Wednesday, March 17, 2010

Polis Israel terus sekat laluan Masjid al-Aqsa


WANITA Palestin berjalan di depan anggota polis Yahudi yang meronda di pintu masuk Kota Lama Baitulmaqdis, kelmarin, dan menghalang akses ke Masjid al-Aqsa. - AFP


BAITULMAQDIS 15 Mac - Polis Israel terus menyekat laluan ke Masjid al-Aqsa, kawasan ketiga paling suci buat umat Islam untuk hari keempat berturut-turut hari ini, di tengah-tengah ketegangan di Baitulmaqdis.

Pihak berkuasa bimbang pertempuran baru akan tercetus berikutan pembukaan rasmi sebuah rumah ibadat di dalam tembok kawasan kota lama, dekat timur Baitulmaqdis.

"Menimbangkan risiko tercetusnya masalah, kami mengekalkan keadaan berjaga-jaga dan terus menyekat akses ke Lembah Suci," kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld.

Sejak Jumaat lalu, lelaki di bawah umur 50 tahun dilarang memasuki kawasan tersebut begitu juga golongan bukan Islam.

Lembah Suci yang menempatkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Quba, merupakan kawasan ketiga suci buat umat Islam selepas Mekah dan Madinah di Arab Saudi.

Polis bertempur dengan penunjuk perasaan di kawasan berkenaan 5 Mac lalu dan kali terakhir Jumaat lepas.

Ketegangan tercetus berikutan pengumuman Israel yang mahu membina 1,600 kediaman baru untuk peneroka haram Yahudi di timur Baitulmaqdis, yang disifatkan penduduk Palestin bakal menjadi ibu negeri Palestin yang baru.

Penduduk Palestin turut merancang untuk mengadakan bantahan selama dua jam di Baitulmaqdis hari ini.

Keputusan untuk membina semula sebuah rumah ibadat purba pada tahun 1694, turut memarakkan lagi ketegangan.

Rumah ibadat tersebut buat kali pertama dimusnahkan oleh pihak berkuasa Uthmaniyyah selepas 21 tahun ia dibina, tetapi dibangunkan semula pada 1864 sebelum musnah pada 1948 dalam pertempuran antara tentera Israel dengan Jordan. - AFP

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI