Tuesday, April 28, 2009

Halalkan Couple ??



HALALKAN COUPLE!! Ya-ALLAH selamatkan adik2ku & umatmu yg sering menjeratkan diri kearah kemaksiatan..Jgn biarkan kami terus membuat dosa:(

Musuh terbesar manusia adalah dirinya sendiri.
Selain daripada nafsu ammarah yang sering menyeru kepada keinginan yang jahat, manusia juga sering terpenjara di dalam paradigma pemikiran sendiri.

Sebagaimana sebiji gelas boleh dilihat separuh kosong atau separuh penuh, demikian jugalah cara manusia menafsirkan apa yang ditonton, dilihat, didengar dan dibaca. Saifulislam.Com bukan halaman perbahasan hukum. Justeru pendekatannya jarang sekali bersifat menghukum.


Banyak artikel mendatangkan nas di hujung diskusi, kerana awal dan pangkal artikel adalah pembetulan cara berfikir agar nas tidak disalah erti. Biar pun jalannya panjang sedikit, tetapi ia adalah satu keperluan.

Sulit sekali mahu menyelesaikan persoalan cinta, pergaulan lelaki dan perempuan dan cabang-cabangnya dengan sekadar memberi kata putus hitam atau putih, yes or no, halal atau haram. Kesulitan bukanlah kerana agama kita miskin definisi tentang apa yang baik apa yang buruk. Tetapi kesulitan itu banyak terdorong oleh gangguan cara berfikir penganutnya. Anjakan paradigma yang amat kritikal keperluannya.
Abu Abdillah al-Nu’man bin Basyir radhiyallaahu ‘anhu berkata, “Saya mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, ‘HALAL itu jelas dan HARAM itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia.


Barangsiapa yang berhati-hati dengan hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila seketul daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah HATI’” [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Saya berdepan dengan DUA cabaran.

CABARAN PERTAMA
Cabaran pertama, saya digasak dengan soalan mengapa terlalu banyak bercakap tentang cinta?
Komen terkini II: daripada aktivis bahasa
Soalan ini, biar pun menyakitkan telinga, saya andaikan sahaja si penyoal terlepas pandang akan statistik penceraian yang menggila. Mungkin juga anak remaja yang dimurtadkan dengan umpan cinta, gadis-gadis kembung perut yang bertali arus masuk ke rumah pemulihan, dan ‘anak sial’ yang memijak kepala ibu sendiri itu semua adalah sekadar masalah sampingan. Tidak terbandinglah isu cinta ini jika diletak di sisi isu politik dan ekonomi negara yang ilmiah dan nampak intelektual membicarakannya.

Dan misionari Kristian yang kaya cinta itu, tersenyum sahaja melihat sibuknya kita dengan isu negara. Pihak kolej yang berani menganjurkan program bertemakan cinta, menerima kehadiran segala jenis manusia dan ia menjadi peluang besar untuk pembetulan-pembetulan dibuat terhadap pandangan dan fikiran hidup mereka.


Bagi kolej yang alergi dengan subjek cinta, dan menganggap ceramah berkaitan dengan cinta hanya akan menggalakkan pelajarnya bercinta, memilih tajuk yang lebih skema, ilmiah dan serius, lalu muka yang sama sahajalah datang menjenguk dewan. Terpulang…

CABARAN KEDUA


Cabaran kedua yang sampai kepada saya adalah berkaitan dengan tafsiran pembaca tentang mesej pokok di dalam tulisan saya berkenaan dengan cinta. Bagi diri saya, sudah semacam ada rasa mangli dengan kesalahan pembaca atau pendengar ceramah saya merakam kefahaman ke kotak fikiran mereka. Lain yang dicakap, lain yang difaham. Lain yang diceramahkan, lain yang mereka catatkan di dinding blog masing-masing. Namun dalam banyak-banyak itu, kenyataan yang satu ini agak mengganggu saya.


“Ustaz Saifulislam.Com kata bercouple itu HALAL!” antara komen yang sampai kepada saya.
“Ustaz Hasrizal tak kisah pun kalau kita bercinta masa di kampus!” komen yang lebih kurang sama.
Mungkin golongan ini hanya faham bahasa HALAL dan HARAM. Mereka tidak faham bahasa FIKIR. Tidak menghargai ruang-ruang yang dibuka agar mereka sendiri dapat melihat keburukan dan kejelikan perbuatan berdua-duaan sebelum hukum putusnya disebut. Tetapi dengan otak robotik yang kaku dalam pemikiran, mereka tidak nampak apa yang cuba saya tegaskan. Malah selesa pula menjadikan SAYA sebagai sandaran untuk mereka berpeleseran!
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sudah pun menjelaskan orientasi Islam terhadap apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang. Sabda baginda: Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata: aku telah mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Perkara yang aku larang kamu daripada melakukannya, hendaklah kamu jauhkan diri daripadanya. Dan perkara yang aku perintahkan kamu lakukan ia, hendaklah kamu laksanakan dengan sepenuh keupayaan kamu. Sesungguhnya umat sebelum kamu telah binasa disebabkan oleh banyakkan persoalan mereka, serta percanggahan ke atas apa yang diajarkan oleh para Nabi yang diutuskan kepada mereka” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Pesanan ini sepatutnya sudah cukup jelas untuk mengajar kita tentang kaedah mendepani perkara-perkara haram dan maksiat. Menyedari akan sedapnya dosa dan teruknya kesan ketagihan terhadap dosa itu, Islam menyuruh kita bukan sekadar mencegah diri dari melakukan maksiat kepada Allah, bahkan MENJAUHKAN diri daripadanya. Justeru apa sahaja yang mendorong kamu kepada maksiat, semua itu harus dihindarkan.
“Setiap sesuatu yang membawa kepada haram adalah haram”

Malah, dalam banyak-banyak maksiat yang ada, maksiat ZINA diberi penegasan yang lebih khusus. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Jangan kamu hampiri zina. Sesungguhnya ia adalah perkara yang keji dan seburuk-buruk jalan kehidupan” [al-Israa' 17: 32]
Bukan setakat JANGAN BERZINA, malah JANGAN HAMPIRI ZINA. Dosa tersedap itu.

Sebelum Allah Subhanahu wa Ta’aala menentukan hukuman ke atas penzina, jalan-jalan ke arahnya sudah diperintahkan terlebih dahulu. Perintah hijab dan bertudung, perintah menundukkan pandangan dan semua cabangnya telah dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kerana mahu menutup jalan kepada zina.
Itu cara Allah sayangkan kamu. Sebelum penzina dihukum, disempitkan dulu jalan kepada zina. Diajar dulu cara hidup yang menjauhkan manusia daripada zina. Saya sekadar memanjangkan cara Allah menonjolkan kasih sayang-Nya itu. Bahawa sebelum hukuman dijatuhkan, jalan-jalan merealisasikannya disediakan terlebih dahulu.

Saya tidak menggunakan pendekatan terus menghukum kerana saya sedar, dalam suasana masyarakat semakin tidak takut kepada ALLAH, hukum hakam yang jelas itu tidaklah begitu diberi perhatian. Lalu saya tegaskan, kesan-kesan dosa bergaul bebas kepada perkahwinan itu sendiri, sebelum kesan MAHA PEDIHNYA di AKHIRAT nanti.

Jika bahasa Akhirat susah untuk difahami, bahasa Dunia juga sepatutnya sudah cukup untuk memahamkan kita tentang bahaya zina.

Justeru di manakah ruang keharusan berpelesaran dan bercintan cintun di luar perkahwinan yang mahu kamu pertahankan? Sesungguhnya semua itu adalah perbuatan yang setiap sendinya mendekatkan kamu kepada ZINA. Tetapi golongan ini tidak mengerti. Disangkanya ruang berfikir yang diberi itu adalah ruang pengecualian.
“Ustaz Hasrizal cool!” katanya.
Jika ada sahaja sesiapa yang kamu temui berkata bahawa pergaulan bebas dan bercouple itu HALAL dan sandarannya ialah USTAZ HASRIZAL atau SAIFULISLAM.COM, ketahuilah bahawa dirinya itu adalah PENDUSTA!

Setelah begitu pengasihnya Allah dan sukanya Dia mengampunkan manusia, masih ada NERAKA tempat menghukum manusia. Kini saya semakin memahaminya.
Dengan nama-Mu ya Allah terimalah segala usahaku untuk menyelamatkan adik-adikku dari jalan durhaka dan maksiat kepada-Mu. Dan janganlah Kau hukum kami atas apa yang dilakukan oleh manusia-manusia bodoh dari kalangan kami, ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com68000 Ampang



No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI