Wednesday, September 16, 2009

Jerit, bantah sekuatnya undi pos di Bagan Pinang

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SEPERTI tahun lepas, sudah ada agenda ziarah pada penghujung Ramadan kali ini, iaitu mengagihkan sumbangan buat keluarga tahanan ISA. Ketika orang Sandakan, Sabah yang menetap sekitar Kuala Lumpur mulai pulang ke kampung halaman untuk beraya, kami turut sama berkunjung ke sana menyampaikan amanah pembaca Harakah yang cukup prihatin.



Di Semenanjung, kami cuba mengesan keluarga yang perlu ditolong, terutama yang tinggal di luar Lembah Klang. Rupanya ramai yang menanggung derita sendiri. Saya membayangkan, kalau operasi tangkapan borong yang baru dilancarkan pemerintah, nasib keluarga yang ditinggalkan terutama dari segi moral, kewangan dan kebajikan, tidaklah begitu buruk. Sekurang-kurangnya ada bantuan asas yang boleh segera dikeluarkan.

Mungkin motivasi luar biasa akhir Ramadan mendorong begitu ramai dermawan ringan tangan menghulur bantuan. Semoga Allah membalas segala ingatan ikhlas kalian dan memberkati rezeki yang diperolehi. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya lega sedikit bebanan keluarga yang dipisahkan secara paksa itu.

Meskipun sudah agak ramai yang dibebaskan dari Kamunting, namun tidak semudah itu untuk bekas tahanan memulakan hidup baru. Justeru, mereka tetap memerlukan sokongan.

Kami faham, ramai bekas tahanan tidak mahu dilihat sebagai menagih ehsan, apatah lagi merintih untuk dikasihani. Namun, di pihak Harakah, menurut rekod, sebahagian besar sumbangan yang kami terima adalah pada masa mereka belum dibebaskan, dan masih dikurung di kem tahanan.

11.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan memberi makna besar dan implikasi penting kepada landskap politik tanahair dan boleh mempengaruhi trend pengundian dalam pilihan raya umum ke-13. Pola pengundian dalam tempoh dua tahun akan datang banyak ditentukan oleh perkembangan politik hari ini.

Rakyat memerhati dengan penuh minat apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat. Bila tiba masanya, mereka akan membuat penghakiman di atas penilaian mereka terhadap prestasi kedua-dua gabungan parti berkenaan.

Era BN akan menang biarpun meletakkan 'tunggul kayu' sudah berakhir. Begitu juga dengan kawasan tradisi kubu kuat pembangkang; ia boleh berubah jika calon dan parti bersikap sambil lewa, mengambil mudah terhadap sokongan selama ini.

Umum maklum bahawa Umno-BN sememangnya akan menggunakan apa jua taktik dan sumbernya yang tidak terbatas itu untuk menang di Bagan Pinang. Momentum kemenangan 7-0 mesti disekat.

Membiarkan Bagan Pinang tumbang bermakna membentangkan karpet merah untuk kemenangan seluruhnya Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan. Jatuhnya Bagan Pinang dapat melorongkan kekalahan Melaka (yang kini Umno di sana berbangga kerana tiada Adun Melayu dalam sidang Dunnya).

Johor yang dulunya pekat dengan Umno, kini sudah cair. Pengundinya makin rapat dengan PAS dan bersikap lebih terbuka. PAS pun sudah ada dua wakilnya di negeri berkenaan.

Sekiranya Pakatan dapat melebar-luaskan pengaruhnya di negeri-negeri di selatan Semenanjung, khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu, dominasi Umno-BN di peringkat pusat automatik akan berakhir.

Apa pun, secara peribadi, saya melihat laluan di Bagan Pinang cukup sukar. Majoriti kemenangan BN sebanyak 2,333 untuk pengundi seramai kira-kira 14,000 orang boleh dianggap besar apatah lagi ia mempunyai lebih kurang 5,000 pengundi pos.

Usah tersilau dengan lakaran bersejarah pada tujuh pilihan raya kecil yang lain. Lain padang lain belalang.

Ketua Umno Telok Kemang, Isa Samad turut mengingatkan, sekali gus memberi amaran, bahawa mereka sudah biasa dengan laut di Port Dickson dan tidak takut dengan ombak. Beliau merujuk kenyataan Anwar Ibrahim yang meramalkan tsunami politik mungkin melanda Bagan Pinang.

Benar, benteng BN Negeri Sembilan hampir dirobohkan dalam pilihan raya lalu, tetapi senario kali ini mungkin jauh berbeza terutama dengan manipulasi undi pos.

Dalam pilihan raya kecil yang menjadi tumpuan ramai, dan dilihat sebagai kayu ukur 'penentu hidup mati Umno-BN', maka dibimbangi pengundi pos yang dahulunya menyokong PAS pun sudah tidak selesa untuk berbuat demikian.

Bukankah di Permatang Pasir baru-baru ini juga timbul 'salah guna' pasukan tentera dalam kempen BN di sana? Harus maklum bahawa Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Naib Presiden Umno, begitu rapat dengan Najib Razak dan sudah pasti cuba sedaya mungkin memperalatkan pihak tentera untuk kepentingan politik dirinya, selain melangsungkan survival partinya.

Saya kira kebimbangan yang disuarakan terhadap undi pos harus diterjemahkan dalam bentuk penentangan yang lebih agresif. Biar rakyat jelas dengan operasi atau mekanisme bagaimana undi pos itu boleh dimanipulasi oleh BN - dan mendapat restu dan kawalan sepenuhnya oleh SPR - hingga menimbulkan simpati kepada Pakatan bahawa 'padang permainan sememangnya tidak sama rata'.

Asakan kepada SPR mesti dilipatgandakan. Borang Lampiran 2 yang mengandungi butiran peribadi pengundi pos termasuk nama, Mykad dan nombor siri kertas undi mesti dimansuhkan, manakala proses bilang undi harus dijalankan sebaik saja pengundian selesai.

Seperti saya tekankan sebelum ini, "pihak Pakatan Rakyat mesti menjerit dan memekik sekuatnya, biar dunia berhenti sekejap untuk meneliti undi pos di Malaysia". _

JAMIL KHIR SEBAGAI MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI UNTUK BACA TALQIN


Confirm Mejer Jeneral (B) Jamil Khir Umno. Kawan lama saya sewaktu di Maktab Mahm
ud Alor Setar. Kemudian beliau belajar di Akademik Islam Universiti Malaya. Dia senior saya 2 tahun. Bapa dan adik beliau Pas totok. Ayah pernah menjadi AJK Pas Kawasan Jerai. Adiknya pula pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Kawasan.

Saya pernah diberitahu oleh Kapten (B) Ustaz Jamsari (Pengarah Unit Amal Pusat), bahawa Jamil Khir ini kaki mengampu dalam KAGAT. Kami yang berfikrah Pas dalam Kagat, cukup menyampah dengan beliau dan mereka beritahu kepada saya memang dia Umno.


Masalahnya biasalah ustaz Umno ini dia jumpa dengan kita tidak mengaku dia sokong Umno. Jamil Khir pernah beritahu kepada saya, orang kampung duduk kata dia akan bertanding atas tiket Umno, orang Umno kata akan bertanding atas tiket Pas. Saya pun kata dekat dia, inilah anta tidak jelas dalam penderian politik. Dan saya beritahu kepada dia jangan cemarkan keluarga anta yang terkenal sebagai orang kuat Pas.

Mungkin PM baru letak beliau sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri untuk lawan kekuatan Pas di Kedah. Beliau berada di kawasan Dato’ Seri Azizan Razak, MB Kedah kubu kuat Pas di Kedah. PRU 13 beliau akan lawan di Parlimen Jerai atau lawan Ustaz Azizan Razak di DUN Sungai Limau.

Tidak tahulah saya apa yang Jamil Khir hendak cari. Tidak cukup lagikah gaji dalam Kagat. Kaya macam mana pun mana boleh makan ikan siakap sekali makan tujuh ekor.

Patut beliau kena fikir semua orang agama dalam Umno macam daun kari sahaja. Waktu hendak bagi gulai bau sedap maka daun kari digunakan. Waktu hendak makan, daun kari ditolak ketepi. Macam itulah nasib ustaz dalam Umno dan saya yakin itulah juga akan menimpa beliau sikit hari lagi. Umno guna waktu dia menjadi seleberiti di kaca TV sahaja. Selepas tidak laku lagi balik kampung bawa mesin padi dekat Yan.

Beliau menyertai cabinet masuk waktu kapal Umno sudah hendak karam yang dipimpin Datuk Seri Najib dan mentolnya Tun Dr Mahathir yang merosakkan seluruh sistem negara selama 22 tahun. Terima jawatan waktu PM yang sampai hari ini tidak berani hendak saman akhbar Perancis yang menuduh beliau dalam kes Antatuya.

Mana pergi tokoh agama dalam Umno di persada politik tanah air. Tokoh-tokoh seperti Dr Hamid Osman, Dr Yusuf Nor, Dr Abdullah Mohd Zin, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Datuk Awang Jabar, Datuk Ikhwan Nasir, Datuk Firdaus Ismail al-Hafiz, Nakhaei Haji Ahmad, Mustafa Taib, Datuk Dasuki, Mohd Nor Idris, Wan Mokhtar, ustazah Sharifah Dora. Tidak ada seorang pun tokoh agama yang dipilih dalam MKT Umno. Semua mereka ini sudah menjadi “kupang tembaga”. Jelas memang orang agama dalam Umno, hanya “boneka Umno” dan “kuda tunggangan Umno”

Eloklah wahai Jamil Khir anta tolong baca talqin bersama dengan Tun Dr Mahathir yang mengiringi Datuk Seri Najib di kubur Umno tidak berapa lama lagi.

Oleh : Utz Idris Ahmad

Umno Parti Islam Apa?

Entah kali keberapa Umno diisytihar sebagai parti Islam, kurang dapat dipastikan. Mahathir pernah mengisytihar Malaysia sebagai negara Islam, maknanya Umno yang perintah Malaysia adalah parti Islam.



Abdullah pernah popular dengan slogan ‘Islam Hadhari’, maknanya Umno ketika itu parti Islam Hadhari. Suatu masa dulu Umno pernah digahkan sebagai parti Islam ketiga terbesar di dunia dan terbesar di Malaysia.

Kini Najib pula kata Umno adalah parti Islam. Buktinya, ayahnya pernah buat Felda, tolong orang miskin dan macam-macam lagi. Oklah tu.

Mengapa pada hari ini, Najib perlu beritahu lagi kepada orang bahawa Umno adalah parti Islam? Tentu kerana Najib percaya bahawa orang tidak percaya Umno adalah parti Islam. Beritahu pula bukan sekali tetapi sudah berkali-kali. Walau sudah berkali-kali pun orang tidak percaya juga, tentu ada masalahnya.

Baguslah kalau Umno jadi parti Islam, tiada masalah apa-apa. Walau pun nama dan perlembagaan Umno tidak menyatakan secara nyata komitmen Islamnya, Umno mungkin boleh kata, “Ah, itu nama sahaja, apa ada pada nama. Yang penting amalan….,” Ok, tak mengapa.

Sebahagian besar orang Umno sendiri pun sebenarnya kurang percaya Umno adalah parti Islam. Mereka masuk dan sokong Umno pun bukan kerana Islamnya tetapi kerana habuan dan fulusnya.

Orang memang tidak pertikai Umno yang jadi kerajaan buat baik. Buat Felda, baik. Tapi, cuba Najib jenguk kembali ke Felda pada hari ini. Apa jadi dengan generasi kedua dan ketiganya? Apa jadi dengan masalah sosial yang membarah di Felda? Pernahkan isu-isu pegangan agama remaja Felda diberi perhatian oleh kerajaan?

Itu masalahnya, Umno yang jadi kerajaan buat baik separuh-separuh atau separuh jalan. Kalau masuk Islam, Umno masuk Islam separuh-separuh atau separuh jalan. Aqad nikah ikut cara Islam, tetapi majlis kendurinya penuh dengan keburukan.

Umno yang jadi kerajaan buat musabaqah al-Quran, itu bagus. Tetapi ditempat yang sama dimana musabaqah dianjurkan, ada pula selepas itu acara-acara lain yang bercanggah dengan al-Quran.

Umno yang jadi kerajaan bagi tanah kepada rakyat, itu bagus. Tetapi masalahnya dalam masa yang sama ada tanah-tanah rakyat yang dirampas dan diambil tanpa pampasan wajar. Bagi tanah memang ikut Islam tetapi ambil dan rampas sebarangan macam mana pula?

Macam mana dengan PKFZ, isu-isu Islam dalam perlembagaan, sikap terhadap Palestin, ISA, isu-isu pendidikan Islam, premis judi dan arak, sikap Umno terhadap golongan anti hadis, sikap Umno terhadap SIS, tidak patuh kepada fatwa dalam isu seperti meletak kalungan bunga dan banyak lagi.

Umno yang jadi kerajaan buat masjid dan surau, tetapi Umno yang jaga kerajaan itu juga yang luluskan lesen judi dan arak.

Kalau Najib kata Umno parti Islam tiada masalah, tapi itulah bentuk Islam yang Umno amalkan. Separuh-separuh, separuh jalan atau serba boleh.

Kalau begitu, Umno parti Islam apa? Parti Islam separuh-separuh, parti Islam separuh jalan atau parti Islam Liberal?

Saya bukan mempersoal keIslaman orang lain, tetapi sekadar untuk beritahu kepada Najib mengenai Islam Umno yang dia laungkan itu.

Lima tahanan ISA dibebaskan menjelang Bagan Pinang

Suami aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Norlaila Othman bersama empat lagi tahanan akan dibebaskan dari kem perlindungan Kamunting, Taiping petang ini.




Dalam pengumumannya di Putrajaya hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kelima-limanya dibebaskan selepas kementerian mendapati mereka menunjukkan pemulihan yang positif dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

NONEMat Sah Mohd Satray bersama empat lagi tahanan Akta Keselematan Dalam Negeri (ISA) itu dituduh terlibat dengan gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Mat Sah
(foto), yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan gerakan Islam itu.

Turut dibebaskan, Dr Abdullah Daud, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang ditahan 3 Jan 2002.

Tiga lagi yang turut dibebaskan: Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah.

Ketiga-tiganya ditahan di kem Kamunting mulai 30 Mei 2007.

Dalam sidang medianya, menurut
Bernama, Hishammuddin menafikan pembebasan mengejut ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada awal bulan depan.

"Pembebasan mereka hari ini untuk memberi mereka peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

"Ia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil Bagan Pinang," beliau dipetik berkata.

Tambahnya, dengan pembebasan itu, kini tinggal sembilan lagi tahanan ISA - empat rakyat Malaysia dan masing-masing seorang warga Bangladesh, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April lepas, beliau mengumumkan pembebasan 19 tahanan ISA.

Manakala pada Mei lepas, seramai 13 tahanan termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf, telah dibebaskan.

Menurut agensi berita itu lagi, terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Persatuan Peguam Syarie mengenai pindaan akta itu.

Beliau dipetik berkata perbincangan menyentuh mengenai ketelusan ISA, tempoh tahanan serta layanan terhadap tahanan.

"Tetapi dalam pertimbangan mengenai keselamatan negara, semua bersetuju bahawa ISA masih lagi diperlukan selagi belum ada akta baru diperkenalkan untuk memansuhkan ISA," kata Hishammuddin lagi.

NONESementara itu, sebagai reaksi segera, Norlaila yang terkejut dengan pembebasan Mat Sah tetap menyatakan kesyukurannya.

"Syukur kepada Allah dan (saya) nak berkongsi rasa gembira ini dengan semua rakyat Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan saya dan GMI," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej SMS.

Beliau yang kini berada di Sabah tidak dimaklumkan lebih awal tentang permbebasan suaminya itu.

Norlaila menambah, beliau berharap akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara tersebut setelah kembali ke Kuala Lumpur malam esok.

Sumber:Malaysiakini

Sunday, September 13, 2009

Tiga nama calon, yakin peluang cerah - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 14 Sept: PAS yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang Negeri Sembilan berdasarkan lonjakan sokongan rakyat dalam tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung dan pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sungguhpun persoalan undi pos menjadi perhatian utama kerana mampu mempengaruhi keputusan, namun ianya tidak semestinya memihak kepada Barisan Nasional (BN) seperti tanggapan umum.

"Undi pos tidak semestinya memihak kepada mereka kerana kita juga pernah mendapat sokongan daripada undi pos ini.

"Cuma yang kita mahu ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telus dalam proses undi pos termasuk membenarkan kempen kepada pengundi pos dan mereka juga boleh hadir sama-sama mendengar kempen kita," katanya.

Sementara itu ketika ditanya calon PAS yang bakal bertanding, beliau memberitahu setakat ini tiga nama calon telah dikemukakan kepada Mesyuarat PAS Pusat untuk dipertimbangkan namun akan mengumumkan satu nama setelah SPR mengisyhtiharkan tarikh penamaan calon.

"PAS negeri (Negeri Sembilan) telah kemukakan nama tiga orang calon yang telah dikenalpasti berpengalaman dan diyakini boleh berkhidmat kepada rakyat. Semuanya adalah anak tempatan.

"Kita akan lawan sesiapa sahaja," jelasnya ketika disoal tentang ciri calon dan spekulasi lawan PAS yang bakal bertanding iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, daripada Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia pada 4 Sept lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, calon PAS, Ramli Ismail memperolehi 4,097 manakala Azman memperolehi Azman 6,430 undi.

Mengenai peluang PAS untuk menang, Ustaz Hadi berkata ianya adalah cerah berikutan momentum kemenangan yang semakin melonjak yang diperolehi parti itu sejak Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

"Pada pilihan raya umum lalu kita hanya kalah dengan kira-kira 2,000 undi sahaja dan berdasarkan momentum kemenangan yang diperolehi menerusi beberapa pilihan raya kecil, peluang untuk menang adalah cerah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Program Semarak dan Semerbak Ramadan PAS di Pejabat Agung Jalan Raja Laut petang semalam.

Program tersebut bertujuan mendekatkan PAS serta menyantuni masyarakat warga kota khususnya penghuni-penghuni lorong gelap - Lorong Haji Taib yang terdiri daripada penagih dadah, golongan gelandangan, maknyah,pekerja seks dan anak-anak mereka, anak-anak yatim, saudara baru dan fakir miskin.

Turut hadir sama dalam program anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyrakatan PAS (LKKPP) ialah pengerusinya sendiri iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Mohammad Nor, Pengarah Program Brig Jen (B) Abdul Ghani Mahludin.

Terdahulu Ustaz Hadi menyampaikan tazkirah Ramadan kepada kira-kira 200 hadirin yang sejak awal jam 2.00 petang telah turut serta menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan antaranya perkhidmatan kesihatan percuma, guaman dan kaunselling.

Ustaz Hadi dalam ucapannya menyeru kelompok masyarakat yang tersasar dan terlibat ke kancah yang tidak diingini khususnya di Lorong Haji Taib dan Chow Kit agar kembali ke pangkal jalan kerana ruang pengampunan yang disediakan oleh Allah SWT sangat luas kepada seiapa sahaja.

"Tidak ada manusia yang tidak ada dosa. Malahan saya sendiri ada dosa. Para Nabi juga pernah buat silap.

"Ini kelemahan manusia, justeru tuhan memberi peluang untuk kita bertaubat dan merahmati. Allah beri peluang supaya kita tidak terlambat. Oleh itu rebutlah peluang itu khususnya di bulan Ramadan ini," katanya yang membuat hadirin, masing-masing pegun dan khusyuk mendengar suntikan semangat daripada Presiden PAS itu.

Tambahnya lagi, apa yang ditentukan baik buruk oleh al-Quran merupakan kata-kata benar daripada pencipta manusia yang mengetahui segala kelemahan dan kelebihan makhluk ciptaan-Nya.

Umpamanya pengharaman tuhan terhadap daging babi kerana mempunyai kesan buruk yang kini telah dipercayai oleh masyarakat dunia tentang kebenaran al-Quran itu apabila terjadinya wabak Selesema Babi yang menular sehingga membawa maut, katanya.

"Bagaimana bijak manusia sekalipun tidak mampun mencipta manusia. Justeru yang mencipta manusia wajib kita taati dan taqwa.

"Kita sama sahaja di sisi Tuhan. Yang dipandang Allah ialah ketaatan dan ketaqwaan seseorang,"katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dan mengakhiri ucapannya kira-kira jam 7.00 malam.

Program yang bermula jam 2.00 petang itu berakhir pada jam 8.30 malam, seusia majlis penyampaian sumbangan PAS kepada hadirin.

Friday, September 11, 2009

Qiammulail Ramadhan Selamat memburu mlm Lailatulqadr

Mungkinkah UMNO terbelit dengan Sentimen Kebangsaan


PolitikNukilan:Penausang

Logiknya, apabila kita diberi petunjuk jelas tentang kehadiran Lailatulqadr - malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan - pada malam-malam ganjil di hari-hari sepuluh terakhir Ramadan, tentu tiada siapa yang akan meremehkannya.


Ya, apa sukarnya untuk menghidupkan malam dengan melakukan ibadah sepenuhnya hanya pada beberapa malam tertentu itu, tetapi ganjarannya cukup luar biasa?

Namun realitinya, insan begitu mudah alpa dan leka, tawaran sehebat mana pun, jika tidak didahului dengan jiwa tauhid yang mantap dan latihan yang konsisten, maka pada saban tahun, segalanya akan berlalu begitu sahaja.

Saya cuba mengingatkan diri yang kerdil ini - berkali-kali - bahawa kita masih belum terlambat untuk merebut tawaran Ilahi itu. Ramadan, bulan di mana nafas orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangi kasturi. Bulan di mana setiap malamnya Allah akan membebaskan seratus ribu orang yang sebelumnya diwajibkan ke atas mereka neraka.

Justeru, penuhkanlah malam dan siangnya dengan al-Quran, istighfar, zikir, taubat, sedekah, solat sunat dan beribadah dengan khusyuk. Sucikanlah hati, mohonlah keampunan seikhlasnya, cantas segala keinginan syahwat, moga-moga Allah menerima amalan kita yang sedikit ini.

II.

Hari Jumaat bulan Ramadan adalah hari baik di bulan yang baik. Tapi pada hari itulah juga sekumpulan penduduk di Shah Alam mengarak kepala seekor lembu sambil melaungkan slogan provokatif dan mempamerkan ungkapan menghina.

Mereka membantah proses pemindahan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 21. Rupanya Ramadan 'tidak cukup' untuk melatih mereka agar bersifat sabar, menundukkan nafsu amarah dan melihat isu kontroversi itu dari gambaran lebih menyeluruh serta terpisah dari sentimen perkauman sempit yang ternyata cuba diapi-apikan pihak tertentu.

Lebih berbahaya apabila tindakan mengusung kepala lembu yang masih berdarah itu boleh ditafsirkan dari sudut penghinaan kepada amalan agama tertentu. Sebenarnya tidak sukar untuk menelah siapa dalang di belakang peristiwa yang sarat dengan agenda politik itu.

Malah jika diteliti perancangan Umno - dengan restu Presidennya, Najib Razak sendiri - untuk merampas kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun, banyak pihak bimbang jika sentimen keagamaan dieksploit semahu mungkin untuk menjayakan misi berkenaan. Umno di negeri termaju itu kian kelemasan selepas bertaraf pembangkang.

Umno sebenarnya dalam keadaan terhimpit. Malah pemimpin dan para strategisnya juga keliru untuk mencari jalan keluar. Selama ini Umno merasakan ia berjaya melalui propaganda perkaumannya, seperti selalu dikumandangkan dalam program-program anjuran BTN. Zaman sudah berubah. Senjata perkauman menikam dirinya sendiri.

Tetapi Umno ternyata begitu sukar untuk mengambil iktibar dan belajar dari sejarah kegagalannya dalam pilihan raya umum 2008. Bekalan intelektual dan kematangan fikiran pimpinannya boleh dipersoalkan.

Dalam keadaan pengundi Cina dan India semakin menjauhi BN terutama selepas kes kematian Teoh Beng Hock dan perarakan kepala lembu, ditambah jika 'permainan perkauman' Umno kali ini membelit dirinya, riwayat Umno-BN sebagai parti pemerintah dijangka berakhir dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun, seperti yang selalu saya tekankan juga, pengundi Melayu harus seberapa segera disedarkan daripada terus dibuai keyakinan palsu terhadap Umno. Jelas terdapat kempen besar-besaran mahu meniupkan sentimen perkauman Melayu melalui beberapa isu di Selangor.

Pendedahan maklumat dan pengedaran berita yang lebih cepat dan tepat melalui media baru diharap dapat membantu menjernihkan tanggapan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

III.

Memang ia satu kejutan dan hadiah hari merdeka yang tidak sepatutnya. Kenaikan harga minyak biar sekecil mana pun pasti mempunyai kesan berantai yang cukup negatif kepada pengguna. Apatah lagi ia diumumkan menjelang hari perayaan dalam suasana kelembapan ekonomi yang masih ketara.

Sekali lagi, apakah Najib tidak mengambil iktibar daripada eksperimen buruk Abdullah Ahmad Badawi dahulu? Rakyat yang cukup perit dengan bebanan kenaikan kos sara hidup mengajar Abdullah melalui peti undi.

Keuntungan besar Petronas ternyata tidak dimanfaatkan untuk meningkatkan keperluan asas. Banyak projek (lihat saja di Terengganu) hanya untuk mengisi tembolok para kroni dan membawa masalah selepas disiapkan.

Semasa rakyat masih termangu-mangu dengan skandal PKFZ berbelas bilion ringgit, istana bekas menteri bernilai puluhan juta, projek membazir yang menghanguskan dana awam, tiba-tiba mereka hendak dibebankan lagi.

Saya menjangkakan rentetan slogan muluk Najib boleh menjerat lehernya sendiri, mengulangi mimpi ngeri Abdullah. Kini, rakyat berhak bertanya, siapa yang didahulukan dan siapa pula yang diutamakan?

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI