsa selama ini”.
 
Ekoran itu, seharusnya semua pendidik menyertai “Roadshow” ini  kerana sudah sampai masa juga  kita menjuarai isu-isu pendidikan negara secara holisitik dan berkesan memandangkan political millage yang bakal diperolehi.
 
Tambah beliau lagi,  sikap kealpaan, kecuaian, pengabaian, campur tangan politik yang berlebihan sama ada dilakukan sengaja atau tidak sengaja, kelemahan perancangan dengan tendensi melakukan perubahan demi perubahan pendidikan kononnya atas  tiket mengangkat pendidikan negara bertaraf dunia telah menjadikan sistem pendidikan negara menjadi caca marba.
 
 Hal ini berasas kerana polisi  'trial and error' dan 'project based' yang diamalkan oleh pemerintah tidak kira berjaya atau sebaliknya sesuatu dasar itu dijalankan telah meninggalkan ’luka’ di hati masyarakat pendidik, ibu-bapa dan rakyat Malaysia umumnya.
 

Antaranya isu PPSMI, Perubahan Status Sekolah Bestari yang akhirnya dijadikan sebagai Pembestarian Sekolah, Pengenalan Semula Dasar Memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Penarikan balik buku teks kajian Komponen Sastera iaitu Novel Interlok Sasterawan Negara Abdullah Hussain kononnya mencemar nama baik sesuatu kaum, dan yang terbaharu pembatalan SBPA sebagai skim gaji baru penjawat awam telah melibatkan kerugian kos berjuta-juta ringgit kerana sikap terburu-buru dalam merancang dan membuat keputusan tentang masa depan pendidikan negara.
 
  Justeru, dengan adanya  Persatuan  (PENDIDIK)   peluang untuk membetulkan keadaan ini telah  dirintis menerusi penubuhan yang diharap mampu menggerakkan momentum memimpin masyarakat guru dan massa untuk mengubah landskap pendidikan tanah air.  
 
 Dalam pada itu, beliau juga mengalu-alukan semua pendidik yang pernah menjadi mangsa ’tekanan politik’ atau ’mangsa  pertukaran akibat dendam politik’ mengikut prosedur yang tidak betul menyalurkan aduan ke alamat email ; aduanpendidik@gmail.com , ujar Normala merupakan Presiden  Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidikan Kebangsaan (PENDIDIK).
 
Hadir sama, Ustazah Salbiah Abdul Wahab, Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat

Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI