Sebelum ini Umno dikritik teruk termasuk oleh Mahathir apabila Khairi Jamaludin menang jawatan Ketua Pemuda Umno. Menurut Mahathir, Khairi menang kerana rasuah. Akhirnya, Najib mendengar cakap Mahathir dan Khairi dipetisejukkan oleh Umno. Calon yang kalah di tangan Khairi, anak Mahathir dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Namun Najib tidak berupaya mendengar cakap Mahathir untuk PRK Teluk Kemang. Isa dikritik teruk oleh Mahathir dalam isu rasuah. Umno Teluk Kemang pula tetap mahukan Isa. Najib akur juga dan Isa terpilih sebagai calon.
Cakap Mahathir berlalu macam angin sahaja, tidak masuk pun ke telinga orang Umno. Walau pun Mahathir memberi amaran pemilihan Isa bakal menjadikan Umno makin parah, itu tidak diendahkan sedikit pun.
Saya fikir, orang Umno kini tidak pedulikan sangat apa persepsi orang ramai terhadap Umno, apa yang akan jadi kepada Umno, apa kritikan orang kepada Umno. Apa yang mereka pedulikan ialah, apa habuan yang mereka boleh dapat sekiranya 'orang' mereka terpilih dan ada jawatan dalam kerajaan.
Kalau Najib mengharapkan Umno semakin baik dan pulih, Najib seperti mengharapkan gagak berbulu putih. Umno Teluk Kemang yang tetap mahukan Isa membuktikan bahawa usaha Najib untuk memulihkan Umno atau 'memutihkan' parti itu nampaknya tidak bersambut oleh ahli Umno sendiri.
Isa mungkin istimewa bagi orang Bagan Pinang dan Teluk Kemang tetapi dia adalah beban kepada orang Malaysia. Boleh jadi faktor setempat boleh menjadikan Isa menang dalam PRK ini, sekurang-kurangnya membantu mencatat rekod Umno pernah menang dalam PRK di Semenanjung, namun kemenangan Isa itu menghitamkan Umno pada pandangan orang ramai.
Mahathir berputih mata apabila kritikannya tidak berkesan. Najib juga berputih mata apabila terpaksa akur kepada kehendak Umno Teluk Kemang yang tetap mahukan Isa. Muhyidin juga berputih mata apabila dia yang tidak bersetuju dengan Isa, akhirnya mengumumkan Isa sebagai calon.
Untuk pusingan pertama tiga orang kuat Umno sudah berputih mata.
Selepas ini, jika:
- Tentera dibenarkan mengundi seperti orang awam;
- Orang bukan Melayu yang memang sangat kritikal dengan Umno menolak parti itu;
- Orang Umno yang mahukan calon Umno adalah orang yang berintegriti melakukan undi protes;
- Orang PAS, PKR dan DAP semuanya memberikan undi kepada calon PAS;
- Pengundi muda yang lebih bermaklumat dan sangat kritikal dengan Umno tidak mengundi Isa;
- Pengundi atas pagar juga menjadi pengundi yang bermoral dan mengutamakan kewibawaan calon;
Umno pasti akan berputih mata lagi. Tak percaya? Tunggulah...
No comments:
Post a Comment