Thursday, October 15, 2009

Kelab Penyokong PAS akan jadi sayap PAS segera

TASEK GELUGOR, 15 Okt: Kelab Penyokong PAS akan ditingkatkan status sebagai sebuah sayap PAS yang mempunyai perlembagaan mereka sendiri tidak lama lagi.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr.Mujahid Yusof selepas menyampaikan sumbangan sempena sambutan Deepavali kepada penduduk keturunan India di Pokok Machang, Tasek Gelugor.

Isu kedudukan orang bukan Islam khasnya kaum India semakin kritikal sejak kebelakangan ini khasnya selepas PAS kalah teruk di Bagan Pinang.

Ia tambah menarik lagi apabila dikatakan hampir separuh anggota parti baru, Makkal Sakhti, adalah juga anggota Kelab Penyokong PAS.

Menuruk satu sumber, langkah ini mereka ambil kerana merasa tidak selamat dengan kedudukan mereka sekarang di dalam Kelab Penyokong PAS ini.

Menurut Mujahid, status Kelab Penyokong PAS akan ditingkatkan untuk menjadi sayap parti dalam bentuk himpunan, dewan atau pun seumpamanya yang akan diputuskan kelak.

Image

"Dengan status tersebut maka kelab ini dapat memainkan peranan yang lebih efektif lagi. Ianya juga akan mempunyai perlembagaan sendiri, pemilihan pimpinan, struktur organisasi dan perkara yang berkaitan dengan organisasi ini.

"Sebagai Pengerusi saya telah pun membawa perkara ini ke peringkat atasan dan ianya dalam proses 'drafting'.

"Kemungkinan menjelang akhir tahun ini apabila drafnya telah siap maka draf baru ini akan dicadangkan untuk sedikit pindaan supaya kelab ini mempunyai status dalam parti," katanya.

Dalam majlis tersebut sumbangan berupa wang dan beras telah diberikan bagi meringankan beban masyarakat India yang tidak berkemampuan dalam kawasan Tasek Gelugor bagi menyambut sambutan Deepavali.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Dewan Ulama PAS Pulau Pinang, Ustaz Sooid Mohd Amin, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Zulkeply Ishak dan kepimpinan PAS kawasan Tasek Gelugor serta Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang.



No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI