Thursday, July 2, 2009

Dunia Ibarat Sebuah Pulau Yang Di Singgah

Dunia ini adalah ibarat sebuah kapal layar yang sedang menuju ke sebuah pelabuhan yang aman, iaitu akhirat. Kapal yang sedang dilayari ini tidak diketahui datangnya dari alam mana.

Ditengah-tengah pelayaran, kapal ini berhenti di sebuah pulau bernama "Dunia". Di sini penumpang-penumpangnya berehat sementara bagi mencukupkan sebarang keperluan kecil dalam pelayaran seterusnya ke pelabuhan bahagia.

Rumput-rumput di pulau persinggahan ini terlalu indah, pantainya putih bersih . Sesiapa yang memandang pasti terpesona dengan keindahan dan kenikmatan yang terdapat di pulau ini.

Kapten kapal mengizinkan para penumpangnya turun sebentar untuk beristirehat sambil melihat-lihat. Beliau berpesan, jangan ada daripada mereka yang lalai apabila terdengar isyarat kapal akan meneruskan pelayarannya. Ini kerana bila tiba masa untuk belayar, kapal akan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju mengikut jadual dan masa yang telah ditetapkan.

Semua penumpang pun turun dari kapal dan meninjau-ninjau keindahan dan kecantikan pulau tersebut. Ada sebahagian dari mereka menikmati kenikmatan dan keindahan pulau dengan sebaik yang mungkin dan ada ramai pula yang leka. Sebahagiannya patuh kepada peringatan kapten, tetapi sebahagiannya lalai dan terleka dan mendapati tempatnya dikapal itu telah diduduki orang. Mereka yang ingat kepada arahan kapten, berusaha sebaik munggunakan segala kenikmatan dan keindahan pulau ini. Ada yang mengambil bunga-bunga yang cantik berseri lagi mewangi untuk dibawa belayar bersama. Ada yang mengambil air yang bersih dan jernih sebagai bekalan semasa pelayaran dan ada juga sebahagian dari mereka yang mengambil lampu-lampu yang indah bercahaya untuk menghiasi penginapan mereka sekembali mereka ke kapal. Namun begitu masih terdapat sebahagian besar daripada mereka yangterus leka dan lalai dan lupa bahawa pelayarannya masih jauh. Dia terpengaruh kerana terpesona dengan keindahan pulau yang disinggahinya itu, seolah-olah tiada tempat lain lagi seindah itu. Mereka menikmati makanan-makanan yang enak di pulau tersebut sehingga tidak sedar bahawa masa untuk meneruskan pelayaran hampir tiba. Ada yang sedang leka bermain di tepi pantai yang indah, ada yang sedang leka bemain ditaman-taman yang dihiasi bunga-bunga yang cantik lagi berseri, ada juga di kalangan mereka yangsedang enak menjamu selera sehingga terlupa akan pesanan kapten kapal tadi.

Berkali-kali loceng kapal dibunyikan memanggil penumpang naik ke kapal, tetapi mereka membuat endah tak endah sahaja dengan panggilan itu. Malah ada di kalangan mereka yang terdengar akan loceng peringatan itu tetapi mereka buat tidak endah. Bagi mereka tiada tempat lain yang lebih cantik, indah dan seronok selain pulau ini. ( Dunia). Akhirnya, bila tiba masa seperti yang telah ditetapkan, maka kapal membongkar sauhnya dan belayar menuju alam aman dan bahagia, sedangkan yang lain tinggal di pulau itu.

Apabila mereka telah berjalan dari pangkal ke hujung pulau itu, barulah disedari bahawa pulau itu bukan tempat sebenar yang dituju. Disitu dia dikeliling air, dia menyesal, tetapi penyesalan itu tidak berguna lagi. Kapal telah semakin jauh meninggalkannya. Mereka menangis dan meraung meminta diambil semula.

Orang-orang tiada lagi yang jadi kawan, dan kapal lain tiada lagi yang datang. Sesal bertimpa-timpa, hari bertambah gelap, malam menyerkup suasana. Segala keindahan dan kecantikan di pulau tersebut semakin hilang dari pandangan. Taman-taman yang dihiasi dengan bunga-bunga yang berseri dan harum mewangi kini hilang serinya dan baunya juga bertugar ganti. Tiada lagi haruman, tiada lagi kecantikan dan keindahan untuk dinikmati. Suasana yang indah berseri telah bertukar ganti. Maka berkeliaranlah ular, kala, lipan dan binatang-binatang berbisa keluar dari sarangnya hendak menerkam dan menggigit. Makin lama makin bertambah banyak mengancam. Kini baru mereka sedar bahawa pulau yang dinamakan "dunia" itu tidak membawa kebahagian yang berkekalan. kenikmatan dan keseronokan yang mereka nikmati hanyalah sementara sahaya. Barulah mereka sedar jika mereka patuh pada peringatan kapten kapal tadi sudah tentu mereka tidak akan menghadapi keseksaan di kecam binatang-binatang yang berbisa. Penyesalan yang timbul sudah tiada erti lagi kerana kapal tersebut tidak akan kembali untuk mengambil mereka. Tinggallah mereka yang leka di pulau tersebut dan menghadapi serangan binatang-binatang buas tersebut.

" Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Melainkan bagi mereka yang beriman dan mengerjakan perbuatan yang baik; dan mewasiatkan (mengingatkan) satu sama lain dengan kebenaran serta mewasiatkan satu sama lain supaya berhati teguh (Taqwa).

Al-Ashr

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI