Bina Regu Beribadah {Sebelum tiba 3 bln yg dinantikan mari kita tarbiyahkan diri dengan berpuasa isnin Khamis}
Menyusur Taubat di Bulan Mega
Tanggal 27 Rejab, Nabi s.a.w. diisrak-mikrajkan dan bermulanya penetapan untuk setiap hamba menunaikan ibadah solat lima waktu. Segala yang berkait dengan kesucian zahir dan syarat sah menunaikan solat mula ditekankan secara terperinci. Manakala pada bulan Syaaban berikutnya, Rasulullah s.a.w. mula mendidik umatnya membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah (keji) supaya hati terisi dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji).
Segala kemungkaran dan amalan jahiliah dibanteras sungguh-sungguh dengan tujuan bila hati sudah bersih akan mudahlah jiwa terdorong untuk gigih beribadah, khususnya pada bulan Ramadan yang mulia. Dua minggu menjelang tibanya Ramadan iaitu pada pertengahan Syaaban, berlakunya pertukaran buku amalan.
Hikmahnya buku catatan amalan yang baru diberi pada pertengahan atau nisfu Syaaban dan tidak pada bulan Muharam atau Rabiulawal atau pada bulan-bulan yang lain, kerana Allah mahu setiap hamba-Nya berebut-berebut memperkemaskan amal ibadah dan mempertingkatkan amalan-amalan sunat pada bulan Rejab membawa ke pertengahan Syaaban. Dari situ dapat dimulakan momentum awal bagi menyiapkan diri meningkatkan amal ibadah sepanjang sebulan Ramadan yang bakal menyusul.
Di sini menyaksikan maha kasih, maka penyayangnya Allah kepada kita. Dia mahu buku amalan hamba-hamba-Nya yang akan diangkat ke langit ditutup dengan amalan-amalan baik. Manakala pertukaran lembaran baru juga bermula pada pertengahan Syaaban membawa kepada kemuncak pesta ibadah – Ramadan al-Mubarak tetap diisi dengan amal yang baik-baik. Allah mahu hubungan kita dengan-Nya mahu pun dengan sesama manusia dilipat ganda kerana rahmat-Nya pada bulan itu terlalu banyak.
Sepanjang tiga bulan ‘mega’ ini (Rejab, Syaaban dan Ramadan) Allah buka peluang untuk kita lebih banyak dekat dan bermanja dengannya. Rugilah jika pada bulan Ramadan baru mula hendak membuat perubahan diri, kerana tempoh sebulan adalah sangat singkat. Lagipun tentu sukar untuk meningkatkan amalan secara tiba-tiba dan mendadak sebaik tibanya Ramadan tanpa bersedia lebih awal. Logiknya para pelajar yang ingin berjaya sekurang-kurangnya membuat persediaan tiga bulan sebelum menghadapi peperiksaan. Begitulah sepatutnya kita dalam menyiapkan diri untuk menghadapi Ramadan yang merupakan bulan latihan.
Seru saya pada diri dan pembaca budiman, sempena mengambil keberkatan bulan-bulan yang mulia ini, marilah kita membuat penilaian diri. Bawalah berbincang dengan suami (atau ibu bapa) tentang kehidupan berkeluarga yang telah kita lalui. Wujudkan perbincangan dua hala. Suami bukan pegawai penjara yang hanya menetapkan arah manakala isteri orang tawanan yang hanya akur dan patuh perintah suami. Suami tentunya suka jika isteri dapat menjadi rakan berbincang yang baik, lebih-lebih lagi dalam soal-soal yang bakal menentukan nasib masing-masing di akhirat. Malah lebih elok kalau suami isteri dapat menjadi regu ibadah dan paling baik jika dapat menyertakan anak-anak sekali dalam regu mencari keredhaan Allah ini.
Nilai semula hubungan dengan Tuhan, adakah perintahnya telah dibuat dengan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Prof. Dr. Yusuf Qaradawi pernah berkata, kalau apa-apa berlaku pada diri, suami, isteri, anak-anak dan keluarga, jangan cepat melatah menyalahkan orang lain. Suluh diri kita dulu untuk menilai hubungan kita dengan Tuhan. Apakah masih ada dosa yang belum sungguh-sungguh kita taubat.
Malaikat Jibril pernah memberitahu Rasulullah s.a.w., kalau umat baginda buat dosa walaupun berpuluh tahun tapi bertaubat, Allah tetap akan terima taubatnya jika seseorang itu bersungguh-sungguh. Bertaubat hukumnya wajib. Oleh itu bila sudah datang rasa kesal dalam diri ingin berubah, segeralah bertaubat. Rebutlah keberkatan bulan Syaaban yang sedang kita lalui dan Ramadan yang bakal tiba, carilah guru yang dapat memimpin taubat kita agar memenuhi syarat-syaratnya. Mudah-mudahan taubat kita akan benar-benar diterima.
No comments:
Post a Comment