Friday, December 30, 2011

Harakahdaily pertahan berita, ini transkripnya

KUALA LUMPUR: Harakahdaily mempertahankan berita kenyataan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz semalam mengenai pertemuannya dengan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Sehubungan itu, kami menafikan berita itu diputarbelitkan sebagaimana di dakwa.

Berikut adalah asas kepada berita berkenaan.

Transkrip penuh sidang media Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dengan wartawan di Pantai Irama, Bachok 28 Disember.

Tuan Guru Nik Aziz: Datuk Hassan Ali menarik balik kenyataan-kenyataan dia yang sensitif. Ini tanda kelelakian dia, anak jantan. Kita buat salah, bila kita sedar buat salah, tarik balik, minta maaf. Ini ajaran agama. Bukan senang manusia buat salah nak tarik balik, bukan senang. Tiba-tiba dia ni tarik balik.

Kita ucap syukur, moga ramai lagi orang yang buat salah, tarik balik dan minta maaf.

Wartawan: Dari segi parti sendiri tok guru, terimalah?

Terimalah.

Wartawan: Pertemuan itu di mana Tok Guru?

JKR 10

Wartawan: Ustaz Nasha...

Saya beritahu kelmarin, kalau Datuk Seri Presiden tak buat jemputan macam ini, saya akan buat. Saya suka sangat. Kerana Islam ini, apabila kita dapat nikmat, kita diminta buat jamuan. Macam kita nak kahwin. Apabila kita kahwin, kita buat jamuan nama dia walimatul urus. Bila kita dapat anak, kita buat jamuan lagi nama dia aqiqah. Begitu jugak, bila berlaku macam tu kelmarin, kita buat jamuan, tetapi jamuan kelmarin tu sebagai jamuan tetamu ja. Kalau boleh, saya akan sebut buat jamuan khusus di peringkat pusat. Kita panggil semua kalau boleh. Saya nak minta jugalah pihak parti PAS Pusat buat jamuan, kita pakat-pakat derma lah. Yang ada seringgit bagi seringgit yang ada seribu bagi seribu kerana gembira kita bahawa kekecohan yang berlaku di kalangan kita dah selesai.

Kekecohan ini, ada satu contoh yang diberikan oleh Datuk Presiden kelmarin. Semasa Nabi masuk ke Mekah, orang panggil Fathul Makkah. Ada seorang Sahabat sebut "kalimah Arab" - "Hari ini Hari Perang". Nabi kata tidak, "kalimah Arab" - "Hari ini hari kasihan belas". Maka Nabi ambil bendera di tangan dia, beri kepada anak dia. Denda kerana celupar mulut dia. Jadi kalau orang zaman Nabi pun ada buat kesilapan dan Nabi betulkan cepat-cepat, inikan zaman kita tengah 2000 tahun, maka banyak benda-benda silap.

Wartawan: Tok guru, kedudukan Ustaz Nasha lepas ini, mungkin di Parlimen Bachok macamana Tok Guru?

Parlimen Bachok tu orang Bachok tengoklah.

Wartawan Harakah: Bila dia dah mari minta maaf, maknanya tidak ada peluang lagilah pihak lawan nak gunakan isu sebelum ini?

Ada peluang apa lagi lah...baik.



Thursday, December 29, 2011

Pakatan cat flat RM360 ribu, PM janji RM1.2 juta

GOMBAK, 30 Dis: Kerajaan negeri Selangor berjaya menyelesaikan kerja mengecat semula Flat Samudera dengan kos RM360,000 berbanding janji Perdana Menteri yang memperuntukkan RM1.2 juta untuk projek yang sama.

Sehubungan itu, PAS kawasan Gombak menyelar tindakan Umno Gombak yang masih memanipulasikan isu kerja mengecat semula Flat Samudra.

Salehuddin Mohd Nasir, YDP PAS Kawasan Gombak berkata, PAS Kawasan Gombak merasa hairan terhadap tindakan Umno Gombak yang terus menerus mempolitikan isu ini.

Menurut beliau, isu ini telah pun selesai apabila kerajaan negeri Selangor telah bersetuju memperuntukan sejumlah RM360 ribu untuk tujuan tersebut dalam Majlis Pelancaraan Program Ceria (fasa kedua) baru-baru ini.

Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding dengan jumlah anggaran peruntukan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan beliau ke Gombak tempoh hari, iaitu sejumlah RM1.2 juta.

"Mungkin cat tersebut diimport daripada luar negara untuk membantu rakyat di situ," kata Salehudin (gambar), yang juga seorang penceramah agama terkenal.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk membiayai 80% daripada jumlah RM360 ribu tersebut, manakala baki 20% (RM72 ribu) juga telah diselesai tanpa perlu ditanggung oleh penduduk setempat.

Hasil permufakatan bersama Baki RM72 ribu tersebut telah berjaya diperolehi daripada pelbagai pihak yang terlibat, iaitu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Gombak Setia, Persatuan Penduduk, Ahli Majlis Perbandaran Selayang Zon Gombak, katanya.

"Walaubagaimanapun kita tidak akan menolak sebarang bentuk sumbangan yang ingin dihulurkan oleh penduduk Flat Samudera kearah kebaikan bersama," katanya.

PAS Gombak juga mencabar Umno Gombak untuk turut menyumbang kearah kebaikan penduduk Flat Samudera.

“Sumbangan yang diminta pun jauh lebih kecil daripada wang RM1.2 juta yang Perdana Menteri janjikan," kata Salehudin.

PAS Gombak juga bersyukur kerja-kerja mengecat Flat Samudera dapat di selesaikan dibawah pengurursan kerajaan negeri Selangor setelah hampir 20 tahun tidak dicat semula.

Walaupun baru hampir empat tahun Pakatan Rakyat memerintah tetapi ia dapat diselesaikan berbanding dengan kerajaan sebelum ini, ujarnya.

Siti Fatimah Bashir, 16 tahun saya duduk disini. Berbagai cara kami minta kerajaan untuk membantu mengecat flat samudra. Namun tiada tindakan dibuat. Pandangan flat yang begitu buruk membuatkan penduduk tidak begitu selesa.

Menurutnya, terdapat enam buah blok dengan mempunyai lebih kurang 3000 penduduk tidak puas hati dengan cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjanji untuk memberi peruntukan mengecat rumah tidak menjadi kenyataan.

Tiga bulan sudah berlalu namun tiada sebarang bantuan diberikan kepada penduduk untuk mengecat Flat ini. Janji tersebut merupakan jani kosong PM pada rakyat. Saya mewakili penduduk disini terus mendesak agar PM lunaskan janjinya, katanya.

Azmi Ismail Setiausaha JKP Zon 11, tindakan UMNO Gombak yang memasang kain rentang dengan mewawarkan kepada rakyat Gombak bahawa bantuan mengecat rumah Flat Samudra amat kita kesal dan diselar. Tindakan mereka ini benar-benar mengelirukan rakyat Gombak, dan tidak sepatutnya berlaku.

Suka saya jelaskan bahawa kerajaan negeri Selangor telah memberi bantuan sebanyak RM360 ribu untuk tujuan tersebut dalam Majlis Pelancaraan Program Ceria (fasa kedua) telah dilunaskan.

Kerja mengecat rumah juga telah dijalankan. Usaha murni kerajaan negeri membantu menyelesaikan kemelut penduduk disini amat kita hargai, namun penduduk masih terus menagih janji PM untuk memberi bantuan RM1.2 juta.

Justeru itu, saya cabar Najib untuk melunaskan janji mereka kepada rakyat, kata Azmi kepada media.

Editor :Khaulah Azwar

Isu Hasan Ali Selesai

BACHOK: Isu kontraversi yang melanda PAS melibatkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali dianggap telah selesai dalam keakraban silaturrahim dan harmoni.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS kelmarin dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini dan juga berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini.

"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini.

Kemelut isu tersebut mula berada pada tahap kritikal apabila Dr Hassan membuat ulasan menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal untuk menubuhkan sebuah negara Islam pada 20 Disember lalu.

Tindakan itu bagaimanapun disanggah beberapa kepimpinan tertinggi parti termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan 'Negara Berkebajikan' diputuskan semasa Muktamar tahunan PAS dan disahkan oleh Majlis Syura Ulama.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu bagaimana pun menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mengatakan bahawa konsep 'Negara Berkebajikan' itu adalah tersasar daripada matlamat perjuangan parti.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz.

Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini.

Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung di JKR 10 semalam di mana Hassan dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan tiga pemimpin tertinggi PAS di Kota Bharu.

Dua lagi pemimpin adalah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Dalam perkembangan yang sama, Nik Aziz yakin hikmah disebalik kemelut ini menjadikan jurang perbezaan pendapat dalam parti semakin ditutup rapat dan tidak mungkin untuk Umno menyerang PAS dengan taktik yang sama.


Editor : Khaulah Azwar

Kerajaan negeri sediakan tanah simpan untuk pembinaan sekolah

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan negeri Selangor memiliki beberapa rizab tanah simpanan yang boleh dibangunkan untuk pembinaan sekolah baru di negeri ini.

Dr Xavier Jeyakumar, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kemiskinan, berkata” beberapa pemaju besar di negeri ini memiliki kapisiti tanah yang besar yang boleh dibangunkan Jabatan Pendidikan sebagai kawasan sekolah pada bila-bila masa”.

"Walaupun kita telah menyediakan beberapa tanah untuk pembinaan sekolah di Selangor, malangnya ianya dibiarkan dan pembinaan sekolah kita tidak nampak.

Juteru itu kita, membuat keputusan di mana tanah-tanah sekolah yang dikemukakan pemaju kepada kerajaan negeri dalam pelan-pelan mereka untuk kelulusan daripada perancang bandar negeri, semua tanah itu akan disimpan dibawah pejabat tanah dan galian”.

"Bila Jabatan Pendidikan bersedia untuk membina mana-mana sekolah, kita akan beritahu mereka tanah yang telah disiapkan untuk sekolah," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang merancang pembinaan beberapa sekolah tamil baru seperti Sekolah Tamil Coalfields, Ijok memandangkan terdapat pembangunan pesat di kawasan antara Kuala Lumpur dan Kepong.

Di jangkakan pembinaan akan bermula pada tahun hadapan dan siap dalam tempoh satu tahun setengah, kata Dr Xavier.

Dr Xavier merupakan AhlI Dewan Undangan Negero (ADUN) Sri Andalas, berkata lagi, “Kerajaan negeri sudah memberikan tanah kepada tiga tempat dan telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan untuk pembinaan.

“Antaranya satu di Sentosa (3 ekar), Desa Mentari (1 ½ Ekar) sementara di PJS 1 yang telah diberikan sejak zaman UMNO- BN.

"Kita juga telah membuat semakan status tanah. Tiga jenis sekolah akan dibina di kawasan itu iaitu sekolah kebangsaan, sekolah cina yang sudah dibina, dan sekolah tamil.

"Malangnya dalam tiga tahun setengah ini walaupun kita telah menghubungi pihak Jabatan Pendidikan namun sampai sekarang kita tidak nampak perancangan oleh kerajaan pusat untuk membina sekolah," katanya.

Kesan daripada ini katanya, pihak PIBG sekolah terpaksa mengutip dana untuk membina kelas tambahan dan ini menjadi beban besar kepada mereka.

Sementara itu, Dr Xavier berharap agar projek pembinaan SRJK(T) Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam dapat disiapkan lebih awal pada Februari 2012 memandangkan jangkaan asal projek ini bakal siap pada Mac 2012.

"Saya teruja melihat perkembangngan projek ini memandangkan sebelum ini khususnya sekolah tamil, tidak ada sekolah tamil dibina dengan kelengkapan sepenuhnya

Saya di maklumkan tarikh akhir yang telah diberikan kepada MBSA ialah pertengahan bulan Mac.

"Tapi saya minta pihak kontraktor untuk mempercepatkan proses penyerahan pada bulan Februari sebab kita ada perancangan untuk mengadakan perasmian pembukaan yang akan dilakukan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya.

Sekolah ini memiliki 24 buah kelas, satu dewan besar yang boleh memuatkan 130 buah meja, makmal sains, bilik guru dan beberapa infrastruktur lain.

Tambah beliau lagi, kawasan permainan akan dinaiktaraf di kawasan ini memandangkan pembinanan sekolah ini menggunakan sedikit ruang kawasan yang menempatkan tapak permainan untuk penduduk setempat.

Kerajaan negeri memberikan peruntukan pembinaan sekolah sebanyak RM3 juta sementara pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah turut mengadakan kutipan dana untuk menampung perbelanjaan.

Tanah ini juga akan diwartakan kepada nama sekolah setelah ianya siap sepenuhnya, kata Dr Xavier ketika lawatan turun padang semalam untuk projek pembinaan sekolah di Shah Alam.

Editor : Khaulah Azwar

Nurul Izzah Nafi Surat Layang beracun


KUALA LUMPUR 29 Dis: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan kandungan satu surat layang beracun yang sedang tersebar dalam internet sekarang.

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa dakwaan dalam surat tersebut adalah palsu dan tidak benar," kata Nurul dalam satu kenyataan ringkasnya hari ini.

Nurul dipercayai mengulas satu surat beracun (email) yang diedarkan kepada ahli-ahli PKR yang mendakwa beliau yang kononnya saya sedang memujuk Datuk Zaid Ibrahim menyertai PKR semula.

Dalam surat itu, Nurul dikatakan berjanji kepada Zaid untuk diberikan kerusi parlimen Petaling Jaya Selatan.

Ekoran itu, surat itu mengajak ahli PKR membantah tindakan Nurul Izzah itu.

Pagi tadi, Datuk Zaid Ibrahim menafikan beliau bertemu dan berbincang dengan Nurul Izzah sebagaimana yang didakwa surat itu.

“Saya tidak tahu apa-apa tentang dakwaan ini sebab sejak meninggal PKR, saya tidak berhubung langsung dengan Nurul (Izzah Anwar) ke, Anwar (Ibrahim) ke atau pun Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah).

“Jadi jangan kaitkan saya, dia orang kena selesaikan lah sendiri masalah mereka,” kata Datuk Zaid Ibrahim kepada laman web The Malaysian Insider.

Nurul dalam kenyataannya hari ini juga meminta semua rakyat Malaysia jangan melayan surat itu.

"Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk menumpu segala usaha demi merealisasikan Malaysia yang lebih baik," katanya.

Editor : khaulah Azwar

Tuesday, December 27, 2011

Najib Gagal jawab isu ETP

K.Lumpur : Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gagal menjawab persoalan utama mengenai Debunking ETP, Widening Income Gap yang di lontarkan pada 15 Disember 2011 yang lalu.

ETP adalah kaedah yang sedang dilaksanakan kerajaan Pusat, Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme) merupakan suatu kebijakan ekonomi lapuk dan gagal membawa sebarang perubahan.

Beliau mengulas, menjelang tahun 2020, sekitar 7 hingga 8.3 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan bakal digolongkan sebagai miskin bandar.

Jumlah ini merangkumi sehingga 51% tenaga kerja negara ini dalam tahun 2020, berbanding 56% bagi tahun 2009. Angka itu menunjukkan selepas berbilion ringgit dibelanjakan, hanya penambahbaikan yang tidak seberapa, katanya kepada media apabila ditanya mengenai isu ETP, dalam majlis perkahwinan anak perempuannya Nurul Ilham Anwar dengan pasangannya Mohd Reza Mohd Rafie dikediamannya Segambut Dalam pada 24 Dis, 2011.

Menurut Anwar, program ekonomi ETP, tidak berjaya meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak malah menambah bilangan rakyat termiskin adalah perancangan ekonomi yang tempang dan membelakangkan kebajikan rakyat.

Apatah lagi apabila hujah saya dikemukakan dengan mengambil kira unjuran-unjuran ETP meragukan.

Misalnya unjuran pertumbuhan upah 3.6% setiap tahun, dari tahun 2010 sehingga tahun 2020 yang bertentangan dengan pertumbuhan upah pekerja tahun 2000 hingga 2009 yang hanya menokok sekitar 2.6% setiap tahun manakala kos sara hidup meningkat mengatasi pertumbuhan upah.

Kenyataan ini diperkukuhkan oleh Kajian Pasaran Buruh 2009 yang melibatkan 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja. Laporan tersebut menyatakan 33.8% dari jumlah pekerja tersebut mendapat upah kurang dari RM 700 sebulan. Angka ini sekiranya diunjurkan kepada keseluruhan tenaga kerja negara menyimpulkan 34% dari jumlah keseluruhan tenaga kerja negara berada di bawah paras kemiskinan. Justeru berdasarkan fakta-fakta ini, unjuran pertumbuhan upah pada paras 3.6% adalah tidak tepat.

Manakala itu unjuran kerajaan bahawa inflasi akan berada pada paras 2.8% setiap tahun sehingga tahun 2020 juga tidak realistik apabila kadar inflasi sejak 12 bulan lalu sentiasa melangkaui paras 3%. Sasaran untuk mencapai pendapatan kasar kebangsaan (gross national income) per kapita sebanyak RM 48,000 setahun pada tahun 2020 tidak akan dicapai sekiranya inflasi melebihi dari 2.8% untuk tahun mendatang.

Jika inflasi purata sehingga tahun 2020 mencecah 4% setiap tahun, dianggarkan seramai 7.6 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan dalam tahun 2020, meningkat sebanyak 1 juta berbanding jumlah 6.6 juta dalam tahun 2009.

Keadaan ini lebih parah sekiranya inflasi purata mencecah 6% setiap tahun bila mana jumlah rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan adalah 8.3 juta orang. Persoalan utama ini wajar dijawab dengan berkesan oleh Perdana Menteri sendiri, kata Anwar.

Persoalan paling utama yang langsung tidak dijawab adalah kesimpulan saya bahawa kekayaan negara akan semakin dibolot golongan kaya di bawah ETP sementara rakyat terbanyak dipinggirkan.

Ujarnya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib langsung tidak menafikan analisa saya bahawa nisbah upah pekerja kepada pendapatan kasar negara akan berkurangan dari 40% (tahun 2009) kepada 33% sahaja (tahun 2020). Walhal, ini merupakan permasalahan utama di negara kita, manakala golongan kecil, keluarga dan kroni mengaut kekayaan, sementara majoriti rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang melonjak sedangkan pendapatan tidak meningkat.

Persoalan-persoalan ini adalah isu besar ekonomi negara apabila pentadbiran sedia ada menyalurkan seluruh kekayaan negara untuk membiayai projek-projek besar di bawah ETP.

Malang sekali apabila kesannya kepada rakyat adalah menambah golongan miskin dan melebarkan jurang di antara yang miskin dan kaya menjelang tahun 2020 nanti, katanya.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama isterinya Salbiah Tunut, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussain.

Editor : Khaulah Azwar

Monday, December 26, 2011

Pendidikan Islam di Negeri Selangor perlu diperkukuhkan

Bangi : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, melihat Persidangan Antarabangsa Pendidikan Islam Ke-2 (ICIEd2011) sebagai ruang terbaik dan harus digalakkan demi kebaikan sistem pendidikan Islam di peringkat Global.

Jelasnya, kerajaan negeri Selangor mengalu-alukan usaha memperkukuhkan pendidikan Islam di negeri ini dengan menjalinkan kerjasama erat antara semua pihak termasuk pakar pendidikan dan ahli akademik Islam.

"Kita memerlukan kerjasama dari semua pihak dalam bidang pendidikan Islam yang boleh melakukan penyelidikan dan memberi pandangan mereka untuk memperbaiki sistem sedia ada”.

"Inovasi dalam pendidikan Islam perlu dipertingkatkan supaya kita dapat bersaing dengan negara-negara lain dalam membangunkan pengetahuan," katanya ketika merasmikan ICIEd2011 anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Hotel Equatorial Bangi-Putrajaya baru-baru ini.

Abdul Khalid juga meminta semua pihak perlu memainkan peranan yang bersepadu dan menyeluruh untuk memastikan pendidikan Islam boleh menyumbang kepada dunia dalam erti kata sebenar.

Tambahnya lagi, hal ini telah dibuktikan oleh Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali sedang merancang menjadikan Selangor sebagai Hab untuk pengetahuan pendidikan Islam dan juga destinasi pelancongan yang berdasarkan Edu – Pelancongaui melalui konsep Edu-Pelancogan melalui ICIED2011.

Usaha bagi membaiki dan meningkatkan pendidikan Islam juga adalah inisiatif Kerajaan Negeri ke arah mencapai kemajuan dan kualiti pada tahap membanggakan, katanya.

ICIEd2011 bertemakan "Pendidikan Islam : Sumbangan Kepada Dunia" akan mengupas pelbagai persoalan dan isu berkait rapat dengan sejarah dan perkembangan Pendidikan Islam serta sumbangannya kepada dunia.

Melalui perkembangan teknologi komunikasi dan informasi semasa Pendidikan Islam mampu berkembang dan memanfaatkan peranannya khususnya dalam perkembangan tamadun dunia.

Hadir bersama Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali; Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan awam, Datuk Dr Hasan Ali; Rektor KUIS, Datuk Dr Aziuddin Ahmad dan Pengarah Persidangan Antarabangsa Pendidikan Islam, Profesor Dr Ab Halim Tamuri.

Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI