Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus..
Misi utama bagi setiap Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT di setiap penjuru muka bumi ini adalah untuk menegakkan seruan untuk mengtauhidkan Allah SWT. Firman-Nya:
“Sesungguhnya telah Kami utuskan seorang Rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Beribadahlah kepada Allah dan jauhilah taghut.” – al-Nahl (16) : 36 Menurut Imam Malik taghut adalah setiap sesuatu yang disembah selain Allah. Oleh itu adalah menjadi satu perkara yang mustahak bagi setiap umat Islam untuk memahami dengan mendalam makna kalimat tauhid yang sering dilafazkan iaitu La ilaha illallah. Kalimat ini yang juga dikenali sebagai kalimat ikhlas merupakan sebahagian dari rukun Islam yang pertama iaitu mengucap syahadah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.: “Islam itu dibangunkan atas lima perkara, Syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke rumah Allah (Baitullah) dan puasa di bulan Ramadan.” – Hadis riwayat Imam al-BukhariMakna la ilaha illallah adalah “tiada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah S.W.T.”. Ia bukan sekadar menetapkan (ithbat) bahawa Tuhan yang berhak disembah hanyalah Allah tetapi kalimat ini juga menolak (nafi) segala bentuk peribadahan selain daripada Allah.
Firman-Nya: “Demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah adalah Tuhan dan sesungguhnya apa yang mereka sembah selain daripada Allah adalah batil.” – al-Hajj (22) : 62)Walaupun kalimat ini bukanlah merupakan sesuatu yang asing bagi seluruh umat Islam namun tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh-pengaruh amalan syirik masih menebal di dalam masyarakat ini. Kita masih melihat wujudnya kelompok yang melakukan ibadah seperti solat atau tawaf di kuburan para nabi mahupun wali Allah malah kuburan-kuburan tersebut dijadikan perantaraan dalam berdoa untuk sesuatu hajat. Ada juga yang masih mempercayai ramalan-ramalan tukang ramal dan bomoh dalam menentukan arah hidup seharian mereka. Masih wujud juga mereka yang memakai tangkal-tangkal atau mengamalkan jampi-serapah yang syirik bertujuan untuk mengubati sesuatu penyakit.
Terdapat juga kelompok yang menolak hukum-hukum Allah dan mengutamakan hukum ciptaan manusia dalam mentadbir sesebuah masyarakat. Hal ini adalah kerana kalimat tauhid tersebut hanyalah sekadar lafaz dibibir dan tidak dihayati sepenuhnya ke dalam jiwa dan sanubari seseorang insan. Untuk menjadikan kalimat ini berkesan sehingga mampu membasmi pengaruh-pengaruh syirik dalam kehidupan seharian hendaklah setiap umat Islam memahami rukun-rukun serta syarat-syarat yang membelakangi kalimat tersebut.PERTAMA : Ilmu (al-‘Ilm) atau mengetahui makna sebenar kalimat tauhid tersebut. Hendaklah setiap insan ketahui bahawa kalimat ini menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T adalah tuhan yang berhak disembah atau diibadahi. Seluruh sembahan yang lain adalah tertolak. Faktor ilmu ini amat penting sebagai syarat agar kalimat ini dapat meninggalkan kesan yang baik bagi orang yang mengucapkannya. Firman-Nya: “Maka ketahuilah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah” – Muhammad (47) : 19Baginda juga telah bersabda: “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tahu (berilmu) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, nescaya dia akan masuk syurga.” – Hadis Riwayat MuslimKEDUA : Yakin (al-Yaqeen) atau tidak ragu-ragu bahawa Allah S.W.T. adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Sekadar mengetahui tanpa menyakini kebenaran kalimah itu adalah tidak memadai untuk mengeluarkan seseorang dari amalan-amalan yang mencemari akidah. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.” – al-Hujuraat (40) : 15KETIGA : Ikhlas (al-Ikhlaash) atau memurnikan segala bentuk ibadah hanya ditujukan kepada Allah S.W.T. dengan tujuan untuk mencapai keredaannya. Setiap amal ibadah itu hendaklah bebas dari sebarang unsur syirik dan riak. Firman-Nya: “Dan mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) kehidupan beragama dengan jalan yang lurus.” – al-Bayyinah (98) : 5KEEMPAT : Jujur (al-Shiddiq) bermaksud hendaklah seseorang itu mengucapkan kalimah tauhid tersebut dengan sejujurnya. Apa yang dilafazkan melalui lidahnya hendaklah bertepatan dengan isi hatinya dan kemudiannya diterjemahkan melalui amalan sehariannya yang menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T. sahaja adalah Tuhan yang berhak disembah. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah dengan benar dari lubuk hatinya melainkan Allah haramkan dia dari api neraka.” –
Hadis riwayat Imam al-BukhariKELIMA : Cinta (al-Mahabbah) kepada Allah merupakan satu bukti menunjukkan seseorang itu telah diresapi dengan fahaman tauhid yang hakiki. Hendaklah ucapan kalimah tauhid tersebut disertai dengan perasaan cinta yang mendalam kepada Allah S.W.T yang melebihi daripada cinta seseorang itu kepada makhluk-makhluk-Nya yang lain. Firman-Nya: “Di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Tetapi orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah.” – al-Baqarah (2) : 165
KEENAM : Tunduk (al-Inqiyaad) atau patuh terhadap makna kalimat tauhid ini serta segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya berlatar-belakangkan kehendak-kehendak kandungan kalimat tersebut. Sejajar dengan itu hendaklah kita hanya beribadah dan memohon pertolongan hanya kepada Allah S.W.T. serta mematuhi segala perintah-perintah-Nya. Firman-Nya : “Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedangkan dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang teguh.” – Luqman (31) : 22KETUJUH : Menerima (al-Qabuul) segala konsep yang menaungi kalimah tauhid ini iaitu pemurniaan ibadah hanya kepada Allah S.W.T. dan menolak segala sembahan selain daripada-Nya. Segala bentuk ibadah yang ditujukan kepada selain daripada Allah S.W.T. atau dilaksanakan tidak menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh-Nya hendaklah ditolak bahkan ditentang sekeras-kerasnya. Sabda-Nya: “Sesiapa yang mengucapkan La ilaha illallah (tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) dan mengingkari segala yang diibadahi selain Allah, maka hartanya dan darahnya diharamkan (dilindungi), sedangkan perhitungannya menjadi tanggungjawab Allah.” – Hadis riwayat Imam Muslim.
Demikianlah syarat-syarat yang perlu dipatuhi agar kalimah tauhid dapat difahami dengan sebenar-benarnya dan dapat menghindari seseorang itu dari dicemari dengan unsur-unsur syirik dalam kehidupan sehariannya..waallahhhualam..
No comments:
Post a Comment