Wednesday, January 12, 2011

PM Najib sudah hilang punca

Selepas lebih tiga minggu menjanjikan bahawa Barisan Nasional akan menjawab tawaran 100 hari Pakatan Rakyat, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mampu mengemukakan hujah yang konkrit.

Beliau hanya menghentam Pakatan Rakyat dan mengulangi kecaman yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin Umno bawahan, tanpa mengemukakan kerangka balas apa yang hendak BN tawarkan kepada rakyat.

Dalam amalan demokrasi tulen, apabila ada pihak mengemukakan gagasan, pihak yang tidak setuju, haruslah mengemukakan gagasan balas, supaya rakyat boleh membuat penilaian yang sewajarnya.

Apabila mengemukakan gagasan dan memberikan komitmen bahawa ia mampu melaksanakan janji yang dibuat jika rakyat memberi mandat untuk menerajui negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Tawaran 10 perkara asas yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari Pakatan Rakyat memerintah, dimuatkan dalam Buku Jingga yang diedarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Antara dasar utama yang digariskan dalam Buku Jingga adalah, tekad Pakatan Rakyat untuk memerangi rasuah dan kebocoran yang dilakukan kerajaan BN yang mampu mengembalikan semula pendapatan negara.

PM, Najib Tun Razak memperlihatkan kedangkalan beliau untuk menjawab program 100 hari Pakatan Rakyat secara objektif.

Alasan yang diberikan hanyalah, dengan mendakwa banyak perkara BN tidak boleh diberikan kepada rakyat kerana ia akan memufliskan negara, terutama perkara yang melibatkan bantuan langsung kepada orang ramai.

Alasan kekurangan wang inilah yang menyebabkan Umno-BN begitu jengkel dengan janji-janji Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor dan Pulau Pinang.

Umno-BN cuba untuk memperlekehkan tawaran Pakatan Rakyat kerana bagi mereka tawaran tersebut 'tidak masuk akal', jika hendak dilaksanakan oleh BN.

Berkat kesungguhan dan komitmen pemimpin, Pakatan Rakyat telah membelanjakan kira-kira RM150 juta setiap tahun untuk memberi bantuan kepada rakyat dalam bentuk skim air percuma, bantuan kepada pelajar Universiti, bantuan mikro kredit dan sebagainya di Selangor.

Begitu juga di Pulau Pinang, banyak insentif yang diberikan kepada rakyat, termasuk bayaran tunai untuk warga emas dan sebagainya.

Di Kedah, Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan kutipan hasil negeri, menunjukkan negeri dipacu ke arah yang lebih dinamik daripada zaman Umno-BN.

Masalah bagi Umno-BN ialah kerana mereka tidak mentadbir negara untuk kepentingan keseluruhan rakyat. Mereka hanya mengutama dan mengkayakan para kroni.

Laporan Ketua Audit Negara dengan jelas menunjukkan bahawa, kebocoran di negara ini sangat besar disebabkan rasuah. Rasuah menyebabkan negara kehilangan RM28 bilion setahun.

Dalam subsidi, setiap tahun Petronas membayar RM19 bilion subsidi gas kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang menyebabkan keuntungan berbilion diberikan kepada syarikat kroni berkenaan.

Seperti maklumat yang didedahkan, Petronas membeli gas dari blok Natuna dan JDA pada harga-harga yang jauh lebih tinggi, kemudian menjual kepada jauh lebih rendah dari nilai harga pasaran.

Transaksi ini berjumlah RM19 billion setiap tahun. Jika perkara ini boleh diatasi, maka keuntungan tambahan RM19 bilion yang boleh dijana untuk dibayar balik kepada kerajaan dan rakyat.

Dalam isu tol, kerajaan membayar balik RM4 bilion setahun sebagai pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya, dalam perjanjian yang berat sebelah, memihak kepada kroni.

Pakatan Rakyat mahu menstrukturkan semula perjanjian dengan syarikat konsesi, dan ia percaya dengan mudah wang penjimatan tersebut boleh dipulangkan kepada rakyat.

Dengan menyumbat kebocoran disebabkan rasuah (RM28 bilion), menghapuskan subsidi korporat kepada IPP( RM19 bilion) dan pampasan tol (RM4 bilion), jumlah itu lebih dari mencukupi, untuk melaksanakan janji-janji dalam Buku Jingga.

Pakatan Rakyat yakin, ia mampu melakukan perubahan dan melaksanakan janji kerana Pakatan Rakyat tidak mengamalkan dasar yang dijalankan Umno-BN yang mengutamakan kronisme hingga berlakunya. ketirisan.

Dalam tempoh 100 hari, kita boleh buat apa yang Umno-BN tidak mampu lakukan selama 50 tahun memerintah.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI