Thursday, May 26, 2011

Kekalkan Harga Barang, Strategi BN menjelang PRU




SHAH ALAM 26 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kenaikkan harga minyak RON95 serta barang keperluan lain akan bertambah serius sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kuasa pemerintahannya pada pilihan raya Umum ke-13 akan datang yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini.

Ketua Penerangannya, Lee Khai Loon berkata tindakan kerajaan pusat tidak menaikkan harga minyak dan barang keperluan lain hanya strategi politik mereka bagi menghadapi pilihan raya.

Malah katanya, pengumuman tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG dibuat kerana Umno-BN sedar tindakkannya itu hanya akan menyebabkan rakyat menolak parti itu sekali gus kehilangan kuasa pemerintahan di Malaysia.

“Dengan kata lain, jika UMNO-BN terus diberi kuasa atau merampas balik 2/3 majoriti kerusi di Parlimen, maka kecenderungan harga barang naik selepas PRU13 akan bertambah serius.

“Lebih membimbangkan adalah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah ditolak oleh rakyat jelata selama ini akan dilaksanakan semula oleh UMNO-BN sekiranya mereka menang besar dalam PRU13,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Lee Khai Loon, meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tindakan kabinet itu tiada kaitan dengan pilihanraya umum akan datang, namun kerajaan sudah beberapa kali menaikkan harga barang kawalan seperti RON97, tepung, gula dan sebagainya.

Dalam pada itu, AMK turut kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggambarkan subsidi bahan api ibarat ‘candu’ kepada rakyat.

Justeru katanya, polisi kerajaan itu jelas bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan seperti yang selalu diuar-uarkan oleh kerajaan 1 Malaysia.

“Kerajaan telah memotong subsidi yang penting untuk rakyat tetapi langsung tidak menyentuh subsidi berbilion-bilion yang diberi kepada syarikat pengeluar tenaga Bebas (IPP)," ujarnya.

Tambahnya lagi, tindakan kerajaan yang mengabaikan kepentingan rakyat ini telah menyebabkan beban kehidupan harian rakyat yang semakin berat, manakala rungutan dan kemarahan rakyat juga kian bertambah.

“Oleh itu, AMK berpendapat bahawa kenaikan harga barang yang tidak terkawal menunjukkan kerajaan UMNO-BN gagal dalam mengendalikan ekonomi negara dengan cekap.

“Rakyat jangan terpedaya dengan taktik menunda dimana akhirnya akan seperti katak yang dimasak dengan air hangat,’ katanya.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI