Sunday, June 5, 2011

ADUN MERAIKAN 142 ORANG PELAJAR CEMERLANG SPM, STPM, STAM sesi 2010



Gombak –Memberi penganugerahan kepada mereka yang Berjaya setelah berusaha bersungguh-sungguh tanpa jemu merupakan sokongan moral untuk memastikan pencapaian sedemikian akan terus bersinar.

Bagi warga pelajar mungkin ianya satu pengiktirafan yang mampu membakar semangat mereka dalam ranjau perjalanan mengejar cita-cita masa depan.

Penghargaan dan pengiktirafan itu bukanlah sebagai satu kebanggaan tetapi ianya lebih bermakna andai dapat menjadi inspirasi dan transformasi kepada setiap pelajar di sesebuah sekolah untuk sentiasa meningkatkan usaha mengikut jejak rakan pelajar mereka yang telah bertakhta di persada kecemerlangan.

Realiti ini diperakui oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Y.b Datuk Dr Hasan Mohamed Ali melalui ucapan sulungnya ketika menyempurnakan upacara perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Menengah (STAM) 2010 di Dewan Muhibah, Taman Bolton Gombak baru-baru ini.

“Sewajarnya kita harus meraikan kejayaan mereka yang telah berusaha bertungkus-lumus untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi khasnya di bidang akademik. Majlis ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh pelajar yang berjaya mencipta kecemerlangan dan menempah nama dalam bidang kurikulum khasnya dan kokurikulum amnya.

“Kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh pelajar perlu dihargai dan semoga ianya juga akan menjadi inspirasi dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain untuk bersaing menuju ke puncak jaya,” katanya.

Disamping itu, Datuk Hasan juga memaklumkan bantuan-bantuan yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) bagi pelajar-pelajar yang bakal meneruskan pengajian di IPT.

Katanya, “bagi ahli keluarga yang pendapatan rendah RM1500 kebawah, Kerajaan Negeri Selangor (PR) akan memberi sumbangan IPT sebanyak RM1000 dan sekiranya pelajar ingin menyambungkan pengajian ke luar Negara, saya akan memberi sokongan sepenuhnya dengan memberi surat sokongan kepada IPT berkenaan agar kerja pengurusan kemasukan pelajar di permudahkan”.

Ucapan tersebut mendapat tepukan gemuruh daripada semua hadirin yang hadir dalam majlis tersebut.

Majlis yang dilangsungkan di ruang dewan itu bersemarak dengan upacara penyampaian anugerah demi anugerah kepada mereka yang mencipta lakaran kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Penghargaan diberi bermula dengan penyampaian anugerah akademik terbaik dengan menyaksikan penerima anugerah subjek terbaik SPM, STPM dan STAM 2010 tampil dengan wajah gembira dengan menerima Sijil Anugerah Cemerlang dan wang tunai RM100.

Sebagai seorang pemimpin dan tetamu kehormat, Datuk Hasan diberi penghormatan menyerahkan Anugerah tersebut kepada semua Pelajar.

Kegemilangan majlis yang penuh istiadat itu sigifikannya memberi gambaran jelas bahawa warga pendidik dan ibu bapa komited terhadap agenda pendidikan dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab melahirkan modal insan yang berketrampilan yang mampu menghadapi cabaran globalisasi pada masa hadapan.

Bagi pelajar-pelajar pula ianya adalah satu tiupan semangat yang menagih pengertian bahawa sebenarnya langkah kejayaan baru bermula untuk mendaki dan menakluki puncak kejayaan.

Media juga difahamkan oleh Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Gombak Setia, Encik Omar Satari, seramai 142 orang pelajar diraikan dalam majlis tersebut yang di anjurkan oleh (PKM) DUN Gombak Setia. Mereka di berikan Hadiah cenderahati, sijil penganugerah pelajar cemerlang dan wang tunai RM100. Dan majlis itu merupakan program tahunan bagi meraikan pelajar-pelajar di kawasan DUN Gombak Setia.

Editor : khaulah azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI